Friday, September 3, 2010

2,000 guru j-QAF belum terima surat pelantikan


KUALA LUMPUR 1 Sept. - Kira-kira 2,000 guru lepasan kursus Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Jawi, al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain (j-QAF) masih belum menerima surat pelantikan dan penempatan walaupun sudah tamat kursus dan telah ditemu duga.

Perkara itu didedahkan Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGGMB), Mohamed Sabri Mohd. Arsad selepas mesyuarat khas bersama Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres) yang dihadiri oleh 16 ahli jawatankuasa semalam.

Menurutnya, isu berkenaan telah dibangkitkan dalam mesyuarat dengan Bahagian Sumber Manusia Kementerian Pelajaran pada 6 Ogos lalu tetapi sehingga kini masih belum ada sebarang kata putus.

"Saya memohon agar perkara ini disegerakan kerana guru-guru tersebut sepatutnya diserap pada Jun lalu.
"Akibat kelewatan itu, murid tahun enam dan sebahagian murid tahun lima di 500 sekolah perintis j-QAF di seluruh negara menghadapi masalah ketiadaan guru berkelayakan untuk mengajar mata pelajaran berkenaan," katanya.

Beliau ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan jawatankuasa Kongres terbabit bagi membincangkan mengenai isu pendidikan semasa di Hotel Kuala Lumpur International di sini semalam.

Hadir sama Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia yang juga Presiden Kongres, Jemale Paiman.

Sementara itu, Jemale memberitahu, kementerian perlu membuat penambahbaikan terhadap laluan kerjaya kepada guru-guru bukan siswazah iaitu pegawai perkhidmatan berkelulusan diploma.

"Penambahbaikan itu juga perlu dilakukan di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) kerana bahagian itu sering menghadapi masalah mendapatkan pegawai baru disebabkan ruang dan laluan kerja yang kurang menarik," kata beliau.

Tambah Jemale, pihaknya juga memohon supaya kementerian membenarkan guru siswazah gred DG48 bergiat aktif dalam mana-mana kesatuan guru.

Utusan Malaysia Online: 4 September 2010

No comments:

Post a Comment