Saturday, October 17, 2009

Daftar anak istimewa untuk elaun khas

MELAKA 16 Okt. - Ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa perlu menyegerakan pendaftaran sekolah anak-anak mereka di sekolah pendidikan khas.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, selain membolehkan mereka mendapat pendidikan sempurna, anak-anak istimewa itu layak mendapat elaun khas yang diperuntukkan kerajaan bermula tahun ini.

Menurutnya, kegagalan ibu berbuat demikian menyebabkan elaun khas yang diperuntukkan sebanyak RM150 sebulan gagal disalurkan kepada golongan terbabit.

''Kita bimbang masih trend ibu bapa yang satu ketika dulu tidak beri anak-anak istimewa keluar dari dari rumah atau mendaftarkan mereka ke sekolah khas.

''Oleh itu, kita beri peluang dengan menyediakan elaun khas kepada anak-anak istimewa ini untuk membolehkan mereka belajar di sekolah pendidikan khas dan pada masa yang sama menikmati bantuan kerajaan,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Pendidikan Khas Kebangsaan anjuran Bahagian Pendidikan Khas Kementerian Pelajaran di sini baru-baru ini.

Seminar dua hari itu disertai 150 orang terdiri daripada guru pendidikan khas, pertubuhan bukan kerajaan dan individu yang berminat dalam bidang pengajian pendidikan khas.

Selain itu kata Alimuddin, langkah kerajaan menaikkan elaun murid khas daripada RM50 kepada RM150 bertujuan membantu membiayai keperluan murid khas dalam mendapat pendidikan.

Katanya, peruntukan itu menjadi sia-sia sekiranya ia tidak dapat diagihkan kepada golongan yang memerlukan bantuan.

''Kita juga bimbang mungkin ada di kalangan ibu bapa anak kurang upaya ini tidak sedar mengenai elaun khas yang disediakan," katanya.

No comments:

Post a Comment