Saturday, April 10, 2010

Makmal nilai pencapaian guru diwujud

Kementerian Pelajaran mewujudkan sebuah lagi makmal bagi menilai tahap pencapaian guru bertujuan memastikan proses kenaikan pangkat guru dapat dibuat dengan lebih telus. adil dan saksama sebagai usaha memartabatkan lagi profesion perguruan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia juga dibuat bagi memastikan tidak ada lagi guru yang sepatutnya mendapat kenaikan kerana cemerlang dalam perkhidmatan terlepas pandang hanya kerana mereka mengajar di pedalaman.

Ada sesetengah guru berasakan mereka seolah-olah tidak diberikan perhatian dan oleh sebab itu kita nak pastikan supaya ada satu sistem yang lebih telus diikuti dengan sistem pengurusan lebih cekap supaya rekod guru yang ada terkini dan kemas.

Melaluinya kita dapat melihat semua profil guru yang ada disimpan dengan lengkap dan bila guru berkhidmat, prestasi guru dinilai dari semasa ke semasa dengan lebih rapi supaya kita boleh memberikan pengiktirafan kepada guru, katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perjumpaan Timbalan Perdana Menteri Bersama Guru Seluruh Hulu Selangor di Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor, di sini semalam.

Hadir sama, Menteri Pertanian, Datuk Noh Omar dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, langkah itu perlu dilihat sebagai cabaran kerana jabatan yang akan menguruskan bahagian itu bukan jabatan biasa kerana ia memerlukan tenaga manusia ramai untuk menilai dia memastikan sistem itu agak kemas dan wujud dengan cara rapi selain penilaian perlu dibuat secara adil dan saksama.

Langkah itu juga dibuat bagi memastikan tidak ada guru berasa seolah-olah `dianaktirikan atau tidak diberikan layanan yang baik dan saksama atau tidak diberikan perhatian langsung, katanya.

Sementara itu, Muhyiddin mengumumkan peruntukan RM2 juta untuk menyelesaikan masalah banjir yang sering menghantui kira-kira 2,000 penduduk di Kampung Sentosa, Bukit Beruntung, dekat sini.

Berita Harian Online: 3 April 2010

No comments:

Post a Comment