Monday, March 29, 2010

4 CARA MENGENAL KEAIBAN DIRI

 
1)Hampirkan diri pada guru atau orang berilmu yang dapat menyingkapkan sifat-sifat buruk yang bersarang dalam hati manusia. Guru akan memberitahu keaiban diri seseorang dan cara-cara mengubatinya.

2).Hendaklah mencari rakan karib yang boleh dipercayai, bijaksana dan lebih pengetahuan
agamanya.Teman sebegini akan memerhatikan tingkah laku temannya dan jika terdapat perbuatan yang tidak elok, dia segera mengingatkannya.

3).Hendaklah berlapang dada apabila menerima teguran atau nasihat orang lain yang bersangkutan dengan perlakuan atau sifat aib yang terdapat dalam diri seseorang.

4).Hendaklah sentiasa bergaul dengan orang ramai. Lantaran sebarang perkara tercela yang dilihat pada orang lain akan menimbulkan pertanyaan kepada dirinya - adakah perkara tersebut ada pada diri aku? Sebab orang Mukmin adalah cermin kepada Mukmin yang lain.

Sesungguhnya tabiat dan sifat manusia di alam ini sama sahaja dalam menurut hawa nafsu. Setiap sifat yang ada pada orang lain, tidak mustahil terdapat juga pada diri sendiri. Malah mungkin lebih dahsyat daripada itu.

Sebaik-baiknya telitilah diri sendiri dan bersihkan diri daripada mencela orang lain. Ingatlah, tiada cara yang lebih utama untuk mendidik diri selain mengenal keaiban diri terlebih dahulu.

Friday, March 26, 2010

Patuhi pekeliling Kementerian Pelajaran

KUALA PILAH 25 Mac – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta semua Pengarah Pelajaran negeri dan sekolah supaya mematuhi arahan pekeliling yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, ia bertujuan mengelakkan rasa tidak puas hati di kalangan guru yang merasakan dibebani oleh kerja tidak relevan dengan tugas hakiki berikutan arahan dikeluarkan di peringkat negeri.
‘‘Saya maklum mengenai perkara itu sejak kebelakangan ini, malahan saya sendiri memberikan perhatian terhadap isu tersebut. Umpamanya beban kerja guru, soal kebajikan selain perjawatan dan sebagainya,” katanya.
Muhyiddin berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan kampus tetap Universiti Teknologi Mara (UiTM) Negeri Sembilan di Beting, dekat sini hari ini.
Hadir sama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Naib Canselor UiTM, Datuk Prof. Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar; Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengarah Kampus UiTM Negeri Sembilan, Prof. Madya Zaluddin Sulaiman.
Beliau ditanya berhubung satu cadangan yang dikemukakan oleh Kesatuan Kebangsaan Profesion Perguruan (NUTP) yang mengancam untuk mengadakan demonstrasi di seluruh negara sebagai tanda bantahan dengan bebanan kerja tanpa kaitan yang diberikan oleh pengetua dan guru besar.
NUTP mendakwa terdapat guru yang diminta membuat laporan demi laporan, pelan tindakan, kertas kerja, yang mana disifatkan tidak relevan dengan tugas hakiki mereka.
Menurut NUTP, tindakan itu boleh menjejaskan kualiti pengajaran seorang guru dan yang menjadi mangsa utamanya adalah pelajar itu sendiri.
Mengulas lanjut, Muhyiddin menegaskan, tugas guru telah diperjelaskan oleh pihak kementerian dan pengarah di negeri serta sekolah wajar mematuhi apa juga pekeliling yang telah dikeluarkan oleh kementerian tersebut.
Sehubungan itu beliau akan menemui semua Pengarah Pelajaran negeri untuk memastikan bagaimana segala dasar dan arahan yang dikeluarkan Kementerian Pelajaran dapat dipatuhi.
Kata Muhyiddin, pertemuan itu akan melibatkan Ketua Pengarah Pelajaran, pengarah-pengarah peringkat kementerian serta pengarah pelajaran negeri.
‘‘Selepas itu, saya juga akan mengadakan pertemuan dengan semua Pegawai Pelajaran Daerah untuk mencari jalan terbaik menyelesaikan apa juga perihal berbangkit termasuklah berkaitan beban tugas dan kebajikan guru,” katanya.
Beliau berkata, Kementerian Pelajaran memang mengeluarkan pekeliling dari semasa ke semasa kepada pengarah peringkat negeri mengenai apa yang perlu dilakukan di sekolah-sekolah.
‘‘Cuma masalah timbul apabila ada pengetua dan guru besar mengambil langkah tertentu mengikut budi bicara mereka sehingga menyebabkan timbul perasaan tidak puas hati di kalangan guru.
‘‘Semua itu, bukanlah arahan kementerian kerana kita ada panduan yang hendak dibuat dan dilaksanakan.
‘‘Persoalannya bagaimana kita hendak menyeragamkan semua tindakan itu supaya sesuatu keputusan yang dibuat di peringkat kerajaan dan kementerian dapat dilaksanakan dengan baik. Itulah yang akan kita selesaikan,” tambah beliau.
Muhyiddin berkata, pertemuan dengan Pengarah Pelajaran negeri itu juga bukanlah disebabkan desakan NUTP, tetapi beliau sendiri berhajat menemui mereka.
Ditanya mengenai tindakan demonstrasi yang hendak dilakukan oleh NUTP jika tuntutan mengenai beban tugas tidak dapat diselesaikan, Muhyiddin berkata, Ketua Pengarah, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom telah pun menemui pihak berkenaan.

Utusan Malaysia Online: 26 Mac 2010

Longgar syarat tambahan KPLI

Oleh Sazarina Shahrim
sazarina@bharian.com.my 
2010/03/26

Kementerian Pelajaran sasar lebih ramai graduan berkelayakan ambil MTest

PUTRAJAYA: Kementerian Pelajaran memberi kelonggaran dalam syarat tambahan yang ditetapkan kepada pemohon Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) bagi membolehkan lebih ramai diberi peluang mengambil Ujian Calon Guru Malaysia (MTest) sesi kedua yang diadakan esok.

Pengarah Bahagian Pendidikan Guru, Dr Zahri Aziz, berkata MTest kedua yang akan diduduki kira-kira 22,000 calon itu memberi peluang kepada pemohon yang mempunyai pengalaman mengajar sebagai guru sandaran tidak terlatih tetapi tidak mempunyai purata nilai gred kumulatif (CGPA) 2.75 ke atas pada peringkat sarjana muda. “Bagi mereka yang mempunyai pengalaman mengajar sebagai guru sandaran tidak terlatih, tidak kira walaupun hanya mempunyai setahun pengalaman dan tidak mencapai CGPA 2.75, kita tetap beri peluang kepada mereka untuk mengambil ujian berkenaan.

“Ini bagi memastikan peluang dan ruang yang lebih terbuka diberikan kepada pemohon,” katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

MTest sesi pertama yang membabitkan 34,849 calon dilakukan pada 13 Mac lalu di 27 institut pendidikan guru (IPG) dan 107 sekolah seluruh negara manakala MTest sesi kedua pula akan dilakukan di 27 IPG dan 68 sekolah, tidak lama lagi.

Berdasarkan keputusan MTest itu, calon yang layak akan dipanggil temu duga sebelum dipilih mengikuti kursus berkenaan.
Kementerian Pelajaran menerima lebih 68,000 permohonan, namun hanya 1,898 yang akan terpilih mengikuti program berkenaan Jun depan.

Berikutan permohonan yang tinggi itu berbanding jumlah tempat yang ditawarkan, kementerian mengetatkan syarat kemasukan termasuk mempunyai sarjana muda dengan CGPA 2.75 ke atas selain syarat asas mendapat kredit Bahasa Melayu dan lulus Bahasa Inggeris.

Zahri turut memberi jaminan bahawa MTest yang dijalankan itu telus untuk mencari calon yang benar-benar layak membimbing murid.

“Mtest dibuat oleh pensyarah universiti dan institut pendidikan guru yang dilakukan secara saintifik. Kita tidak boleh persoalkan kesahihan instrumen yang digunakan dalam ujian itu,” katanya.

Sebelum ini, beberapa pihak termasuk pembaca Berita Harian menyuarakan rasa tidak puas hati mengenai Mtest yang dikatakan tidak telus dan ada yang membuat aduan tidak terpilih mengambil ujian berkenaan walaupun menepati kriteria yang ditetapkan.

Berita Harian Online: 26 Mac 2010

Saturday, March 20, 2010

Awasi anasir jenayah terhadap pelajar

 
 
PENGLIBATAN murid sekolah dalam kegiatan salah laku disiplin merupakan perbuatan yang perlu dilihat secara serius oleh semua pihak khususnya pihak pengurusan sekolah.


Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan gejala ini semakin serius melanda golongan pelajar antaranya ialah :

Faktor pertama ialah kemerosotan moral dan akhlak yang berleluasa akibat kesan pembangunan negara dan era teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Faktor kedua, keruntuhan institusi kekeluargaan untuk memainkan peranannya sebagai institusi pembentukan insan yang positif dan produktif.

Faktor ketiga, masalah dan krisis rumah tangga yang dihadapi oleh remaja sekolah. Akhirnya faktor pengaruh negatif rakan sebaya.

Pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dipertanggungjawabkan untuk mendidik generasi muda membenci jenayah seperti Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) telah mengambil inisiatif dengan menubuhkan Kelab Pencegahan Jenayah sejak tahun 1999 dengan kerjasama Kementerian Pelajaran.

Penubuhan kelab pencegahan jenayah di sekolah merupakan salah satu saluran terbaik mengurangkan masalah salah laku disiplin murid. Penubuhan kelab ini di sekolah-sekolah bukanlah kerana sekolah itu bermasalah tetapi kerana sekolah adalah satu-satunya tempat di mana satu kumpulan murid atau pelajar diletakkan bersama-sama dalam satu persekitaran dan kumpulan besar yang perlu diselia dengan baik oleh para guru.

Mengikut Perangkaan Kementerian Pelajaran Malaysia, setakat ini terdapat 1,972 Kelab Pencegahan Jenayah di sekolah menengah dan 5,074 kelab di sekolah rendah.


Matlamat MCPF ialah membentuk masyarakat remaja agar mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap pencegahan jenayah dan agar mereka mempunyai kefahaman mengenai penguatkuasaan undang-undang dalam konteks mewujudkan masyarakat yang harmoni dan aman.

Oleh yang demikian, adalah menjadi harapan kami agar semua pihak sama ada agensi penguatkuasaan undang-undang atau NGO bersama-sama memikul tanggungjawab untuk menangani masalah tersebut demi kebaikan masa depan generasi muda kita.

Saya mengharapkan agar pelajar juga turut memainkan peranan yang berkesan dalam membantu polis menangani masalah ini. Caranya tidak sukar, iaitu dengan tidak terlibat dan tidak melakukan jenayah. Para pelajar bertindak mengawasi anasir-anasir dari luar dan rakan-rakan sekolah yang cuba melakukan perbuatan jenayah, membuli rakan-rakan, penyalahgunaan dadah dan lain-lain salah laku jenayah.

Kekuatan diri boleh dibina menerusi didikan dan penghayatan agama dan moral yang mantap. Ini boleh dilakukan dengan meletakkan pelajaran sebagai keutamaan masa kini. Tanpa pelajaran, pelajar sukar untuk menempuh kejayaan di masa hadapan.

Golongan Pelajar adalah aset yang berharga kepada negara kerana mereka jugalah yang akan menentukan corak kehidupan kepimpinan di masa akan datang. Para pelajar harus sedar di samping belajar dan mencapai kecemerlangan dalam pelajaran, mereka juga perlu bertanggungjawab kepada diri sendiri, ibu bapa, sekolah, masyarakat, negara dan seterusnya kepada harta benda awam.

TAN SRI LEE LAM THYE ialah Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia

Utusan Malaysia Online: 18 Mac 2010

Ciri-ciri isteri solehah & wanita teladan


1. Wanita teladan & isteri solehah ialah mereka yang sentiasa mendahulukan kemahuan dan keinginan suaminya dari kemahuan dan kehendaknya sendiri.

2. Wanita teladan & isteri solehah ialah mereka yang sentiasa bersikap malu terhadap suaminya, bersopan santun pada setiap perkataan dan perbuatan.

3. Wanita teladan & isteri solehah ialah mereka yang sentiasa berhias diri bila di hadapan suami dan sebaliknya apabila ketiadaan suami.

4. Wanita teladan & isteri solehah ialah mereka yang sentiasa bersedia melayani dan memenuhi kehendak batiniah dan zahiriah suami bila diperlukan.

5. Wanita teladan & isteri solehah ialah mereka yang sentiasa menjaga kebersihan, kesihatan dan kesempurnaan diri, rumah tangga dan anak-anak suaminya.

6. Wanita teladan & isteri solehah ialah mereka yang sentiasa mencintai dan menghormati keluarga suaminya seperti mana ia mencintai dan menyayangi keluarganya sendiri.

7. Wanita teladan & isteri solehah ialah mereka yang sentiasa menjaga auratnya dari pandangan yang bukan mahramnya.

8. Wanita teladan & isteri solehah ialah mereka yang sentiasa menjaga pandangan matanya dari perkara-perkara yang tidak sihat dan mungkar.

9. Wanita teladan & isteri solehah ialah mereka yang sentiasa memberikan kesetiaan, ketaatan dan kepatuhan kepada suaminya selagi suruhan itu tidak bertentangan dengan perintah syariat.

10. Wanita teladan & isteri solehah ialah mereka yang sentiasa memberikan layanan dan kasih sayang yang sepenuhnya dan membuatkan suaminya merasakan rumah tangganya itu sebagai tempat yang paling selamat untuk mendapat ketenangan dan kebahagiaan.

11. Wanita teladan & isteri solehah ialah mereka yang sentiasa menjaga rahsia serta maruah suami dan keluarganya, demikian juga dengan maruahnya sendiri.

12. Wanita teladan & isteri solehah ialah mereka yang sentiasa menjadikan suaminya sebagai ketua dalam rumah tangga mereka sesuai dengan sifat-sifat yang telah dianugerahkan Allah kepada kaum lelaki.

13. Wanita teladan & isteri solehah ialah mereka yang sentiasa memohon keizinan suaminya untuk keluar dari rumah kerana sesuatu hajat yang diharuskan oleh syara'.

14. Wanita teladan & isteri solehah ialah mereka yang sentiasa memohon keizinan suaminya jika mahu mengerjakan puasa sunat.

15. Wanita teladan & isteri solehah ialah mereka yang sentiasa bersyukur dan tenang di atas segala dugaan dan nikmat dari Allah yang diberikan kepada suaminya.

16. Wanita teladan & isteri solehah ialah mereka yang sentiasa menemani suaminya ke muka pintu bila hendak keluar dan menyambutnya dengan seyuman bila suaminya pulang.

17. Wanita teladan & isteri solehah ialah mereka yang tidak membenarkan lelaki bukan mahram memasuki rumah ketika ketiadaan suami.

18. Wanita teladan & isteri solehah ialah mereka yang sentiasa bersedia melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai seorang isteri, ibu dan segala perintah Allah dengan tabah dan sabar.

19. Wanita teladan & isteri solehah ialah mereka yang sentiasa berdiam diri dan mendengar bila suaminya sedang bercakap.

20. Wanita teladan & isteri solehah ialah mereka yang tidak meminta sesuatu yang lebih dari suaminya sedangkan ia tidak mampu untuk menunaikannya.

21. Wanita teladan & isteri solehah ialah mereka yang sentiasa menerima pemberian suaminya dengan penuh kesyukuran dan keikhlasan.

22. Wanita teladan & isteri solehah ialah mereka yang bijak menguruskan harta suami dalam berbelanja dengan kadar yang sederhana dan tidak membazir.

Sumber : Tips Pengantin Baru

Sunday, March 14, 2010

Maahad Muhammadi Lelaki terbaik


KOTA BHARU – Sekolah Menengah Ugama Arab Maahad Muhammadi Lelaki muncul sekolah terbaik di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) serta mengekalkan keputusan peperiksaan 100 peratus dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sekolah tersebut turut sama mencatatkan sejarah apabila seorang daripada pelajarnya mendapat 15A, 14A,13A,12A,11A dan 10A.

Pengetuanya, Azhar Saleh berkata, Ahmad Harith Zabidi Azhar dinobatkan sebagai pelajar terbaik apabila mendapat 15A (12A+, 2A, 1A-).

Beliau berkata, manakala bagi 14A dan 13A masing-masing seorang pelajar, enam pelajar mendapat 12A, 10 orang 11A, dan 14 pelajar mendapat 10A.

Azhar berkata, secara keseluruhannya 53 pelajar mendapat 9A ke atas berbanding 22 orang pada tahun 2008.

Menurutnya, kejayaan tersebut adalah berkat usaha keras pihak sekolah yang banyak dibantu oleh guru-guru serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Program Maahad Gemilang merupakan salah satu program yang banyak membantu pelajar dalam mencapai keputusan yang membanggakan,’’ katanya yang merupakan bekas pengetua Maahad Muhammadi Perempuan yang telah melahirkan ramai pelajar cemerlang di peringkat negara.

Beliau berkata, bukan itu sahaja kerja keras serta semangat para pelajar sepanjang pelajaran serta solat sunat hajat yang dilakukan oleh mereka antara penyumbang kepada kejayaan tersebut.

Azhar berkata, seperti mana keputusan peperiksaan STAM sebelum ini turut sama menunjukkan keunggulan serta kecemerlangan Maahad Muhammadi di peringkat kebangsaan.

Sumber : SinarHarian

Saturday, March 6, 2010

Praktikum lagi 5 Minggu..Sabar Yer...

Assalamualaikum....

Lamanya hamba tak menaip kata di blog kita ni.Sibuk sangat tu tak la jugak.Tapi...Tension woooo...Hmnhhh...Saya pun dapat rasakan bahawa sahabat sibuk jugak kan?Dah tak kenal kawan.Kalau saya tak call...mbe masing-masing dengan dunia praktikumnya....

Inilah penangan praktikum.Bermacam ragam dan budaya.Ada yang cool n ada yang sangat tak bernasib baik...Haiyya wooo...Dugaaan...Cubaaannn...Yang pasti kena ikut segala apa yang disuruh.Masuk kandang kambing mengembek.Masuk kandang Lembu mengeboh.Masuk kandang rimau...Cari nahas la.

Okay...Banyakkan berzikir...ingatkan Allah selalu...jaga solat n jaga nafsu....Yang penting...Semangat nak kembangkan agama islam subur dalam sanubari anda.Jangan cakap kat orang.Kita kan yang terpilih.Bukan setakat insan biasa...Insan istimewa lagi.So...jangan putus asa dalam berdakwah.Duri ada dimana-mana.Hati-hati agak tidak terpijak.

hmnhhh...Tolong hantar GERKO 3 yer.Saya pun...hehehe...on da way gak.sibuk wooooo....tapi hantar ek.markah penting tu.Bye..

Thursday, March 4, 2010

Guru tidak boleh kenakan hukuman fizikal

KUALA LUMPUR: “Tiada peraturan yang membolehkan guru mengenakan sebarang hukuman fizikal terhadap murid,” kata Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan seorang guru Pendidikan Islam Sekolah Kebangsaan SS 17 yang didakwa mencubit pipi dan lengan seorang murid Orang Kurang Upaya (OKU), Zulhilmi Hakim, 12, hingga meninggalkan kesan lebam.


Kejadian berkenaan disedari bapa mangsa, Ismail Humaidi Ahmat, 45, selepas menjemput anak kedua daripada tiga beradik itu dari sekolah, di Subang Jaya, jam 3 petang, Isnin lalu. Bagaimanapun katanya, hanya guru besar dan pengetua saja mempunyai kuasa untuk mengenakan hukuman fizikal terhadap murid seperti merotan tapi perlu mengikut peraturan tertentu.


“Walaupun mereka mempunyai kuasa berbuat demikian, ia haruslah mengikut kaedah disediakan semasa pelaksanaan hukuman seperti dengan dihadiri saksi, dalam keadaan tertutup dan melalui cara tertentu.


“Selain itu, dalam keadaan sekarang, sentuhan fizikal antara guru dan murid memang tidak dibenarkan sama sekali,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Katanya, beliau akan mendapatkan maklumat daripada kedua-dua pihak (guru dan murid terbabit) dan memaklumkan kepada guru besar sekolah itu supaya menyediakan laporan lengkap berhubung kejadian itu.

“Bagaimanapun, jika laporan didapati tidak lengkap, saya akan meminta jemaah nazir sekolah menyediakannya. Perkara berkaitan anak-anak perlu dibincang antara kedua-dua pihak dan diharap ibu bapa tidak perlu bimbang kerana siasatan akan dijalankan secepat mungkin,” katanya.


Mengulas mengenai tindakan yang bakal dikenakan terhadap guru berkenaan, Alimuddin berkata, keputusan hanya akan diketahui selepas siasatan terperinci dilaksanakan jawatan kuasa disiplin. Semalam, Harian Metro menyiarkan dakwaan murid OKU yang didera guru pendidikan Islam di sekolahnya hingga lebam di pipi dan kedua-dua lengannya. Zulhilmi yang menghidap ‘dyslexia’ turut mendakwa guru berkenaan akan mencubitnya apabila dia tidak dapat membaca dan ia berlaku sebelum cuti Tahun Baru Cina dan selepas sekolah dibuka selepas perayaan itu. Dia yang pada mulanya hanya mendiamkan diri apabila ditanya kesan itu akhirnya mengakui kejadian berkenaan dilakukan ustaz di sekolahnya selepas dipujuk berulang kali oleh ibunya, Che Zaini Ahmad, 45.


Bagaimanapun, ketika ditanya guru yang dimaksudkan murid itu sehari selepas kejadian, dia menafikan perkara terbabit dan mendakwa Zulhilmi mungkin terjatuh ketika di rumah.

myMetro: 2 Mac 2010