Monday, September 27, 2010

Wanita direjam kerana berzina


GAMBAR yang disiarkan oleh stesen televisyen ABC menunjukkan beberapa orang lelaki yang merupakan anggota Taliban di lokasi hukuman rejam ke atas seorang wanita yang didakwa berzina di Pakistan.


ISLAMABAD - Seorang wanita ditanam pada paras dada sebelum sekumpulan lelaki melontar batu berulang kali ke arahnya, lapor sebuah akhbar semalam.

Rakaman tersebut yang disiarkan stesen penyiaran ABC menunjukkan anggota-anggota Taliban merejam seorang wanita sehingga mati di barat daya Pakistan.

Hukuman rejam kerana berzina biasa dilaksanakan di Iran dan Arab Saudi.

Namun, wanita itu dipercayai direjam sehingga mati setelah dia dilihat bersama seorang lelaki bukan muhrim.
Hukuman tersebut dipercayai dilaksanakan dua bulan lalu di wilayah Orakzai.

Klip video berkenaan yang dirakamkan dengan menggunakan telefon bimbit diseludup keluar oleh seorang anggota Taliban yang menyaksikan pelaksanaan hukuman itu sebelum ia diserahkan kepada saluran televisyen Al Aan, di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE). Klip itu juga boleh ditonton di laman YouTube.

Seorang menteri Kesatuan Eropah (EU), Jorge Barroso yang menonton klip video itu, menyifatkan hukuman tersebut sebagai tidak berperikemanusiaan.

"Kami mengutuk perbuatan itu yang tidak memiliki justifikasi dari sudut moral mahupun agama," katanya. - Agensi

Friday, September 24, 2010

CUEPACS mohon 2 bulan bonus untuk kakitangan awam

SEREMBAN 22 Sept. - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memohon kerajaan mempertimbangkan pemberian bonus dua bulan gaji kepada kakitangan awam tahun ini.

Presidennya, Omar Osman berkata, pihaknya berharap peruntukan itu akan diumumkan pada pembentangan Bajet 2011 pada Oktober ini.

Beliau memberitahu, pihaknya sudah membuat permohonan rasmi kepada kerajaan dengan menghantar surat pertimbangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak beberapa bulan lalu.

Tambahnya, dengan keadaan ekonomi yang lebih baik sekarang, jika tidak boleh diberikan bonus dua bulan gaji, CUEPACS berharap kerajaan mempertimbangkan pemberian sekurang-kurangnya sebulan gaji.

"Penjawat awam tulang belakang kerajaan. Saya harap tiada pihak yang mempertikaikan tuntutan pemberian bonus kepada penjawat awam. Jika tidak CUEPACS memperjuangkannya, siapa lagi?

"Jadi kita berharap kerajaan sedia mempertimbangkan permohonan ini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hari raya anjuran Persatuan Keluarga Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Malaysia di sini hari ini.

Kata Omar, pemberian bonus itu mampu menyuntik semangat selain meringankan beban tanggungan 1.2 juta kakitangan awam di seluruh negara.

"Apatah lagi sehingga kini sudah dua tahun kakitangan awam tidak menerima bonus.

"Pemberian saguhati hari raya baru-baru ini pula bukan diterima semua penjawat awam seperti pegawai-pegawai atasan," katanya.

Dalam perkembangan lain, kata Omar, pihaknya turut berharap kerajaan menyegerakan tuntutan Kemas agar semua 14,500 kakitangan kontraknya diserapkan ke jawatan tetap selewat-lewatnya tahun depan.

"Kalau diikutkan, berbanding kakitangan awam dari segi kemudahan, kakitangan Kemas sudah jauh ketinggalan dari segi jaminan masa depan termasuk pencen, jaminan perubatan dan sebagainya.

"Jadi kita berharap dalam pembentangan bajet Oktober ini, perkara ini juga dapat dimasukkan agar semua kakitangan Kemas ini diserapkan kepada jawatan tetap," katanya.

Tambah Omar, tuntutan tersebut sudah lama berlarutan namun sehingga kini status kakitangan Kemas ini belum diputuskan.

"CUEPACS juga sudah menyerahkan satu memorandum khas kepada Perdana Menteri beberapa bulan lepas berhubung perkara ini.

"Kita bukan mendesak tetapi berharap kerajaan menyegerakan sebab hari ini kakitangan Kemas berasa gusar dan tidak tenang kerana kebajikan mereka masih terabai," katanya.

Utusan Malaysia Online: 23 September 2010

Ada usaha jatuhkan kerajaan


KOTA BHARU – Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengakui ada usaha untuk menjatuhkan beliau, namun menafikan isu sumbangan wang RM4 bilion sebagai satu usaha untuk menjatuhkan pentadbiran beliau.

Nik Abdul Aziz juga menafikan isu itu membabitkan pemimpin dalaman parti kerana beliau yakin setiap ahlinya dididik dengan ajaran Islam yang sebenar.

“Usaha (menjatuhkan beliau) memang ada... kerana tiap-tiap parti politik usahanya untuk menjatuhkan parti lain. Memang begitu kaedahnya. Bukan sekadar parti politik... manusia juga ada usaha jatuh menjatuhkan antara satu sama lain.

“Allah SWT sebut kepada Nabi Adam AS sewaktu Nabi Adam nak turun daripada syurga ke dunia iaitu; antara satu sama lain anak cucu kamu akan bertengkar cuma jika tidak mahu bertengkar, mana-mana orang kena turut aku (Allah). A jangan turut A, B jangan turut B turut aku. Baru selamat,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu penyampaian replika cek berjumlah RM4 bilion oleh I’Da World Group Sdn Bhd untuk pembangunan negeri ini pada satu majlis di sini, minggu lalu.

Berikutan itu, ada dakwaan mengatakan ia adalah salah satu usaha untuk menjatuhkan pentadbiran Kerajaan Negeri yang dipimpin oleh Nik Abdul Aziz.

Beliau yang juga Mursyidul Am Pas berkata, dalam dunia ini, jatuh menjatuhkan memang menjadi kerja manusia.

“Jatuh menjatuhkan ini kerja manusia baik di dalam perniagaan, politik, pentadbiran dan dalam rebutan apa pun memang kerja manusia. Kerja manusia ialah jatuh menjatuhkan.

“Kecuali orang yang beriman kepada Allah. Mereka ini tidak ada unsur jatuh menjatuhkan, dengki tidak ada, dendam tidak ada. Masing-masing mahu menyelamatkan saudara. Ini adalah ajaran Islam,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menganggap kemelut itu sebagai satu isu biasa dan beliau tidak mahu membuat sebarang tuduhan terhadap pihak terbabit.

“Pada saya ia perkara biasa dan saya tidak mahu tuduh dia (pihak terbabit). Boleh jadi dia tersalah. Boleh jadi dia ada rancangan lain tetapi saya letak dia ni boleh jadi dia tersalah. “Terlalu sangat nak projek di Kelantan maka tindakan dia itu agak luar biasa. Itu tak betul,” katanya.

Mengulas mengenai dakwaan isu terbabit menunjukkan bahawa di dalam pentadbiran beliau juga wujud unsur-unsur rasuah beliau bagaimanapun menafikannya.

Tahun lalu, Nik Aziz dikecam hebat ekoran pelantikan menantunya, Ir Abdul Ariffahmi Abd Rahman sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar (PMBK) sehingga membuatkan menantunya itu melepaskan jawatan tersebut.

Kemudiannya, Nik Abdul Aziz diserang lagi apabila beliau dan dikatakan menerima tawaran mengerjakan haji dengan pakej VVIP bernilai RM65,000 oleh seorang kontraktor yang mendapat projek dari kerajaan negeri.

Terbaru, beliau sekali lagi dikaitkan dengan isu sumbangan RM4 bilion yang kononnya diterima oleh adiknya, Nik Din daripada Pengerusi Eksekutif I’Da World Sdn Bhd, Abdul Rahim pada satu majlis di sini.

Sunday, September 5, 2010

Jualan dinar, dirham laris



KUALA LUMPUR - Sejumlah RM1.5 juta dinar emas dan RM500,000 wang dirham yang diperkenalkan Kerajaan Pas Kelantan sebagai alternatif kepada mata wang sedia ada habis dijual dalam tempoh tiga minggu sejak dilancarkan 12 Ogos lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kelantan Golden Trade Sdn Bhd (KGT), Profesor Dr Umar Ibrahim Vadillo berkata, negeri Kelantan menunjukkan perkembangan paling pantas penjualan mata wang dinar dan dirham sejak diperkenalkan di negeri itu.

“Orang ramai diminta menunggu sehingga selepas musim perayaan Aidilfitri bagi mendapatkan dinar emas Kelantan dan menghubungi pihak KGT kerana ia adalah satu-satunya agensi yang bertanggungjawab bagi penjualan mata wang ini.

“Bagi mengelak berlaku sebarang kekeliruan, orang ramai dinasihatkan tidak menghubungi lain-lain jabatan kerajaan seperti Pejabat Menteri Besar atau Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) bagi tujuan mendapatkan dinar emas dan dirham ini,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Menurutnya, Kerajaan Kelantan telah melipatgandakan modal operasi KGT daripada RM2 juta kepada RM4 juta untuk meningkatkan jumlah pengeluaran mata wang ini.

“Kami telah menyediakan penambahan syarikat pengeluaran dinar dan dirham di sini iaitu melalui syarikat Public Gold Sdn Bhd yang terletak di Penang.

“Dari segi edaran pula, kami juga telah menambah jumlah ejen untuk mengedarkan mata wang ini daripada dua buah iaitu Permodalan Kelantan Berhad (PKB) Ar-Rahn (Kota Baharu) dan Nubex (Kuala Lumpur) kepada enam buah lagi yang akan dikenal pasti,” katanya.

Friday, September 3, 2010

2,000 guru j-QAF belum terima surat pelantikan


KUALA LUMPUR 1 Sept. - Kira-kira 2,000 guru lepasan kursus Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Jawi, al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain (j-QAF) masih belum menerima surat pelantikan dan penempatan walaupun sudah tamat kursus dan telah ditemu duga.

Perkara itu didedahkan Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGGMB), Mohamed Sabri Mohd. Arsad selepas mesyuarat khas bersama Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres) yang dihadiri oleh 16 ahli jawatankuasa semalam.

Menurutnya, isu berkenaan telah dibangkitkan dalam mesyuarat dengan Bahagian Sumber Manusia Kementerian Pelajaran pada 6 Ogos lalu tetapi sehingga kini masih belum ada sebarang kata putus.

"Saya memohon agar perkara ini disegerakan kerana guru-guru tersebut sepatutnya diserap pada Jun lalu.
"Akibat kelewatan itu, murid tahun enam dan sebahagian murid tahun lima di 500 sekolah perintis j-QAF di seluruh negara menghadapi masalah ketiadaan guru berkelayakan untuk mengajar mata pelajaran berkenaan," katanya.

Beliau ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan jawatankuasa Kongres terbabit bagi membincangkan mengenai isu pendidikan semasa di Hotel Kuala Lumpur International di sini semalam.

Hadir sama Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia yang juga Presiden Kongres, Jemale Paiman.

Sementara itu, Jemale memberitahu, kementerian perlu membuat penambahbaikan terhadap laluan kerjaya kepada guru-guru bukan siswazah iaitu pegawai perkhidmatan berkelulusan diploma.

"Penambahbaikan itu juga perlu dilakukan di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) kerana bahagian itu sering menghadapi masalah mendapatkan pegawai baru disebabkan ruang dan laluan kerja yang kurang menarik," kata beliau.

Tambah Jemale, pihaknya juga memohon supaya kementerian membenarkan guru siswazah gred DG48 bergiat aktif dalam mana-mana kesatuan guru.

Utusan Malaysia Online: 4 September 2010