Saturday, October 17, 2009

Seronok mengajar murid istimewa yang hadapi masalah pembelajaran.

KUANTAN - Memilih menjadi guru selepas dua tahun bergelar pensyarah bukan halangan Wan Misnadi Wan Hassan memberi terbaik apatah lagi mengajar murid istimewa yang hadapi masalah pembelajaran.

Wan Misnadi berkata, murid istimewa memerlukan bimbingan berterusan dan berulang-ulang kerana mereka mempunyai pelbagai masalah yang memerlukan kesabaran guru dalam menghadapi situasi itu.

Menurutnya, hampir 10 bulan berkhidmat, dia kini semakin seronok dan boleh mengikut rentak seperti guru lain yang sudah lama berkhidmat.

“Tidak dinafikan pada mula bertugas, saya sedikit tertekan dengan situasi baru ini, malah tidak tahu cara menguruskan murid istimewa.

“Bagaimanapun, pengajian diploma lalu sedikit sebanyak membantu saya memahami murid istimewa,” katanya ketika ditemui, di sini.

Katanya, setiap kali waktu pembelajaran dia sering tertanya-tanya sama ada murid memahami atau tidak yang diajarnya.

“Keadaan itu terjadi dalam dua bulan pertama mengajar. Lama-kelamaan, saya mula mengetahui pendekatan sesuai untuk mengajar agama kepada murid istimewa ini.

“Dulu saya mengajar mereka muqaddam, sejarah dan fardu ain namun selepas mengikuti kursus jurulatih utama baru-baru ini, murid istimewa hanya perlu menguasai muqaddam dan solat,” katanya.

Katanya, bagi mengenal pasti setiap murid menguasai dengan baik setiap topik diajar, borang penilaian disediakan setiap kali amali solat dijalankan.

“Saya akan menilai mereka dari semasa ke semasa bagi melihat prestasi yang ditunjukkan dalam tempoh tertentu.

“Alhamdulillah, setakat ini tiga murid istimewa berjaya mengikuti kelas arus perdana dan saya semakin seronok bergelar guru berbanding ketika menjadi pensyarah dahulu,” katanya.

Dengan sokongan dan kerjasama rakan sejawat katanya, dia kini semakin positif melaksanakan tugas sebagai guru pemulihan khas yang mengajar pendidikan Islam.

“Saya juga gembira kerana setelah beberapa tahun, saya adalah guru pertama mengajar pendidikan Islam kepada murid istimewa di sekolah ini.

“Saya berharap, guru senior lain berkongsi pengalaman dan ilmu mereka kepada saya supaya dapat melancarkan tugas mendidik murid istimewa,” katanya.

Sinar Harian: 3 Oktober 2009

No comments:

Post a Comment