Saturday, June 26, 2010

Pentaksiran Berasaskan Sekolah ganti UPSR, PMR


Lembaga peperiksaan, sedia panduan buat soalan nilai pelajar

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran bercadang memperkenalkan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SBA) bagi menggantikan peperiksaan awam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang dimansuhkan selepas ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kementerian mahu menyeragamkan pelaksanaan SBA menerusi lembaga peperiksaan yang akan menentukan bentuk soalan yang bakal disediakan guru untuk peperiksaan serta membolehkan sekolah membuat penilaian terhadap pencapaian pelajarnya.

Beliau berkata, hasil keputusan SBA membolehkan guru dan ibu bapa mengetahui tahap pencapaian pelajar, sekali gus menolak andaian pemansuhan UPSR dan PMR akan menghapuskan sistem penilaian pelajar dan hanya dilakukan ketika mereka di tingkatan lima.

Katanya, cadangan memansuh dua peperiksaan itu juga bukan perkara baru, sebaliknya sudah dikaji kementerian sejak 2007 oleh pasukan yang meneliti isu sistem pendidikan negara ini yang lebih berorientasikan peperiksaan kerana wujud tiga peperiksaan awam, berbanding hanya satu peperiksaan di kebanyakan negara.

“Kita bukan nak hapuskan sistem tanpa ada penilaian, tetapi mungkin perkenalkan SBA. Ini belum kita maklumkan tetapi sudah diteliti serta dikaji dan didapati mungkin sesuai kerana SBA sudah diamalkan di banyak negara dan tidak menjejaskan pembelajaran, pengajaran guru dan pembelajaran murid.

“Saya tidak fikir kita memerlukan jawatankuasa khas yang dipilih untuk membincangkan isu pemansuhan UPSR dan PMR kerana ini tanggungjawab peringkat kementerian,” katanya.
dan bukan urusan Parlimen. Namun, saya sedia menerima pelbagai pandangan dan cadangan," katanya ketika menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia Kesepukuh (RMK-10), di Dewan Rakyat semalam.

Muhyiddin berkata, beliau bersetuju peperiksaan penting tetapi pemansuhan UPSR dan PMR dijangka dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan dalam aspek perbelanjaan mengurus, penggunaan sumber manusia dan mengurangkan beban tugas guru untuk mengendalikan peperiksaan.

Beliau berkata, guru memberi banyak tumpuan untuk mencapai gred A cemerlang dan urusan sekolah juga banyak menjurus ke arah itu, menyebabkan tanggungan kerja bertambah yang turut membebankan pelajar.

"Disebabkan pencapaian diukur menerusi peperiksaan, ibu bapa yang prihatin terpaksa menghantar anak ke kelas tuisyen walaupun sekolah menyediakan sistem pembelajaran yang agak baik. Kesannya, kos untuk tuisyen berbilion ringgit setiap tahun dan memberi keuntungan kepada pihak tertentu," katanya.

Muhyiddin berkata, pengurangan peperiksaan juga memberi peluang guru dan murid memberi tumpuan kepada meningkatkan kemahiran insaniah, inovasi dan kreativiti.

Sementara itu, beliau berkata, kementerian pada peringkat akhir kajian melaksanakan program permulaan sesi persekolahan formal daripada 6+ tahun kepada seawal 5+ tahun dalam usaha memastikan sistem pendidikan di negara ini seiring Plan Transformasi Negara (GTP) untuk mencapai modal insan bertaraf dunia.

Katanya, kajian terperinci mendapati 95 peratus kanak-kanak sudah menguasai kemahiran 3M (membaca, mengira dan menulis) dan mempunyai kemahiran bersosial dengan rakan sebaya seawal umur lima tahun melalui pendidikan prasekolah.

"Kementerian juga mahu melahirkan modal insan berkemahiran dan kebolehpasaran bermula di peringkat persekolahan dengan merombak sistem pendidikan Teknik, Vokasional dan Kemahiran (pendidikan Voctech) supaya menjadi pendidikan arus perdana.

"Ini membabitkan penambahbaikan kurikulum pendidikan Voctech sedia ada melalui pengukuhan pendidikan daripada berasaskan pengetahuan kepada kemahiran supaya mencapai standard bagi memenuhi keperluan pekerjaan dan pasaran semasa,” katanya.

No comments:

Post a Comment