Tuesday, June 15, 2010

Guru wajib ada ijazah


Oleh Faizatul Farlin Farush Khan
ffarlin@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Semua guru yang berkhidmat di bawah Kementerian Pelajaran termasuk guru tadika wajib memiliki sekurang-kurangnya ijazah pertama, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata, langkah itu diputuskan bagi memperkukuhkan sistem pendidikan negara bagi penambahbaikan perkhidmatan pendidikan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kelmarin.


“Usaha ke arah itu sedang dilaksanakan kementerian bagi memastikan matlamat semua guru mempunyai kelayakan seperti ditetapkan kementerian dapat dicapai,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah kepada pelajar yang memenangi Pertandingan Mengarang Esei Eco Aeon ke Jerman 2010 di pusat beli-belah Aeon Jusco AU2, di sini, semalam.


Selain itu, Dr Mohd Puad berkata, untuk guru yang bukan di bawah kementerian iaitu guru tadika Kemas dan Perpaduan, mereka akan dilatih kementerian bagi memastikan bahan yang diajar adalah berkualiti.


Katanya, usaha itu penting bagi melayakkan mereka mempunyai pengetahuan, latihan dan kemahiran yang cukup mendidik generasi baru.


“Kita juga sedang menyelaraskan semua prasekolah di seluruh negara serta menambah bilangannya bagi memastikan sekurang-kurangnya 87 peratus kanak-kanak dapat memasuki ke prasekolah.


“Contohnya ketika ini, kita giat menambah kemudahan prasekolah termasuk menjadikan beberapa rumah panjang di kawasan pedalaman Sarawak untuk ditukar kepada bilik darjah,” Dr Mohd Puad berkata, kementerian juga sedang dalam usaha untuk membangunkan sekolah amanah iaitu sekolah yang diusahakan secara bersama antara kerajaan dan korporat.

Katanya, sudah ada beberapa pihak korporat berminat dan bersetuju bekerjasama dengan kementerian.

myMetro: 12 Jun 2010

No comments:

Post a Comment