Friday, September 24, 2010

Ada usaha jatuhkan kerajaan


KOTA BHARU – Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengakui ada usaha untuk menjatuhkan beliau, namun menafikan isu sumbangan wang RM4 bilion sebagai satu usaha untuk menjatuhkan pentadbiran beliau.

Nik Abdul Aziz juga menafikan isu itu membabitkan pemimpin dalaman parti kerana beliau yakin setiap ahlinya dididik dengan ajaran Islam yang sebenar.

“Usaha (menjatuhkan beliau) memang ada... kerana tiap-tiap parti politik usahanya untuk menjatuhkan parti lain. Memang begitu kaedahnya. Bukan sekadar parti politik... manusia juga ada usaha jatuh menjatuhkan antara satu sama lain.

“Allah SWT sebut kepada Nabi Adam AS sewaktu Nabi Adam nak turun daripada syurga ke dunia iaitu; antara satu sama lain anak cucu kamu akan bertengkar cuma jika tidak mahu bertengkar, mana-mana orang kena turut aku (Allah). A jangan turut A, B jangan turut B turut aku. Baru selamat,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu penyampaian replika cek berjumlah RM4 bilion oleh I’Da World Group Sdn Bhd untuk pembangunan negeri ini pada satu majlis di sini, minggu lalu.

Berikutan itu, ada dakwaan mengatakan ia adalah salah satu usaha untuk menjatuhkan pentadbiran Kerajaan Negeri yang dipimpin oleh Nik Abdul Aziz.

Beliau yang juga Mursyidul Am Pas berkata, dalam dunia ini, jatuh menjatuhkan memang menjadi kerja manusia.

“Jatuh menjatuhkan ini kerja manusia baik di dalam perniagaan, politik, pentadbiran dan dalam rebutan apa pun memang kerja manusia. Kerja manusia ialah jatuh menjatuhkan.

“Kecuali orang yang beriman kepada Allah. Mereka ini tidak ada unsur jatuh menjatuhkan, dengki tidak ada, dendam tidak ada. Masing-masing mahu menyelamatkan saudara. Ini adalah ajaran Islam,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menganggap kemelut itu sebagai satu isu biasa dan beliau tidak mahu membuat sebarang tuduhan terhadap pihak terbabit.

“Pada saya ia perkara biasa dan saya tidak mahu tuduh dia (pihak terbabit). Boleh jadi dia tersalah. Boleh jadi dia ada rancangan lain tetapi saya letak dia ni boleh jadi dia tersalah. “Terlalu sangat nak projek di Kelantan maka tindakan dia itu agak luar biasa. Itu tak betul,” katanya.

Mengulas mengenai dakwaan isu terbabit menunjukkan bahawa di dalam pentadbiran beliau juga wujud unsur-unsur rasuah beliau bagaimanapun menafikannya.

Tahun lalu, Nik Aziz dikecam hebat ekoran pelantikan menantunya, Ir Abdul Ariffahmi Abd Rahman sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar (PMBK) sehingga membuatkan menantunya itu melepaskan jawatan tersebut.

Kemudiannya, Nik Abdul Aziz diserang lagi apabila beliau dan dikatakan menerima tawaran mengerjakan haji dengan pakej VVIP bernilai RM65,000 oleh seorang kontraktor yang mendapat projek dari kerajaan negeri.

Terbaru, beliau sekali lagi dikaitkan dengan isu sumbangan RM4 bilion yang kononnya diterima oleh adiknya, Nik Din daripada Pengerusi Eksekutif I’Da World Sdn Bhd, Abdul Rahim pada satu majlis di sini.

No comments:

Post a Comment