BAGAN SERAI – Pendidikan Khas yang disertai semua pelajar dari golongan orang kelainan upaya (OKU) di Sekolah Menengah Kebangsaan Bagan Serai beruntung kerana memiliki guru yang yang cekal dan tabah dalam melayani karenah mereka sebagai anak didik.
Pengetua SMK Bagan Serai, Salmah Abdullah Shakur berkata, guru yang mengajar untuk anak-anak pendidikan khas ini mempunyai satu tanggungjawab yang berat berbanding guru biasa.
Bayangkanlah setiap pelajar OKU ini perlu di ajar mengikut kesesuaian mereka yang tidak sama tahap kekurangannya.
"Di sekolah guru-guru telah menekankan pelbagai aspek pembelajaran dengan lebih memberatkan kepada kemahiran hidup praktikal berbanding teori dan amali.
"Kita memahami kesukaran untuk pelajar pendidikan khas ini mengikuti kelas-kelas teori dan mereka lebih senang untuk melakukan secara praktikal untuk lebih mudah mengingati," katanya.
Salmah berkata, tidak sekadar di sekolah, ibu bapa juga perlu mempelajari cara bagaimana untuk mengajar anak-anak pendidikan khas ini untuk lebih memberi kesan kepada mereka,
Katanya, di rumah adalah waktu yang terbaik ibu bapa bersama anak-anak untuk melanjutkan lagi pembelajaran praktikal dan teori di sekolah supaya anak-anak istimewa ini lebih memahami sesuatu pelajar berkenaan.
"Kita amat berbangga mempunyai guru-guru yang begitu prihatin dan tabah dalam mendidik anak-anak ini di dalam kelas pendidikan khas," katanya yang ditemui ketika majlis jamuan raya SMK Bagan Serai yang turut dihadiri oleh tetamu undangan khas Adun Alor Pongsu, Sham Mat Sahat yang memberikan sumbangan duit raya kepada pelajar pendidikan Khas di sini baru-baru ini.
Menurutnya, sejajar dengan kehendak kementerian pelajaran kita juga telah memberikan kemahiran hidup untuk pelajar pendidikan khas ini seperti mengajar mereka teknik bercucuk tanam yang diajar di sekolah dengan menyediakan ruang kepada pelajar ini untuk menghasilkan pendapatan di samping menimba ilmu pertanian.
Katanya, pihaknya juga bekerja sama dengan Jabatan pertanian Daerah Kerian yang berbesar hati memberi sumbangan termasuk benih serta kelengkapan bertani.
Menurutnya, hasil daripada pertanian ini akan dijual dan wang hasil jualan akan di masukkan ke dalam tabung pendidikan khas.
“Kita amat berterima kasih kepada pihak Jabatan Pertanian Daerah Kerian atas kerjasama yang di berikan dan berharap ianya dapat diteruskan di masa hadapan," katanya.
Sementara itu, Sham berkata, sekolah pendidikan khas sebenarnya merupakan atas inisiatif dan tanda prihatin kerajaan dalam memberi perhatian khusus kepada pelajar-pelajar kurang upaya khususnya anak-anak yang mempunyai deria dan fizikal yang tidak normal.
Menurutnya, mereka ini tidak dibiarkan tanpa pelajaran yang khusus demi menjaga kepentingan masa hadapan mereka kelak malah aspek pelajaran menjadi begitu penting walaupun mereka adalah golongan istimewa.
Beliau berkata, kerajaan tidak memilih-milih dalam menyalurkan pelajaran yang secukupnya kepada golongan OKU ini supaya nasib mereka juga terbela di masa hadapan.
“Kita tidak melihat hari ini tetapi melihat masa hadapan mereka yang pasti akan cerah jika diberi didikan sempurna oleh guru-guru yang cukup bertanggungjawab serta berwawasan seperti yang ada di sekolah Menengah Kebangsaan Bagan Serai hari ini.
"Saya amat berterima kasih dan menghargai jasa guru-guru yang begitu tabah dan bersabar dalam melayani karenah anak-anak di dalam pendidikan khas ini," katanya.
Beliau berkata, pihaknya berharap guru-guru khususnya tidak jemu dalam mendidik dan melatih anak-anak ini untuk menjadi insan yang berguna kelak.
“Kita tidak menafikan kekurangan mereka sebaliknya cuba mencari kekuatan dan kelebihan mereka untuk menjadi insan yang berjaya,” katanya.
Menurutnya, hari ini institusi pendidikan khas di Kerian telah memainkan peranan mereka dengan begitu cekal tanpa ada sikap pilih kasih mahupun mengalah.
“Kita berbangga mempunyai guru-guru yang bukan sahaja mampu mengajar dari segi teori malah turut sama turun padang bersama-sama anak-anak istimewa ini untuk menyertai mereka bertani dan sebagainya.
"Kerajaan telah memperuntukkan dana untuk anak-anak istimewa ini bagi kegunaan dalam kelas pendidikan khas supaya mereka tidak terbiar tanpa pelajaran," katanya.
Katanya, sumbangan ini tidak seberapa dan apa yang penting kegembiraan dan senyuman yang di ukir pada wajah mereka itu adalah yang lebih penting.
Beliau berkata, golongan ini mungkin tidak tahu menilai wang ringgit tetapi hanya inginkan perhatian dan didikan yang sempurna dari semua pihak bagi mencerminkan kasih sayang sebagai insan yang hampir dengan mereka.
Menurutnya, mereka juga perlukan semangat dan sokongan yang kental dari masyarakat sekeliling untuk mereka meneruskan kehidupan yang serba mencabar ini.
“Saya amat berbangga apabila Jabatan Pertanian Daerah Kerian telah berbesar hati untuk bekerja sama bagi membantu memberikan anak benih serta kelengkapan bertani kepada anak-anak pendidikan khas ini untuk memulakan projek pertanian mereka.
“Kita amat terharu dengan sokongan dan bimbingan jabatan pertanian serta semua guru-guru yang terlibat yang mahu melihat anak-anak ini menempa kejayaan seperti anak-anak yang normal di luar sana,” katanya.
Sinar Harian: 13 Oktober 2009
Perasaan macam menang Piala Dunia – Hannah Yeoh
9 months ago
No comments:
Post a Comment