Saturday, December 19, 2009

Perodua Alza


Perodua Alza

Oleh IRWAN ASRI MOHD NOR
irwan@majalahkereta.com.my
Menjadi MPV pertama daripada Perodua, mampukah Alza meneruskan kejayaan model Myvi dan Viva?


AWAL tahun ini, saya berkesempatan ke Jepun membuat liputan Tokyo Auto Salon 2009. Bagi sebuah negara yang memiliki industri automotif terbesar dunia, pengeluar kereta daripada pelbagai segmen, model baru yang hampir saban minggu memasuki pasaran, Jepun memiliki landskap automotif yang unik.

Saya percaya, jika anda sekadar rakyat biasa, adalah mustahil untuk megenali setiap model yang terdapat di Jepun. Daripada model K-Car yang banyak macam basikal, MPV ibarat Yamaha LC dengan bermacam-macam varian.

Pameran Tokyo Auto Salon itu juga menjadi tumpuan penala (tuner) aftermarket untuk mempersembahkan produk yang bakal memasuki pasaran. Saya tidak akan bercerita mengenai industri aftermarket di sana, cuma saya tertarik di satu sudut tapak pameran terdapat beberapa buah model Passo Sette talaan khas, Modellista dan Admiration.

MPV Perodua

Ketika itu juga, Malaysia sedang hangat dengan desas-desus bahawa Perodua bakal memperkenalkan MPV pada 2009. Secara jujurnya, saya tidak langsung menjangka bahawa Perodua akan mengambil Passo Sette/Boon Luminas sebagai asas kerana logiknya, Daihatsu Luxio ialah calon paling sesuai.

Daihatsu Luxio ialah projek luar Jepun yang berjaya, sama seperti Gran Max yang amat popular di Indonesia. Ia seperti masyhurnya dengan Toyota Lite Ace. Cuma vanmini itu lebih kecil. Namun jika melihat kepada poliferasi dan strategi Toyota-Daihatsu di Asia dan Malaysia khususnya, model Luxio adalah yang paling hampir sifatnya. Lihat sahaja segmentasi mini dan midi MPV yang dikuasai Avanza dan Innova. Tiada Estima, Ipsum atau Isis sekalipun.

Apabila khabar angin tentang Perodua MPV D46T bertiup kencang, gambar spyshot mula kelihatan di laman web, saya kembali mencari dalam cakera keras gambar yang dirakam. Ya. Ia kereta yang sama disaksikan awal tahun ini. Passo Sette dan Boon Luminas yang telah pun saya tulis dalam artikel dua bulan yang lalu. Perodua secara rasminya telah melancarkan Alza, model MPV 'tempatan' kedua selepas Proton Exora.
Ia dijual pada harga bermula RM56,000 hingga RM64,000 untuk varian standard dan premium. Sama dengan strategi sebelum ini, Perodua turut menawarkan varian advance pada harga RM67,000 hingga RM70,000. Ia merupakan versi pakej penuh bersama badan, sistem navigasi GPS dengan kamera undur, tinted dan tempat duduk kulit.

Terlalu banyak pilihan
Perodua memang bijak mencari peluang. Kini ia menguasai pasaran kenderaan penumpang menerusi hanya dua model, Myvi dan Viva. Mungkin pelik, tetapi itulah ajaibnya tentang Perodua, mereka berjaya mengisi kekosongan dengan hanya dua model yang menguasai senarai jualan setiap bulan.

Jika mengambil kira persaingan terus Perodua dengan Proton, jualan Myvi dan Viva setiap bulan sentiasa mendahului angka jualan gabungan model Saga, Persona, Exora, Waja dan Satria Neo.


No comments:

Post a Comment