Bagaimanakah perasaan mahasiswa dan mahasiswi yang menuntut di institusi pendidikan pada masa ini apabila kemungkinan mulai tahun hadapan penempatan guru ke sekolah di seluruh negara akan dibekukan.
Kenyataan ini telah dikeluarkan oleh Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Dr. Zakaria Kasa semasa ucapan perasmian yang disampaikan beliau dalam ‘Simposium Halatuju Pendidikan Fizik Di Malaysia’ anjuran Persatuan Mahasiswa Sains (PMS) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) UPSI yang berlangsung di Bilik Seminar Bitarasiswa.
Isu ini mungkin masih belum diperbincangkan secara meluas untuk pengetahuan khalayak ramai kerana ia masih belum pasti untuk dilaksanakan. Namun jika ia benar, diharapkan pihak berkenaan mengambil pendekatan yang proaktif agar masalah ini dapat diatasi dengan keputusan yang boleh memberikan manfaat kepada para bakal graduan pendidikan tersebut.
Ini memandangkan sekolah-sekolah pedalaman di Sabah dan Sarawak masih lagi mengalami kekurangan tenaga pengajar. Jikalau penempatan tersebut dibekukan, sudah semestinya berlaku kesukaran kepada pihak sekolah untuk memenuhi tuntutan mana-mana mata pelajaran yang memerlukan perkhidmatan guru ini.
Tambahan lagi, peningkatan jumlah bilangan pelajar di sekolah juga memberikan sedikit tekanan kepada para guru untuk mengajar atas ketidakselesaan kelas yang agak sesak. Ini sekaligus memberikan kesan yang tidak baik juga kepada hak para pelajar untuk menuntut ilmu dalam keadaan yang kondusif. Kesannya, segelintir pelajar mula berasa bosan dan tidak berminat untuk belajar dan seterusnya bisa menganggu rakan-rakan yang mempunyai keinginan tinggi untuk belajar. Implikasi seterusnya adalah para pelajar ini akan mencetuskan masalah disiplin di sekolah yang kini sudah pun semakin parah dengan pelbagai isu disiplin yang tidak enak untuk didengar di media massa saban tahun. Maka, nisbah guru kepada pelajar 1:25 semakin sukar untuk dilaksanakan dalam sistem pendidikan negara. Nyata sekali, banyak kesan berantai yang akan berlaku jika isu pembekuan guru ini dibekukan pada tahun hadapan.
Kepada mahasiswa/i pendidikan yang merasai keperitan atas perkhabaran ini, semoga tabah dan tidak patah semangat untuk terus menuntut ilmu serta terus bersiaga dalam menempuhi dunia yang luas ini dengan kemahiran yang sudah diasuh di tempat pengajian masing-masing.
Perasaan macam menang Piala Dunia – Hannah Yeoh
9 months ago
No comments:
Post a Comment