Showing posts with label ilmiah. Show all posts
Showing posts with label ilmiah. Show all posts

Friday, November 25, 2011

Kelebihan Wanita Dalam Islam

Jom kita hayati kehebatan wanita yang diluar pengetahuan kita...Jom...

1. Doa wanita itu lebih makbul daripada lelaki kerana sifat penyayang yang lebih kuat daripada lelaki. Ketika ditanya kepada Rasulullah SAW akan hal tersebut, jawab baginda , ” Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia.”

2. Wanita yang solehah (baik) itu lebih baik daripada 1000 lelaki yang soleh.

3. Barangsiapa yang menggembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah. Dan orang yang takutkan Allah SWT akan diharamkan api neraka ke atas tubuhnya.

4. Wanita yang tinggal bersama anak-anaknya akan tinggal bersama aku (Rasulullah SAW) di dalam syurga.

5. Barangsiapa membawa hadiah (barang makanan dari pasar ke rumah lalu diberikan
kepada keluarganya) maka pahalanya seperti melakukan amalan bersedekah. Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka barangsiapa yang menyukakan anak perempuan seolah-olah dia memerdekakan anak Nabi Ismail.

6. Syurga itu di bawah telapak kaki ibu.

7. Barangsiapa mempunyai tiga anak perempuan atau tiga saudara perempuan atau dua
anak perempuan atau dua saudara perempuan lalu dia bersikap ihsan dalam pergaulan dengan mereka dan mendidik mereka dengan penuh rasa takwa serta sikap bertanggungjawab, maka baginya adalah syurga.

8. Apabila memanggil akan dirimu dua orang ibu bapamu, maka jawablah panggilan ibumu terlebih dahulu.

9. Daripada Aisyah r.a.” Barangsiapa yang diuji dengan sesuatu daripada anak-anak
perempuannya lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka.

10. Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutuplah pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu syurga. Masuklah dari mana-mana pun pintu yang dia kehendaki dengan tidak dihisab.

11. Wanita yang taat pada suaminya, maka semua ikan-ikan di laut, burung di udara, malaikat di langit, matahari dan bulan semua beristighfar baginya selama mana dia taat kepada suaminya serta menjaga solat dan puasanya.

12. Aisyah r.a berkata, “Aku bertanya kepada Rasulullah, siapakah yang lebih besar haknya terhadap wanita?” Jawab Rasulullah SAW “Suaminya.” ” Siapa pula berhak terhadap lelaki?” Jawab Rasulullah SAW, “Ibunya.”

13. Perempuan apabila sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, memelihara
kehormatannya serta kepada suaminya, masuklah dia dari pintu syurga mana sahaja yang dikehendaki.

14. Tiap perempuan yang menolong suaminya dalam urusan agama, maka Allah SWT
memasukkan dia ke dalam syurga terlebih dahulu daripada suaminya (10,000 tahun).

15. Apabila seseorang perempuan mengandung janin dalam rahimnya,maka beristighfarlah para malaikat untuknya. Allah SWT mencatatkan baginya setiap hari dengan 1,000 kebajikan dan menghapuskan darinya 1,000 kejahatan.

16. Apabila seseorang perempuan mulai sakit hendak bersalin, maka Allah SWT mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah.

17. Apabila seseorang perempuan melahirkan anak, keluarlah dia dari dosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkannya.

18. Apabila telah lahir anak lalu disusui, maka bagi ibu itu setiap satu tegukan daripada susunya diberi satu kebajikan.

19. Apabila semalaman seorang ibu tidak tidur dan memelihara anaknya yang sakit, maka Allah SWT memberinya pahala seperti memerdekakan 70 orang hamba dengan ikhlas untuk membela agama Allah SWT.

Sunday, May 1, 2011

Dirotan kerana disleksia


Selepas menjalani latihan intensif di Persatuan Pembelajaran kanak-kanak disleksia, Imran dapat membaca dengan lancar.


ALBERT Einstein tidak pernah belajar membaca sehinggalah umur beliau sembilan tahun. Seorang guru sekolah yang mengajar Thomas Edison melabelkannya sebagai murid yang lembap. Biar pun kedua-dua tokoh ternama itu mengalami disleksia, namun kekurangan itu tidak pernah menjadi batu penghalang untuk mereka mencapai kejayaan.


Pengalaman sama turut dialami Baki Zainal yang menyedari dia sebenarnya menghidap disleksia.
Pada awalnya, pengacara dan pelakon itu tidak tahu pengalaman semasa sekolahnya dulu merupakan simptom-simptom disleksia.

"Saya pun tidak tahu yang saya ada disleksia sehinggalah saya membawa anak saudara saya yang mempunyai masalah pembelajaran ke pusat disleksia di Ampang, Selangor. Kakak ipar saya banyak membuat kajian di Internet dan mendapati simptom anaknya ada hubung kait dengan disleksia. Anak saudara saya tidak mempunyai masalah dalam Matematik dan Sains tetapi dia lemah dalam mata pelajaran bahasa Melayu. Bayangkan untuk mengeja nama sendiri pun, dia tidak dapat. Melalui ujian yang dia lalui, saya dapati masalah yang dihadapinya sama dengan saya," ujarnya.

Ketika bersekolah, Baki turut berhadapan dengan masalah membaca.Sehinggalah ke hari ini, dia mempunyai masalah membaca skrip penuh.Sebagai pengacara, dia hanya memerlukan ayat atau fakta ringkas, kemudian dia akan menyambung sendiri ayat-ayat tersebut.

"Mereka yang mempunyai disleksia biasanya melihat huruf bertindih-tindih atau timbul. Saya pula yang ketika itu bersekolah Cina terpaksa berhadapan dengan masalah pembelajaran kerana terlalu memikirkan logik sesuatu subjek itu. Kadang-kadang saya tidak mahu membuat kerja sekolah dan keesokan harinya saya dirotan. Saya tidak ada masalah untuk mendapat A dalam mata pelajaran Sains, Sejarah dan Geografi tetapi gagal dalam Matematik kerana saya tidak dapat mencari jawapan yang logik," jelasnya sambil tersenyum.
Namun, dia bersyukur kerana keluarganya banyak memberi sokongan dan tidak pernah menggunakan perkataan 'bodoh' atau 'lembap'. Bersimpati dengan nasib pelajar-pelajar yang mungkin berhadapan dengan disleksia dan orang sekeliling mengkategorikan mereka pelajar lembap.

Justeru itu, dia mahu lebih ramai yang menyedari tentang wujudnya disleksia.

"Ramai ibu bapa yang tidak tahu wujudnya pusat penjagaan disleksia yang berperanan besar untuk mengembalikan keyakinan mereka berhadapan saingan sengit dalam pembelajaran. Berbeza dengan keadaan saya dulu, saya berpendapat ibu bapa sekarang lebih bertuah kerana mereka didedahkan tentang disleksia. ''Cuba bayangkan kalau saya mendapat jolokan pelajar 'lembap' daripada keluarga sendiri, saya mungkin gagal mencapai kejayaan seperti hari ini," katanya yang yang turut berkongsi pengalaman sebagai seorang penghidap disleksia menerusi kempen The Gift of Learning" oleh Procter & Gamble Malaysia (P&G).

Kempen

Kempen ini membolehkan pengguna yang prihatin menyumbang keperluan pembelajaran kanak-kanak disleksia dengan membeli produk jenama P&G di Giant atau kedai Guardian.
Kempen tersebut berlangsung sehingga 19 Mei 2011, dan berharap untuk meraih RM100, 000 bagi menyediakan pembelajaran pemulihan secara percuma kepada kanak-kanak disleksia di pusat-pusat Pertubuhan Disleksia Malaysia (DAM) di seluruh negara.

Sementara itu, menurut seorang bapa, Dr. Aziz Abu Hassan, yang menghantar anaknya, Imran Aziz ke Persatuan Pembelajaran Kanak-Kanak Disleksia Kuala Lumpur, selepas diberikan perhatian dan tunjuk ajar serta pembelajaran secara one to one, sudah ada perkembangan positif ke atas anaknya.

"Dahulu anak saya tidak mampu memberikan tumpuan dan sukar belajar. Selepas menghantar ke pusat ini, anak saya sudah boleh mengira, membaca dan melakukan penyelesaian kepada latihan yang diberikan.
''Jangan tunggu terlalu lama untuk membuat keputusan kerana ia penting untuk masa hadapan anak-anak kita," ujarnya yang juga Naib Presiden Disleksia Malaysia.

Dr. Aziz menasihatkan ibu bapa yang telah mengenal pasti masalah anak-anak seperti ini membuat pemeriksaan segera di hospital untuk di diagnos sama ada menghidap sindrom disleksia atau tidak.

"Disleksia, yang mempengaruhi kebolehan seseorang itu membaca, merupakan satu fenomena biasa di negara ini dan melibatkan 314,000 kanak-kanak sekolah. Pengesanan awal penting supaya bantuan dapat diberikan secepat mungkin dan memberi peluang yang lebih cerah untuk dirawati.

'' Saya berharap kesedaran yang diwujudkan oleh kempen 'The Gift of Learning' dapat membantu meraih sokongan orang ramai dan juga badan korporat," jelas Presiden Persatuan Disleksia Malaysia, Puan Sariah Amirin.

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH

Monday, September 27, 2010

Wanita direjam kerana berzina


GAMBAR yang disiarkan oleh stesen televisyen ABC menunjukkan beberapa orang lelaki yang merupakan anggota Taliban di lokasi hukuman rejam ke atas seorang wanita yang didakwa berzina di Pakistan.


ISLAMABAD - Seorang wanita ditanam pada paras dada sebelum sekumpulan lelaki melontar batu berulang kali ke arahnya, lapor sebuah akhbar semalam.

Rakaman tersebut yang disiarkan stesen penyiaran ABC menunjukkan anggota-anggota Taliban merejam seorang wanita sehingga mati di barat daya Pakistan.

Hukuman rejam kerana berzina biasa dilaksanakan di Iran dan Arab Saudi.

Namun, wanita itu dipercayai direjam sehingga mati setelah dia dilihat bersama seorang lelaki bukan muhrim.
Hukuman tersebut dipercayai dilaksanakan dua bulan lalu di wilayah Orakzai.

Klip video berkenaan yang dirakamkan dengan menggunakan telefon bimbit diseludup keluar oleh seorang anggota Taliban yang menyaksikan pelaksanaan hukuman itu sebelum ia diserahkan kepada saluran televisyen Al Aan, di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE). Klip itu juga boleh ditonton di laman YouTube.

Seorang menteri Kesatuan Eropah (EU), Jorge Barroso yang menonton klip video itu, menyifatkan hukuman tersebut sebagai tidak berperikemanusiaan.

"Kami mengutuk perbuatan itu yang tidak memiliki justifikasi dari sudut moral mahupun agama," katanya. - Agensi

Friday, September 24, 2010

Ada usaha jatuhkan kerajaan


KOTA BHARU – Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengakui ada usaha untuk menjatuhkan beliau, namun menafikan isu sumbangan wang RM4 bilion sebagai satu usaha untuk menjatuhkan pentadbiran beliau.

Nik Abdul Aziz juga menafikan isu itu membabitkan pemimpin dalaman parti kerana beliau yakin setiap ahlinya dididik dengan ajaran Islam yang sebenar.

“Usaha (menjatuhkan beliau) memang ada... kerana tiap-tiap parti politik usahanya untuk menjatuhkan parti lain. Memang begitu kaedahnya. Bukan sekadar parti politik... manusia juga ada usaha jatuh menjatuhkan antara satu sama lain.

“Allah SWT sebut kepada Nabi Adam AS sewaktu Nabi Adam nak turun daripada syurga ke dunia iaitu; antara satu sama lain anak cucu kamu akan bertengkar cuma jika tidak mahu bertengkar, mana-mana orang kena turut aku (Allah). A jangan turut A, B jangan turut B turut aku. Baru selamat,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu penyampaian replika cek berjumlah RM4 bilion oleh I’Da World Group Sdn Bhd untuk pembangunan negeri ini pada satu majlis di sini, minggu lalu.

Berikutan itu, ada dakwaan mengatakan ia adalah salah satu usaha untuk menjatuhkan pentadbiran Kerajaan Negeri yang dipimpin oleh Nik Abdul Aziz.

Beliau yang juga Mursyidul Am Pas berkata, dalam dunia ini, jatuh menjatuhkan memang menjadi kerja manusia.

“Jatuh menjatuhkan ini kerja manusia baik di dalam perniagaan, politik, pentadbiran dan dalam rebutan apa pun memang kerja manusia. Kerja manusia ialah jatuh menjatuhkan.

“Kecuali orang yang beriman kepada Allah. Mereka ini tidak ada unsur jatuh menjatuhkan, dengki tidak ada, dendam tidak ada. Masing-masing mahu menyelamatkan saudara. Ini adalah ajaran Islam,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menganggap kemelut itu sebagai satu isu biasa dan beliau tidak mahu membuat sebarang tuduhan terhadap pihak terbabit.

“Pada saya ia perkara biasa dan saya tidak mahu tuduh dia (pihak terbabit). Boleh jadi dia tersalah. Boleh jadi dia ada rancangan lain tetapi saya letak dia ni boleh jadi dia tersalah. “Terlalu sangat nak projek di Kelantan maka tindakan dia itu agak luar biasa. Itu tak betul,” katanya.

Mengulas mengenai dakwaan isu terbabit menunjukkan bahawa di dalam pentadbiran beliau juga wujud unsur-unsur rasuah beliau bagaimanapun menafikannya.

Tahun lalu, Nik Aziz dikecam hebat ekoran pelantikan menantunya, Ir Abdul Ariffahmi Abd Rahman sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar (PMBK) sehingga membuatkan menantunya itu melepaskan jawatan tersebut.

Kemudiannya, Nik Abdul Aziz diserang lagi apabila beliau dan dikatakan menerima tawaran mengerjakan haji dengan pakej VVIP bernilai RM65,000 oleh seorang kontraktor yang mendapat projek dari kerajaan negeri.

Terbaru, beliau sekali lagi dikaitkan dengan isu sumbangan RM4 bilion yang kononnya diterima oleh adiknya, Nik Din daripada Pengerusi Eksekutif I’Da World Sdn Bhd, Abdul Rahim pada satu majlis di sini.

Saturday, June 26, 2010

Pentaksiran Berasaskan Sekolah ganti UPSR, PMR


Lembaga peperiksaan, sedia panduan buat soalan nilai pelajar

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran bercadang memperkenalkan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SBA) bagi menggantikan peperiksaan awam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang dimansuhkan selepas ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kementerian mahu menyeragamkan pelaksanaan SBA menerusi lembaga peperiksaan yang akan menentukan bentuk soalan yang bakal disediakan guru untuk peperiksaan serta membolehkan sekolah membuat penilaian terhadap pencapaian pelajarnya.

Beliau berkata, hasil keputusan SBA membolehkan guru dan ibu bapa mengetahui tahap pencapaian pelajar, sekali gus menolak andaian pemansuhan UPSR dan PMR akan menghapuskan sistem penilaian pelajar dan hanya dilakukan ketika mereka di tingkatan lima.

Katanya, cadangan memansuh dua peperiksaan itu juga bukan perkara baru, sebaliknya sudah dikaji kementerian sejak 2007 oleh pasukan yang meneliti isu sistem pendidikan negara ini yang lebih berorientasikan peperiksaan kerana wujud tiga peperiksaan awam, berbanding hanya satu peperiksaan di kebanyakan negara.

“Kita bukan nak hapuskan sistem tanpa ada penilaian, tetapi mungkin perkenalkan SBA. Ini belum kita maklumkan tetapi sudah diteliti serta dikaji dan didapati mungkin sesuai kerana SBA sudah diamalkan di banyak negara dan tidak menjejaskan pembelajaran, pengajaran guru dan pembelajaran murid.

“Saya tidak fikir kita memerlukan jawatankuasa khas yang dipilih untuk membincangkan isu pemansuhan UPSR dan PMR kerana ini tanggungjawab peringkat kementerian,” katanya.
dan bukan urusan Parlimen. Namun, saya sedia menerima pelbagai pandangan dan cadangan," katanya ketika menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia Kesepukuh (RMK-10), di Dewan Rakyat semalam.

Muhyiddin berkata, beliau bersetuju peperiksaan penting tetapi pemansuhan UPSR dan PMR dijangka dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan dalam aspek perbelanjaan mengurus, penggunaan sumber manusia dan mengurangkan beban tugas guru untuk mengendalikan peperiksaan.

Beliau berkata, guru memberi banyak tumpuan untuk mencapai gred A cemerlang dan urusan sekolah juga banyak menjurus ke arah itu, menyebabkan tanggungan kerja bertambah yang turut membebankan pelajar.

"Disebabkan pencapaian diukur menerusi peperiksaan, ibu bapa yang prihatin terpaksa menghantar anak ke kelas tuisyen walaupun sekolah menyediakan sistem pembelajaran yang agak baik. Kesannya, kos untuk tuisyen berbilion ringgit setiap tahun dan memberi keuntungan kepada pihak tertentu," katanya.

Muhyiddin berkata, pengurangan peperiksaan juga memberi peluang guru dan murid memberi tumpuan kepada meningkatkan kemahiran insaniah, inovasi dan kreativiti.

Sementara itu, beliau berkata, kementerian pada peringkat akhir kajian melaksanakan program permulaan sesi persekolahan formal daripada 6+ tahun kepada seawal 5+ tahun dalam usaha memastikan sistem pendidikan di negara ini seiring Plan Transformasi Negara (GTP) untuk mencapai modal insan bertaraf dunia.

Katanya, kajian terperinci mendapati 95 peratus kanak-kanak sudah menguasai kemahiran 3M (membaca, mengira dan menulis) dan mempunyai kemahiran bersosial dengan rakan sebaya seawal umur lima tahun melalui pendidikan prasekolah.

"Kementerian juga mahu melahirkan modal insan berkemahiran dan kebolehpasaran bermula di peringkat persekolahan dengan merombak sistem pendidikan Teknik, Vokasional dan Kemahiran (pendidikan Voctech) supaya menjadi pendidikan arus perdana.

"Ini membabitkan penambahbaikan kurikulum pendidikan Voctech sedia ada melalui pengukuhan pendidikan daripada berasaskan pengetahuan kepada kemahiran supaya mencapai standard bagi memenuhi keperluan pekerjaan dan pasaran semasa,” katanya.

Monday, December 14, 2009

Keresahan mampu membunuh


KAJIAN yang dijalankan di Universiti Purdue, Indiana, Amerika Syarikat terhadap 1,600 lelaki selama 12 tahun mendapati bahawa separuh daripada mereka yang menunjukkan peningkatan tahap keresahan meninggal dunia dalam tempoh ujian. Hanya 20 peratus yang optimis telah mati sebelum tempoh ujian tersebut berakhir.

Keresahan jugalah yang menyebabkan 34 peratus lelaki meninggal dunia akibat beberapa jenis barah. Pakar psikologi, Daniel Mroczek yang mengetuai kajian itu memberitahu, golongan berisiko ini mempunyai ciri keresahan melampau hinggakan mereka tidak selesa dengan semua perkara dalam kehidupan.

ESKTRA: Menurut pengarang buku 10 Cara Mudah penyelesaian kepada tekanan, Claire Wheeler, semakin banyak masa dihabiskan memikirkan mengenai waktu yang sedang berlaku, seseorang itu akan menjadi lebih tenang kerana mental lebih bersedia menerima sesuatu yang sedang berlaku berbanding perkara yang tidak boleh diramalkan pada masa depan.

Saintis bingung cahaya misteri


TROMSO, Norway - Benda apakah berwarna biru, putih berlingkar dan muncul tiba-tiba di langit di sini, utara Norway kelmarin?

Menurut sebuah akhbar semalam, jika anda ada jawapan, catatkannya pada sekeping poskad dan hantar kepada rakyat Norway, di mana cahaya misteri itu muncul dan mengelirukan penduduknya kelmarin.

Susulan fenomena itu, Institut Meteorologi Norway dihujani ribuan panggilan telefon berhubung kemunculan lingkaran cahaya di langit di sini pukul 8.45 pagi waktu tempatan.

Cahaya itu menyerupai jalur lingkaran ubat nyamuk yang mengelilingi sebuah objek terang selama beberapa minit.

Menurut sebuah akhbar, cahaya itu kemudian 'meletup' menjadi lingkaran api putih menyebabkan ramai peminat objek terbang tidak dikenali (UFO) di seluruh dunia menganggap fenomena selama 12 minit itu sebagai detik berlakunya hubungan pertama antara makhluk asing dengan penduduk bumi.

"Ia menyerupai sebuah roket yang berputar-putar dan naik ke atas sebelum hilang," kata seorang saksi dari utara Norway, Totto Eriksen.

Ketua Saintis Pusat Angkasa Lepas Norway, Erik Tandberg memberitahu, beberapa pakar percaya ia mungkin ujian peluru berpandu.

Pentadbiran Rusia bagaimanapun menafikan ia mengadakan sebarang ujian peluru berpandu itu.

Akhbar Kommersant melaporkan semalam bahawa ujian peluru berpandu nuklear Rusia dibuat menjelang subuh kelmarin iaitu pada waktu sama dengan lingkaran cahaya itu muncul.

Namun, ujian peluru itu yang dilancarkan dari sebuah kapal selam itu mengalami kegagalan di peringkat ketiga di ruang udara menyebabkan pakar analisis pertahanan Rusia, Pavel Felgenhauer mengaitkannya sebagai punca cahaya tersebut muncul.

sumber : http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=1211&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_09.htm

Saturday, December 12, 2009

Fungsi Otak Manusia



1. Tidak mengambil sarapan pagi

- Apabila seseorang tidak mengambil sarapan pagi, paras gula dalam darah akan menjadi rendah. Ini akan mengakibatkan kekurangan bekalan nutrisi pada otak dan menjadikannya kurang aktif.


2. Terlebih makan

- Ia akan membebankan pembuluh darah otak dan mengurangkan kuasa mental otak.


3. Perokok

- Asap rokok akan mengakibatkan sel-sel otak terjejas atau terbakar dan boleh mengakibatkan penyakit 'Alzheimer'.


4. Penggunaan gula yang berlebihan

- Pengambilan gula secara berlebihan akan meng ganggu penyerapan protein dan nutrisi. Selain daripada itu, ia akan meng ganggu perkembangan otak yang sihat.


5. Pencemaran udara

- Otak adalah pengguna oksigen terbesar dalam badan manusia. Pencemaran udara boleh menyebabkan pengurangan bekalan oksigen ke otak dan keaktifan otak.


6. Terlebih tidur

- Tidur adalah bagus untuk merehatkan otak tetapi masa tidur yang panjang boleh mengakibatkan sel-sel otak kita mati.


7. Menutup muka ketika tidur

- Tidur sambil menutup muka akan mengakibatkan otak menerima lebih banyak karbon dioksida berbanding oksigen dan ini akan membawa kerosakan kepada otak.


8. Membiarkan otak bekerja semasa kita berada di dalam keadaan kurang sihat

- Bekerja semasa anda kurang sihat boleh mengurangkan keberkesanan otak dan juga membawa kerosakan kepada sel-sel otak.


9. Kurang berimiginasi

- Berfikir adalah satu cara terbaik untuk melatih otak kita. Kurangnya berimiginasi boleh menyebabkan tahap kecerdasan/keaktifan otak menurun.


10. Jarang berfikir

- Jarang berfikir akan menyebabkan otak kita kurang aktif. Oleh itu, perbincangan yang membina boleh menambah keberkesanan kecerdasan otak kita.