Wednesday, November 4, 2009

Penting Untuk Sahabat2 j-QAF

Surat ditandatangani ibu bapa bukti sekolah tidak bertanggungjawab

IPOH: Surat kebenaran yang ditandatangani ibu bapa adalah bukti kukuh menyatakan pihak sekolah tidak akan bertanggungjawab jika berlaku sebarang kejadian tidak diingini ke atas anak mereka sepanjang menyertai program yang dijalankan sekolah.

Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Perak, Muhammat Roli Hassan, berkata sekolah akan menyediakan satu surat kebenaran ibu bapa jika menghendaki pelajar menghadiri mana-mana program atau aktiviti yang dijalankan di dalam atau luar sekolah.

"Surat berkenaan adalah prosedur biasa dan peraturan yang diwajibkan di setiap sekolah sama ada rendah atau menengah di seluruh negara.

"Kandungan atau syarat yang dikenakan dalam surat kebenaran itu juga mengikut piawaian ditetapkan dan diguna pakai secara menyeluruh. Kandungannya tidak boleh diubah," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kem Membaca 1Malaysia peringkat negeri di Sekolah Kebangsaan Rapat Setia, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan pelbagai pihak terutama ibu bapa yang mencadangkan kandungan surat kebenaran diubah supaya memberi lebih kebaikan kepada semua pihak.

Ia susulan tragedi jambatan gantung runtuh di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Dipang, dekat sini, 26 Oktober lalu, yang mengakibatkan tiga murid terkorban.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, 30 hingga 50 murid dan seorang guru pengiring yang menyertai Perkhemahan 1Malaysia terjatuh ke dalam Sungai Kampar selepas jambatan gantung yang digunakan mereka runtuh secara tiba-tiba.

Justeru, pelbagai pihak terutama ibu bapa mendakwa ada di kalangan anak mereka menghadiri perkhemahan itu tanpa kebenaran.

Mereka juga mendakwa, kandungan surat itu menyatakan sekolah tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang kejadian tidak diingini jika berlaku terhadap pelajar sehingga menimbulkan kebimbangan ibu bapa untuk memberi kebenaran.

Muhammat Roli berkata, kebenaran itu bergantung kepada ibu bapa untuk meletakkan sepenuh kepercayaan terhadap sekolah dan guru bagi mengawasi keselamatan murid sepanjang mengikuti program yang dijalankan.

"Bagaimanapun, mengikut peraturannya, kita tidak akan membenarkan murid atau pelajar menyertai mana-mana program jika tidak mendapat kebenaran keluarga.

"Setakat ini, sebarang aktiviti atau program yang dijalankan sekolah dan guru memang mengikut peraturan serta garis panduan ditetapkan," katanya.

Berita Harian Online: 4 November 2009

No comments:

Post a Comment