Saturday, December 26, 2009

Kemalangan Maut : 10 Terkorban




IPOH: Pemandu bas  yang terbabas dan melanggar pembahagi jalan di KM272.8 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara awal hari ini yang mengakibatkan 10 penumpang maut manakala dua lagi cedera, mengaku "terlelap" sebelum kejadian.

Ketua Trafik Ipoh, DSP Mohd Rodzi Rejab, berkata siasatan awal polis mendapati pemandu berkenaan merancang untuk bertukar giliran memandu dengan pembantunya sebaik tiba di kawasan Rehat & Rawat Sungai Perak dekat sini.

"Ujian alkohol dan dadah yang dijalankan ke atas pemandu berusia 38 tahun itu didapati negatif," katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Beliau berkata, pemandu berkenaan direman sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mohd Rodzi berkata, bas ekspres tersebut tidak mempunyai rekod kesalahan trafik namun beliau enggan menyatakan rekod pemandu yang ditahan itu.

Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, meminta kerajaan pusat mempertimbangkan agar tidak membenarkan lagi bas ekspres beroperasi pada waktu malam.
Beliau berkata sekiranya langkah itu mampu melindungi nyawa pengguna perkhidmatan berkenaan maka ia amat wajar sekali dipertimbangkan.

"Nyawa orang ramai adalah yang paling utama," katanya kepada pemberita selepas menemui dan menyampaikan sumbangan peribadi kepada anggota keluarga mangsa nahas berkenaan di luar Rumah Mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini hari ini.

Sumber Berita : Bernama & http://www.bharian.com.my/

No comments:

Post a Comment