Sunday, November 1, 2009

panduan gerko

KONSEP, MATLAMAT, STRATEGI DAN PELAKSANAAN

1. KONSEP

Aktiviti kokurikulum adalah sebahagian daripada kurikulum sekolah dan setiap murid harus melibatkan diri. Aktiviti ini boleh dijalankan di dalam dan di luar darjah, mengikut kesesuaian aktiviti. Dengan andaian bahawa murid-murid tidak mendapat pengalaman tertentu di bilik darjah maka, aktiviti kokurikulum dapat menyediakan pelbagai pengetahuan dan pengalaman untuk perkembangan mental, minat, bakat, jasmani, rohani dan pembentukan nilai-nilai estetika serta sosial yang positif.

Sebagai suatu bidang pendidikan, penglibatan semua murid dan anggota masyarakat adalah perlu, berasaskan kepada anggapan bahawa:

Semua murid harus mempunyai keseimbangan antara perkembangan mental (akademik) dengan perkembangan sahsiah yang bersepadu (sosial, jasmani dan rohani).
Semua murid mempunyai bakat dan minat yang boleh dikembangkan.
Semua murid boleh dididik dan boleh pula mendidik diri sendiri dan rakan sebaya.
Sekolah bertanggungjawab melahirkan murid-murid untuk keperluan masyarakat dan Negara.
Masyarakat turut bertanggungjawab memainkan peranan mendidik murid-murid.


2. MATLAMAT


Matlamat utama aktivti kokurikulum adalah untuk merealisasikan Falsafah Pendidikan Negara. Antara matlamat yang hendak dicapai ialah seperti berikut:

Menyemai kesedaran murid-murid terhadap agama dan kepercayaan kepada Tuhan.
Menyeimbangkan antara perkembangan mental dan perkembangan rohani, jasmani dan emosi murid-murid.
Mengukuhkan pergaulan dan perhubungan di kalangan murid-murid sekolah dan di antara sekolah.
Membina dan meningkatkan minat dan bakat dalam aktiviti yang diceburi.
Membina dan meningkatkan disiplin murid.

Mewujudkan budaya sekolah yang menarik dan menggembirakan.
Membina dan meningkatkan kerjasama dan sumbangan hubungan dua hala antara sekolah dan masyarakat.
Mewujudkan sekolah berwatak.


3. STRATEGI


Untuk mencari matlamat tersebut, berikut adalah beberapa strategi pelaksanaannya:

Memberi wajaran yag sesuai kepada aktiviti kokurikulum supaya kurikulum dan kokurikulum boleh saling melengkapi dalam proses pendidikan di sekolah.
Menambahkan bilangan pasukan pakaian seragam, persatuan/kelab, kelab sukan dan permainan serta mempelbagaikan aktiviti tersebut, dengan tujuan memberi peluang kepada semua murid melibatkan diri dengan aktif secara individu atau kumpulan.
Melibatkan diri dari semua kaum dalam semua aktiviti kokurikulum yang sesuai untuk tujuan pemupukan perpaduan.
Melibatkan murid dan pihak sekolah dalam aktiviti khidmat masyarakat.
Melibatkan Jawatankuasa Bimbingan Pelajar Sekolah (JBPS), Persatuan Ibubapa Guru-guru (PIBG), guru-guru dan murid-murid dalam perancangan dan pelaksanaan aktiviti kokurikulum.
Merancang dengan aktiviti kokurikulum bagi mencapai matlamat yang dikehendaki.
Merekod dan menilai kemajuan aktiviti kokurikulum yang dijalankan.
Menganjur dan mengelola pertandingan yang melibatkan semua murid.
Menyelia dan menilai aktiviti secara sistematik dan berterusan.
Memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada semua pihak dari semasa ke semasa.

4. PELAKSANAAN



Definisi

Kokurikulum adalah ‘kegiatan kumpulan’.

Rujuk warta kerajaan No. 5652 Jilid 11/Bil.27 (Tambahan No. 2) bertarikh 28hb Disember 1967, (Peraturan Kursus Pengajian Sekolah 1956).

‘Kegiatan kumpulan’ ertinya apa-apa kegiatan yang dirancang lanjutan daripada proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah yang memberikan murid peluang untuk menambah, mengukuh dan menambahkan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang dipelajari di bilik darjah.

Rujuk peraturan 2 dalam Peraturan-Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997 seperti dalam Warta Kerajaan Jilid 42/No.11 (Tambahan No. 41), Perundangan (A)/P.U.(A) 196 bertarikh 21 Mei 1998.

Kokurikulum adalah kegiatan atau aktiviti selain mata pelajaran yang diajarkan dalam bilik darjah tetapi yang dianggap sebagai sebahagian daripada kursus pendidikan pelajar di sekolah (misalnya kegiatan dalam persatuan-persatuan, kegiatan sukan dan lain-lain.

Rujuk Kamus Dewan (Edisi Ketiga), Dewan bahasa dan Pustaka (2002) m.s. 692.

Kokurikulum merupakan satu saluran pembelajaran yang berasaskan gerak kerja yang terancang. Gerak kerja ini merupakan lanjutan daripada proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Oleh itu, aktiviti kokurikulum dapat menyediakan peluang kepada pelajar untuk menambah, mengukuh dan mengamalkan pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai yang telah dipelajari di bilik darjah.

Rujuk Buku Penerangan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah Dewan Bahasa dan Pustaka (1992); m.s.11.

Kokurikulum adalah bidang pengajian luar bilik darjah atau yang tidak formal.

Rujuk Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran, Dewan Bahasa dan Pustaka (1984),m.s 269.

Kokurikulum adalah wadah pembinaan jasmani, emosi dan rohani dengan menawarkan pelbagai pengetahuan, pengalaman, kemahiran dan latihan berteraskan konsep pendidikan dan pembangunan insane yang bersepadu dan menyeluruh. Pengetahuan, pengalaman dan kemahiran yang mengandungi unsure-unsur intelek, disiplin kendiri, kepimpinan, keusahawanan, kreativiti dan inovasi, kecintaan kepada alam semulajadi, kewarganegaraan dan kesetiaan kepada bangsa dan Negara, kebudayaan, integrasi nasional dan sebagainya akan membantu pelajar menentukan halatuju kehidupan masa depannya.

Rujuk Ramlan Abd Wahab; Dewan Bahasa dan Pustaka, Januari 2002, Kerangkraf Publication Sdn. Bhd, m.s 44

Kokurikulum adalah aktiviti pembelajaran tidak formal yang berteraskan keperluan pelajar mengalami sendiri aktiviti-aktiviti kependidikan dalam keadaan sebenar.

Rujuk Ramlan Abd Wahab; Dewan Bahasa dan Pustaka, Januari 2002, Kerangkraf Publication Sdn. Bhd, m.s 44


Hakikat Kokurikulum dalam Program Pendidikan

Kokurikulum adalah sebahagian daripada Kurikulum Kebangsaan.
“Kurikulum Kebangsaan ialah suatu program pendidikan yang termasuk kurikulum dan kegiatan kokurikulum yang merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan dan kepercayaan untuk membantu perkembangan seseorang murid dengan sepenuhnya dari segi jasmani, rohani, mental dan emosi serta untuk menanam dan mempertingkatkan nilai moral yang diingini dan untuk menyampaikan pengetahuan”.

Rujuk Subperaturan 3(1) dalam Peraturan-peraturan (kurikulum Kebangsaan 1997 yang diterbitkan sebagai P.U. (A) 531/97.

Kandungan Kegiatan Kokurikulum Di Sekolah:

Kegiatan kokurikulum di sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan akan mengandungi yang berikut:-
(a) penyertaan dalam sukan dan pemainan.
(b) Penyertaan dalam persatuan dan kelab.
(c) Penyertaan dalam badan beruniform dan
(d) Penyertaan dalam kegiatan-kegiatan lain sebagaimana ditentukan oleh Menteri.

Rujuk Subperaturan 3(3) dalam Peraturan-peraturan (kurikulum Kebangsaan 1997 yang diterbitkan sebagai P.U. (A) 531/97.


Kegiatan Kokurikulum di sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan meliputi kegiatan dalam persatuan yang ditubuhkan di sekolah daripada kategori berikut:-
(a) mata pelajaran yang diajar di sekolah sebagaimana yang dinyatakan dalam Peraturan-Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan)1997.
(b) Hobi dan rekreasi
(c) Sukan dan permainan
(d) Badan beruniform atau
(e) Apa-apa persatuan lain yang diluluskan oleh Pendaftar.

Rujuk peraturan 4 dalam Peraturan-Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1998 seperti dalam Warta Kerajaan Jilid 42/No.11 (Tambahan No. 41), Perundangan (A)/P.U.(A) 196 bertarikh 21 Mei 1998.

Status Kegiatan Kokurikulum Sekolah.

Sebagai sebahagian daripada Kurikulum Kebangsaan, maka pelaksanaan kokurikulum di sekolah adalah wajib. (Rujuk Seksyen 18 Akta Pendidikan 1995 (Akta 550)). Kegagalan atau keengganan melaksanakan kegiatan kokurikulum di sekolah adalah suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya (Rujuk Subseksyen 135(1) Akta Pendidikan 1996(Akta 550)) dan jika kesalahan itu dilakukan berterusan, maka apabila disabitkan sedemikian, seseorang itu dikenakan hukuman denda harian yang tidak melebihi lima ratus ringgit sebagai tambahan kepada apa-apa penalti lain yang boleh dikenakan kepadanya di bawah Akta ini berkenaan dengan kesalahan itu, bagi setiap hari kesalahan itu terus dilakukan.

(Rujuk Subseksyen 135(2) Akta 550).

Matlamat gerak kerja kokurikulum yang dikehendaki ialah penyertaan oleh setiap orang pelajar yang belajar di sekolah kerajaan atau bantuan kerajaan. Setiap pelajar hendaklah mengambil bahagian sekurang-kurangnya dalam salah satu gerak kerja pakaian seragam (badan beruniform), satu kegiatan persatuan atau kelab dan satu kegiatan sukan atau permainan. Seberapa yang boleh, peningkatan penyertaan pelajar-pelajar dalam kegiatan pakaian seragam hendaklah diusahakan.

Rujuk Subperkara 5.1 dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985 KP(BS)8591/Jld. 11(29) bertarikh 2hb Januari 1985).

Penyertaan semua guru adalah dikehendaki bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan gerak kerja kokurikulum di sekolah.

Rujuk Subperkara 5.1 dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985 KP(BS)8591/Jld. 11(29) bertarikh 2hb Januari 1985).

Sekolah-sekolah yang khususnya kurang kemudahan untuk menjalankan gerak kerja kokurikulum hendaklah menggalakkan pelajar-pelajar mengambil bahagian dalam membuat kerja-kerja amal untuk masyarakat setempat; bergotong-royong memperbaiki kawasan sekolah dan dalam pelbagai gerak kerja yang menekankan perpaduan kaum, ketatanegaraan, moral dan sebagainya yang sesuai bagi pendidikan menyeluruh dan pembentukan keperibadian.

Rujuk Subperkara 5.3 dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985 KP(BS)8591/Jld. 11(29) bertarikh 2hb Januari 1985).

Pelaksanaan kegiatan kokurikulum di sekolah hendaklah berasaskan prinsip penyertaan beramai-ramai tanpa ada-ada unsur-unsur diskriminasi atau paksaan dan yang bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Perlembagaan Negara.

Rujuk Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.16/2000 KP(BS)8591/Jld. XVI(16) bertarikh 13hb Nov 2000).

Penyertaan pelajar dalam aktiviti kokurikulum adalah wajib. Sehubungan itu, kehadiran pelajar dalam aktiviti kokurikulum mestilah direkodkan.

Rujuk Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1986 KP(BS)8591/Jld. 11(41) bertarikh 15hb Januari 1986).

Kegiatan kokurikulum di sekolah boleh dilaksanakan dengan menggunakan penglibatan dan kepakaran anggota-anggota masyarakat setempat.
Rujuk Subperkara 5.2.3 dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 4/1985 KP(BS)8591-11-(32) bertarikh 2hb Februari 1985)

Peruntukan Masa

Peruntukan masa untuk kegiatan kokurikulum seperti dalam Warta Kerajaan No. 5652 Jil. 11/Bil. 27 bertarikh 18 Disember 1967 adalah seperti beikut:-

Sekolah Menengah

Tingkatan Aliran Peruntukan Masa
Peralihan 1,2,3 & 6 180 minit seminggu


4 & 5 Sastera 180 minit seminggu
SRT 180 minit seminggu
Perdagangan 180 minit seminggu
Sains 140 minit seminggu
Pertanian 140 minit seminggu
Teknik 100 minit seminggu


Sekolah Rendah

Tahun Peruntukan Masa
3 dan 4 60 minit seminggu
5 dan 6 120 minit seminggu


Tugas dan Tanggungjawab guru

Guru Besar/Pengetua sebagai Penolong Pendaftar mempunyai kuasa untuk melantik guru sebagai guru penasihat bagi menjalankan tugas-tugas dalam aktiviti kokurikulum berdasarkan peruntukan yang sedia ada.

Rujuk dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) Bahagian 2.

Keberkesanan Kegiatan Kokurikulum

Sebagai kegiatan kependidikan, kegiatan kokurikulum berfungsi untuk membantu dan membolehkan pelajar-pelajar:-
(a) Mengamal dan mengukuhkan ilmu pengetahuan yang diperolehi di bilik darjah.
(b) Mengaplikasikan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi melalui pembelajaran formal di bilik darjah.
(c) Mengalami sendiri situasi dan proses yang menjana ilmu pengetahuan, pengalaman dan kemahiran yang telah dan akan dipelajari dalam bilik darjah.
(d) Melatih diri berdikari dan memupuk sikap yakin kepada diri sendiri.
(e) Berinteraksi secara langsung dengan alam sekitar untuk mengukuhi keinsafan tentang hakikat kewujudan dan menyemarakkan perasaan penuh kesyukuran serta menyedari kebertanggungjawab diri sendiri ke atas kelestarian dan kesejahteraan alam semula jadi.
(f) Mengembangkan bakat, minat dan potensi diri sendiri dalam bidang-bidang yang diceburi.
(g) Mengalami sendiri hakikatnya pentingnya diri sendiri dan individu lain mempunyai nilai-nilai murni kemanusiaan dan keinsanan yang luhur.
(h) Mengalami sendiri hakikat pentingnya perpaduan, kerjasama, pemuafakatan dan semangat sepasukan.
(i) Menguji dan mempertingkatkan ciri-ciri kepimpinan, ketabahan dan kecekalan masalah dan cabaran.
(j) Memanfaatkan peluang yang ada dan meneroka peluang-peluang baru untuk memajukan diri sendiri dan rakan-rakan.
(k) Memperoleh pengetahuan, pengalaman dan kemahiran baru yang tidak mungkin diperolehi di bilik darjah.
(l) Meningkatkan kreativiti, inovasi dan kekaryawanan dalam bidang-bidang yang diminati.
(m) Memperluaskan persepsi dan pandangan hidup.
(n) Berinteraksi dengan rakan-rakan dan anggota masyarakat untuk mewujudkan suasana yang harmoni, ceria, aman dan sejahtera serta saling bekerjasama.
(o) Mengisi masa lapang dengan kerja-kerja yang berfaedah disamping membina kesihatan dan kesejahteraan diri.
(p) Memberi sumbangan tenaga, idea, buah fikiran yang bernas, khidmat dan kepakaran kepada yang memerlukan;
(q) Menyuburkan sifat-sifat penyayang (caring), bertimbang rasa (understanding), toleransi (tolerance), menerima dengan senang hati (acceptance), positivisme (positivism), berbudi bahasa dan bersopan santun (politeness), kepimpinan (leadership), empati (empathy) dan tegas (assertive).
(r) Memperkembangkan lagi kesejahteraan dan ketangkasan jasmani, ketenangan dan kematangan emosi, keluhuran rohani dan kecemerlangan dan ketrampilan intelek.

Unsur-unsur Kependidikan Dalam Kokurikulum
Unsur-unsur kependidikan yang perlu dijelmakan dalam kegiatan kokurikulum termasuklah yang berikut:-
(a) Kepercayaan kepada Tuhan
(b) Kesetiaan kepada Raja dan Negara
(c) Keluhuran Perlembagaan
(d) Kedaulatan undang-undang
(e) Kesopanan dan kesusilaan
(f) Pendidikan Seumur Hidup
(g) Keilmuan dan Kepengetahuan
(h) Kemanusiaan yang murni
(i) Disiplin dan Kebertanggungjwab
(j) Protokol dan etiket
(k) Kemahiran berfikir
(l) Ketahanan fizikal dan semangat
(m) Kreativiti dan inovasi
(n) Kerjaya dan Keusahawanan
(o) Kepimpinan
(p) Kepengurusan dan pentadbiran
(q) Etika dan amanah
(r) Komitmen, iltizam dan dedikasi
(s) Kesetiaan dan ketaatan
(t) Kesukarelawan
(u) Kewarganegaraan dan kemasyarakatan
(v) Rekreasi dan riadah
(w) Penyelidikan dan pembangunan
(x) Kebudayaan dan kesenian
(y) Komunikasi dan pergaulan
(z) Perpaduan dan Integrasi nasional
(aa) Penilaian dan pengiktirafan
(bb) Peningkatan kebolehan, kemahiran dan kepakaran
(cc) Penghargaan

Kepentingan Kokurikulum

Matlamat Dasar Pendidikan Kebangsaan ialah untuk mewujudkan suatu bangsa bercorak Malaysia yang bersatu padu dan dihormati. Hasrat ini akan dapat dicapai jika generasi muda sekarang dapat diberi pendidikan yang seimbang dan sempurna. Pendidikan yang seimbang dan sempurna sentiasa memberi penekanan kepada kedua-dua aspek iaitu akademik dan gerak kerja kokurikulum. Ini bermakna seseorang pelajar itu diberi didikan yang menyeluruh merangkumi aspek mental, fizikal dan spiritual.

Y.A.B Datuk Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi (1985).

Penekanan baru kepada gerak kerja kokurikulum di sekolah-sekolah adalah sesuai dengan masa dan keperluan pendidikan di Negara kita sekarang. Ini akan menjadikan pendidikan yang menyeluruh merangkumi bidang akademik dan kokurikulum. Kedua-dua bidang ini seharusnya digabungkan, diberi penekanan baru dan diberi penilaian dan pngiktirafan yang sesuai supaya keseluruhan pelajar dan guru dapat memahami konsep pendidikan yang berasaskan kepada penekanan yang sama kepada bidang kokurikulum dan bidang akademik.

Dato’ Abdul Rahman Hj. Arshad (1985)

Gerak kerja kokurikulum adalah adalah penting untuk menyemai, memupuk dan menanam perasaan kekitaan atau pun ‘esprit de corps’ di antara pelajar-pelajar pelbagai keturunan yang mempunyai latar belakang dan cara hidup yang berlainan. Ia juga bertujuan melatih pelajar-pelajar supaya bersikap bertanggungjawab. Kegiatan ini juga boleh melatih mereka berdisiplin, berdikari dan berkemahiran dalam sesuatu lapangan yang mereka sertai.”

Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran (1979)

Dengan andaian bahawa pelajar-pelajar tidak mendapat pengalaman-pengalaman tertentu di bilik darjah, maka gerak kerja kokurikulum boleh menyediakan pengetahuan dan pengalaman tersebut bagi memperkembangkan mental, minat, bakat, jasmani, rohani dan pembentukan nilai-nilai estetika serta sosial yang positif.

Buku Panduan Pengurusan Gerak Kerja kokurikulum Sekolah Menengah Kementerian Pendidikan Malaysia (1989).

Peranan dan tanggungjawab utama sekolah bukan hanya semata-mata kepada menyampaikan ilmu pengetahuan dan memupuk kemahiran-kemahiran tertentu kepada pelajar-pelajar, bahkan juga bagi melahirkan pelajar-pelajar yang dapat memberikan sumbangan ke arah hidup yang harmonis, bersatu padu, bertoleransi, berdisiplin dan mempunyai sahsiah yang baik, iaitu yang mempunyai sikap serta menghayati nilai-nilai hidup berasaskan prinsip-prinsip Rukunegara.

Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985.

Pada keseluruhannya, setakat ini sekolah-sekolah telah dapat melahirkan pelajar-pelajar yang berjaya dala bidang akademik melalui kurikulum yang sedia ada. Sungguh pun demikian, melalui akademik sahaja, seperti matapelajaran-matapelajaran Sivik, Sejarah, Geografi dan Kesusasteraan misalnya, belum boleh menjamin tercapainya matlamat bagi melahirkan pelajar-pelajar yang mempunyai nilai-nilai akhlak, kesusilaan dan ketatanegaraan sepenuhnya atau yang mempunyai semangat patriotik yang tinggi. Sekarang terdapat tanda-tanda yang menunjukkan sahsiah secara menyeluruh di kalangan pelajar-pelajar amnya, belum dapat tercapai sepenuhnya seperti mana yang diharapkan.

Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985.

Seperti mana kurikulum, gerak kerja kokurikulum juga mempunyai peranan dalm pembentukan perkembangan jasmani dan rohani pelajar-pelajar. Oleh yang demikian, kokurikulum juga seharusnya dapat dititikberatkan oleh sekolah-sekolah.

Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 4/1985.

Dalam konteks pendidikan Kebangsaan, kegiatan kokurikulum merupakan satu program penting demi membangunkan potensi pelajar secara menyeluruh. Secara umum, kegiatan kokurikulum yang sedia ada telah berjaya membina disiplin pelajar serta meningkatkan minat mereka terhadap pembelajaran.

Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 4/1985.

Sekolah-sekolah yang tidak memberi keutamaan yang sewajarnya bagi menimbangkan antara kepentingan gerak kerja kokurikulum dengan akademik dan kurang pula menekankan tentang penyertaan menyeluruh pelajar-pelajar dalam gerak kerja tersebut, boleh menyebabkan pendidikan menyeluruh tidak dapat dicapai.

Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 7/1988.

Kementerian Pendidikan sentiasa menggalakkan penyertaan para pelajar dalam apa jua aktiviti sukan dan memperakukan bahawa suka sememangnya penting untuk membina ketahanan diri dan kesihatan di samping memupuk perkembangan jasmani, rohani dan emosi pelajar-pelajar. Di samping itu, sukan sebahagian daripada kegiatan kokurikulum yang diwajibkan di sekolah-sekolah adalah juga merupakan satu-satunya saluran yang berkesan bagi memupuk persefahaman dan perpaduan di kalangan pelajar.

Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 7/1988.

“…..Kementerian pendidikan Malaysia telah membuat keputusan menetapkan bahawa dasar dan syarat pemilihan pelajar ke tingkatan satu di sekolah berasrama penuh (SBP) bermula kemasukan tahun 2000 memberi penekanan utama kepada penglibatan dan pencapaian dalam aspek kepimpinan, sukan dan kokurikulum di samping mengekalkan syarat kecemerlangan akademik”.

Dato’ Dr Abdul Shukor Bin Abdullah, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia dalam Surat KP(BS)8575-196 Jld IV(26) bertarikh 2 Jun 1999.

Sesuai dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebansaan. Kementerian Pendidikan Malaysia ingin menegaskan bahawa murid-murid di sekolah perlu dberi peluang untuk mengembangkan potensi mereka secara menyeluruh dan bersepadu agar mereka menjadi insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasman. Berbagai-bagai yang boleh dilakukan di peringkat sekolah supaya perkembangan potensi individu dapat disesuaikan dengan minat dan bakat murid itu sendiri.

Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 18/2000.

“I don’t believe in purely academic achievements. I read law to help me draft agreements. I learnt accountancy to understand finance. But academic intelligence alone doesn’t make your successful. You must know how to turn what you know into ringgit and sen. In short, you need a “Master’s in common sense” and a Bachelor’s in Streetsmart” more than a MBA and Ph.D. there’s no substitude for the “University of Hard Knocks” in life. A university degree alone could produce a manager. I suppose”.

Datuk Maznah Hamid, Going Places, June 2002; p.16.

True co-curriculum in education enable everyone to become the person he or she to fully capable of becoming and the person they dream of being.

Anonymous : 2002

“True education means building on your skills. People skills communication skills, living skills, thinking skills, accelerated learning, speed reading, how to realise your vision and dreams, stc. True education shapes you to maximise your creativity and use what you have learn to become the best that you are in whatever field”.

Datuk Maznah Hamid, Going Places, June 2002; p.16.

“.....perpaduan akan terus menjadi agenda utama bagi memupuk perpaduan kaum melalui sistem pendidikan di negara kita. Kita akan terus mempergiatkan lagi program dan aktiviti yang melibatkan penyertaan pelajar dari pelbagai kaum untuk memupuk perpaduan, terutamanya melalui kegiatan kokurikulum seperti program sukan dan berpersatuan”.

Y.B Tan Sri Dato’ Seri Musa Bin Mohamad, Menteri Pendidikan Malaysia; dalam Perutusan Tahun Baru 2002.

The object of education, in very general terms, is to provide pupils and students with the means for undestanding their society and its structures, and to open up for them a way of creating ‘meaning’ out of their environment and their relationships. This is certainly a part of what culture implies, and from an educational point of view it will mean, in specific terms, that the child is assisted both in languange and thought to classify and provide meaning and relationships to things, ideas and events.

Ivor Morrish, The Sociology of Education: An Introduction (2nd edition 1978), London, George Allen & Unwin, m.s. 59







“....sebagai contoh terdapat pelajar yang mengumpul 80 mata gagal mengikuti kursus perubatan apabila mendapat tiga mata untuk kegiatan kokurikulum. Pada masa yang sama, ada pelajar yang berjaya mengikuti kursus perubatan walaupun mendapat 76 mata apabila diberi amaran untuk kokurikulum....”

N. Marimuthu, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), Utusan Malaysia 18 Mei 1998.

No comments:

Post a Comment