Showing posts with label artikel. Show all posts
Showing posts with label artikel. Show all posts

Tuesday, March 8, 2011

Apa Itu Sindrom Down?

* Sindrom Down berlaku disebabkan kelainan kromosom menyebabkan seseorang kanak-kanak itu menunjukkan sifat fizikal khusus yang boleh dikenali sewaktu bayi lagi. Pada sindrom itu terdapat ciri perkembangan mental yang terjejas.

* Sindrom down terjadi dalam kira-kira satu kelahiran bayi bagi setiap 700 hingga 1,000 kelahiran.

* Ramai pakar mengatakan ibu yang berumur 35 tahun ke atas, jika mengandung mempunyai risiko yang tinggi melahirkan anak sindrom down. Bagaimanapun, ibu muda juga tidak terkecuali daripada menghadapi risiko itu.

* Sindrom ini terdapat pada semua bangsa di seluruh dunia dan jika kanak- kanak Sindrom Down dikumpulkan beramai-ramai dari apa bangsa sekalipun, rupa dan sifat mereka kelihatan sama saja.

* Kanak-kanak yang menghidap Down Syndrome mempunyai raut wajah seperti orang Mongolia. Disebabkan itu, mereka juga disebut sebagai kanak-kanak Mongol. Mata mereka senget dan mereka mempunyai lipatan epicanthic serta hidung pendek dan leper. Muka mereka kecil dan lidah kelihatan besar serta terkeluar. Telinga mereka pula kecil dan kadang-kadang tidak mempunyai tulang rawan. Bentuk kepala kecil dan leher pula pendek.

* Kanak-kanak sindrom down jika membesar, mereka tidak dapat meningkat lebih tinggi. Mereka biasanya pendek, anggota tangan dan kaki juga pendek.

Friday, January 14, 2011

PENDIDIKAN INKLUSIF



Konsep Inklusif:
Peluang pendidikan yang disediakan bagi murid-murid yang mempunyai pelbagai jenis kecacatan( seperti kecacatan pendengaran atau penglihatan) yang belajar di dalam bilik darjah biasa bersama-sama dengan murid-murid yang sebaya dengan mereka.

Dengan perkataan lain, palajar khas diintegrasikan dalam pendidikan bersama pelajar normal.Di dalam kelas pendidikan inklusif, murid-murid mengikut kurikulum biasa yang telah diubahsuai oleh ahli-ahli pendidikan.

Pelajar menguasai kemahiran
Program Pengayaan
Pelajar lambat menguasai
kemahiran
Program Pemulihan
Penilaian semula
Menguasai kemahiran
Program Pengayaan

Murid-murid dalam kelas pendidikan inklusif dibimbing oleh guru resos yang bekerjasama dengan guru kelas agar mereka dapat memahami konsep yang disampaikan oleh guru kelas dengan lebih efektif.Murid-murid yang mengalami kecacatan dibantu oleh alat sokongan khas.Jika seseorang murid tidak dapat mengikut kurikulum biasa, murid-murid ini akan mengikuti kurikulum pendidikan khas.

Objektif Pendidikan Inklusif:
· Meningkatkan kesedaran kanak-kanak normal tentang kanak-kanak khas
bahawa mereka juga sebahagian daripada ahli masyarakat
· Memberi peluang kepada kanak-kanak khas untuk menyesuaikan diri dengan
rakan sebaya yang normal dan menyertai aktiviti yang disediakan untuk
mereka
· Memberi pengetahuan dan kemahiran kepada kanak-kanak khas yang
standing dengan kanak-kanak normal untuk meningkatkan konsep kendiri
mereka
· Untuk mengelakkan daripada berlakunya diskriminasi dalam pendidikan dan
kemudahan yang telah dibekalkan oleh pihak Kementerian Pendidikan

Ciri-ciri Dalam Pendididkan Inklusif:
· Penerapan nilai-nilai murni dalam semua mata pelajaran perlu dilaksanakan
oleh guru.
· Pemupukan budaya sains dan teknologi penting dalam pendidikan inklusif
· Peningkatkan dan pengukuhan Bahasa Melayu diutamakan dalam sebarang
program pendidikan inklusif
· Penekanan diberikan pendidikan berkonsepkan komputer

Pelaksanaan Pendidikan Inklusif:
· Guru mesti menggunakan prinsip pemeringkatan isi
· Strategi pengajaran dan pembelajaran mesti dapat meningkatkan penglibatan
murid melalui kaedah-kaedah dan teknik-teknik bercerita, main peranan,
lawatan dan projek
· Di sekolah rendah, Penilaian Kemajuan Berasaskan Sekolah Rendah(PKSR)
dijalankan, manakala di sekolah menengah Penilaian Kemajuan Berasaskan
Sekolah Menengah(PKSM) dijalankan. Kedua-dua penilaian berasaskan
kebolehan murid dan bukan terhad kepada satu kurikulum yang berstruktur.
Penilaian yang bersifat formatif boleh dijalankan pada bila-bila masa sahaja
dalam kedua-dua bentuk penilaian ini
· Sebarang penilaian yang dibuat dalam kelas pendidikan inklusif mesti
disediakan berdasarkan minat murid. Penilaian ini juga mesti mencabar
minda dan pada masa yang sama tidak menyekat kebolehan murid
· Penilaian digunakan dalam pendidikan inklusif boleh dibuat dalam bentuk
berikut:
(a) projek
(b) rekod anekdot
(c) perlakuan
(d) demonstrasi
· Murid-murid dalam kelas pendidikan inklusif terikat dengan peraturanperaturan
bilik darjah yang sama seperti murid-murid yang lain

Jenis-jenis Kanak-kanak Istimewa:
· Kanak-kanak yang ~ bermasalah kerencatan akal/mental
~ bermasalah pencapaian akademik
~ bermasalah tingkah laku
~ bermasalah kecacatan fizikal
~ bermasalah kecacatn penglihatan
~ bermasalah kecacatan pendengaran
~ pintar cerdas
· Kanak-kanak istimewa yang lain juga boleh dimasukkan dalam kelas
pendidikan inklusif jika masalah pembelajaran yang dihadapi oleh mereka
tidak begitu serius
· Jika kanak ini bermasalah pembelajaran/kecacatan/tingkah laku yang sangat
serius, perlu dimasukkan dalam sekolah berasingan untuk mendapatkan
pendidikan khas

Peranan Guru Reses dan Guru Biasa Dalam Pelaksanaan Pendidikan
Inklusif:
· Dalam sekolah yang tiada program pendidikan khas, guru mesti mengajar
kanak-kanak istimewa dangan kanak-kanak normal dalam satu bilik darjah
yang sama. Oleh itu, guru reses atau guru biasa perlu menggunakan kaedah
koperaktif dan kolaboratif dalam mengendalikan kelas inklusif
· Guru terpaksa mengelolakan aktiviti pemulihan untuk kanak-kanak istimewa
dan aktiviti pengayaan pula disediakan untuk murid-murid yang menunjukkan
pencapaian akademik yang baik
· Kebanyakan aktiviti dalam kelas pendidikan inklusif berlaku dalam aktiviti
kumpulan

Friday, October 29, 2010

Kalau Allah Itu Maha Baik, Kenapa Buat Neraka?

Ini kisah benar.. Kisah seorang gadis Meayu, beragama Islam, tapi cetek pengetahuan tentang agama.
Ceritanya begini, di sebuah negeri yang melaksanakan dasar 'Membangun Bersama Islam', kerap kali pihak berkuasa tempatan menjalankan pemeriksaan mengejut di premis-premis perniagaan dan kompleks beli-belah, untuk memastikan para pekerja di premis berkenaan menutup aurat.

Saya tidak pasti berapa jumlah denda yang dikenakan sekiranya didapati melakukan kesalahan, tapi selalunya mereka akan diberi amaran bagi kesalahan pertama, dan didenda jika didapati masih enggan mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

Lazimnya dalam setiap operasi sebegini, seorang ustaz ditugaskan bersama dengan para pegawai pihak berkuasa tempatan.Tugasnya adalah untuk menyampaikan nasihat secara berhemah, kerana hukuman dan denda semata-mata tidak mampu memberi kesan yang mendalam.

Dalam satu insiden, ketika operasi yang dijalankan sekitar 2005, seorang gadis yang bekerja di salah satu lot premis perniagaan di  sebuah pasaraya  telah didapati melakukan kesalahan tidak menutup aurat.
Maka dia pun kena denda.

Setelah surat saman dihulurkan oleh pegawai PBT, ustaz ni pun bagi la nasihat, "lepas ini diharap saudari insaf dan dapat mematuhi peraturan.

Peraturan ni bukan semata-mata peraturan Majlis perbandaran, tapi menutup aurat ni termasuk perintah Allah. Ringkasnya, kalau taat segala perintahNya, pasti Dia akan membalas dengan nikmat di syurga.
Kalau derhaka tidak mematuhi perintahNya, takut nanti tidak sempat bertaubat, bakal mendapat azab di neraka Allah.

Tuhan Maha Penyayang, Dia sendiri tidak mahu kita campakkan diri ke dalam neraka."
Gadis tersebut yang dari awal mendiamkan diri, tiba-tiba membentak "Kalau Tuhan tu betul-betul baik, kenapa buat neraka?

Kenapa tidak sediakan syurga sahaja? Macam itu ke Tuhan Maha Penyayang?" Mungkin dari tadi dia sudah panas telinga, tak tahan dengar nasihat ustaz. Sudah  la hati panas kena denda sebab dia tak pakai tudung.

Ustaz tu terkedu sekejap. Bahaya budak ni. Kalau dibiarkan boleh rosak akidah dia.Setelah habis gadis tu membebel, ustaz tu pun jawab: "Dik, kalau Tuhan tak buat neraka, saya tak jadi ustaz.

Berapa sen sangat gaji saya sekarang. Baik saya jadi tokey judi, atau bapa ayam.Hidup senang, lepas mati pun tak risau sebab gerenti masuk syurga.Mungkin awak ni pun saya boleh culik dan jual jadi pelacur.
Kalau awak nak lari, saya bunuh je. Takpe, sebab neraka tak ada. Nanti kita berdua jumpa lagi kat syurga. Kan Tuhan tu baik?"

Gadis tu terkejut. Tergamak seorang ustaz cakap macam tu? Sedang dia terpinga-pinga dengan muka confused, ustaz tu pun jelaskan:

"Perkara macam tadi akan berlaku kalau Tuhan hanya sediakan syurga. Orang baik, orang jahat, semua masuk syurga.

Maka apa guna jadi orang baik? Jadi orang jahat lebih seronok. Manusia tak perlu lagi diuji sebab semua orang akan 'lulus' percuma.

Pembunuh akan jumpa orang yang dibunuh dalam syurga. Perogol akan bertemu lagi dengan mangsa rogol di syurga.

Selepas tu boleh rogol lagi kalau dia nak. Tak ada siapa yang terima hukuman. Sebab Tuhan itu 'baik'.

Adakah Tuhan macam ni yang kita nak? Awak rasa, adil ke?" Tanya ustaz.

"Mana adil macam tu. Orang jahat takkan la terlepas macam tu je." Rungut si gadis.

Ustaz tersenyum dan menyoal lagi: "Bila tuhan tak adil, boleh ke dianggap baik?"
Gadis tu terdiam.

Ustaz mengakhiri kata-katanya:
"Adik, saya bagi nasihat ni kerana kasih sesama umat Islam. Allah itu Maha Penyayang, tapi Dia juga Maha Adil.Sebab tu neraka perlu wujud. Untuk menghukum hamba-hambaNya yang derhaka, yang menzalimi diri sendiri dan juga orang lain.

Saya rasa awak dah faham sekarang. Kita sedang diuji di atas dunia ni.Jasad kita bahkan segala-galanya milik Allah, maka bukan hak kita untuk berpakaian sesuka hati kita.

Ingatlah, semuanya dipinjamkan olehNya, sebagai amanah dan ujian.

Semoga kita dapat bersabar dalam mentaati segala perintahNya, untuk kebaikan diri kita juga."

Friday, August 20, 2010

UOR : Kelebihan Bersedekah Di Bulan Puasa


Hadith :

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:" Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadhan.”

Riwayat at- Tirmidzi


Huraian
Pengajaran Hadis:

i) Setiap umat Islam seharusnya berlumba-lumba untuk melakukan kebajikan di bulan Ramadhan tanpa memikirkan sebarang kerugian seperti membanyakkan bersedekah kerana balasan di atas setiap satu kebajikan itu adalah amat besar di sisi Allah di hari akhirat kelak.

ii) Bersedekah bukan hanya memberikan wang, tetapi termasuk di dalamnya mengajak berbuka puasa kepada fakir miskin dan orang-orang yang berpuasa.

iii) Konsep "memberi" (bersedekah) harus diterapkan secara maksimum bukan sahaja selama Ramadhan bahkan di bulan-bulan lain juga kerana selalu bersedekah akan memberikan pengaruh yang baik pada peribadi dan masyarakat umumnya di mana seseorang itu akan dapat menghakis sifat kedekut dalam dirinya di samping mempereratkan lagi ikatan kemesraan di dalam anggota masyarakat tanpa mengira taraf dan kedudukan seseorang itu.

iv) Sedekah yang diterima dan bernilai di sisi Allah adalah sedekah yang ikhlas, bukanlah untuk menunjuk-nunjuk.

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya : “Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadhan”. (Riwayat At-Tarmizi)

Setiap umat Islam seharusnya berlumba-lumba untuk melakukan kebajikan di bulan Ramadhan tanpa memikirkan sebarang kerugian seperti memperbanyakkan bersedekah kerana balasan di atas setiap satu kebajikan itu adalah amat besar di sisi Allah di hari akhirat kelak. Bersedekah bukan hanya memberikan wang, tetapi seperti menyediakan makanan untuk berbuka kepada fakir miskin dan orang-orang yang berpuasa.

Konsep memberi (bersedekah) harus diterapkan secara maksimum bukan sahaja selama bulan Ramadhan malahan di bulan-bulan lain juga kerana amalan bersedekah akan memberikan pengaruh yang baik pada peribadi dan masyarakat umumnya di mana seseorang itu akan dapat menghakis sifat kedekut dalam dirinya di samping mengeratkan lagi ikatan kemesraan di dalam anggota masyarakat tanpa mengira taraf dan kedudukan seseorang itu. Sedekah yang diterima dan bernilai di sisi Allah adalah sedekah yang ikhlas, bukanlah untuk menunjuk-nunjuk.

Dari Abu Dzar r.a katanya : “Beberapa orang sahabat Nabi SAW pernah berkata kepada beliau; “Kaum hartawan memperolehi pahala yang lebih banyak. Mereka solat seperti kami solat, puasa seperti kami puasa dan bersedekah dengan sisa harta mereka”.

Jawab Rasulullah SAW; “Bukankah Allah telah menjadikan berbagai macam cara untuk kamu bersedekah? Setiap kalimah tasbih adalah sedekah; setiap kalimah takbir adalah sedekah; setiap kalimah tahmid adalah sedekah; setiap kalimah tahlil adalah sedekah; amar makruf dan nahi mungkar (mengajak kepada kebaikan dan melarang kepada yang mungkar) adalah sedekah; bahkan pada kemaluanmu pun terdapat pula unsur sedekah”. Mereka bertanya; “Kalau begitu, adakah kami mendapat pahala jika kami memuaskan nafsu syahwat kami?” Jawab Rasulullah SAW; “Jika kamu melakukannya dengan yang haram, tentunya kamu berdosa. Sebaliknya jika kamu melakukannya dengan yang halal, kamu mendapat pahala.” (al-Bukhari)

Sedekah adalah sesuatu yang dapat menambahkan pahala seseorang selain daripada amal ibadat atau kebajikan yang diwajibkan. Sedekah yang paling mudah adalah dengan menggunakan anggota badan seperti senyum yang tidak memerlukan sebarang tenaga mahupun wang ringgit. Begitu juga dengan berzikir kepada Allah yang hanya perlu diucapkan dengan lidah atau hati. Malah setiap sesuatu yang dilakukan dengan niat kerana Allah adalah dianggap sebagai sedekah. Orang yang memiliki banyak kelebihan sama ada berupa harta benda, kekayaan, ilmu dan sebagainya selayaknya menginfakkan nikmat Allah tersebut untuk membantu mereka yang memerlukan. Dengan itu hubungan antara anggota masyarakat menjadi lebih kukuh tanpa timbul perasaan dengki dan iri hati antara satu sama lain.

Bersedekah adalah tanda bahawa seseorang itu mensyukuri nikmat yang dikurniakan Allah. Sebaliknya orang yang bersifat kedekut adalah orang yang tamak. Sedangkan Allah SWT sahaja yang memiliki segala sesuatu dan Dia berhak merampas kembali nikmat tersebut pada bila-bila masa yang dikehendaki-Nya. Oleh itu Islam mengatakan bahawa keberkatan rezeki itu adalah bergantung kepada cara bagaimana seseorang menyalurkan atau membelanjakan rezeki yang diperolehinya sama ada kepada kebaikan atau keburukan.

Abu Hurairah r.a menerangkan bahawasanya Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Seorang lelaki berkata : “Demi Allah saya akan memberi sedekah. Maka dia keluar membawa sedekahnya lalu diletakkannya di dalam tangan pencuri. Maka pada paginya, orang ramai pun memperkatakan hal tersebut. Mereka berkata : “Telah diberi sedekah kepada pencuri. Si pemberi itu berkata : “Wahai Tuhan ku, hanya untuk Engkaulah segala puji-pujian. Demi Allah, saya akan sedekahkan satu sedekah lagi. Maka dia keluar membawa sedekahnya lalu diletakkan di tangan wanita penzina. Pada pagi hari itu orang ramai pun memperkatakan hal tersebut. Mereka berkata : “Telah diberikan sedekah kepada wanita penzina. Orang tersebut berkata : “Wahai Tuhan ku, hanya untuk Engkaulah segala puji-pujian. Demi Allah saya akan memberikan satu sedekah lagi. Maka dia keluar membawa sedekahnya lalu diletakkan di tangan orang kaya. Pada pagi hari itu orang ramai memperkatakan hal tersebut. Mereka berkata : “Telah diberikan sedekah kepada orang kaya. Orang itu berkata : “Wahai Tuhan ku, hanya untuk Engkaulah segala puji-pujian terhadap si pencuri, si penzina dan terhadap si kaya. Kemudian datanglah seseorang kepadanya dalam tidurnya lalu berkata kepadanya : “Sedekah mu kepada si pencuri, mudah-mudahan ia akan memelihara dirinya daripada mencuri, manakala kepada wanita penzina mudah-mudahan ia akan memelihara dirinya daripada berzina dan orang kaya mudah-mudahan ia akan mengambil ibarat lalu menafkahkan sebahagian harta yang telah Allah berikan kepadanya”. (al-Bukhari dan Muslim)

Semua kebaikan yang dilakukan adalah bergantung kepada niatnya. Sekiranya ia dilakukan dengan niat yang baik dan ikhlas kerana Allah SWT, maka kebaikan itu adalah satu ibadah dan diberikan ganjaran pahala. Berpandukan hadis di atas, sesungguhnya sedekah yang diberikan dengan niat yang baik akan diterima Allah walaupun tidak jatuh pada orang yang selayaknya. Ini kerana mungkin dengan sedekah kita itu akan menjadi pendinding dan tauladan yang baik kepada mereka.

Saturday, May 15, 2010

Selamat Hari Guru 2010


"Jika hari ini, seorang Perdana Menteri, seorang Presiden, seorang Raja yang berjiwa rakyat, Jika hari ini, seorang peguam petah berbicara, seorang jurutera binaannya tegar, seorang arkitek lakarannya diterima, Jika hari ini, seorang saintis menemui formula, seorang doktor pembedahannya berjaya, seorang pengurus dikasihi pekerjanya, Jika hari ini, seorang penulis karyanya terkemuka, seorang hartawan mendermakan harta, seorang pensyarah menjana cendekia, seorang graduan visinya ketara, Jika hari ini, seorang ulama' telus tarbiyahnya, seorang ahli sukan bergelar juara dunia, seorang menjadi dewasa, semua orang sejahtera dan bahagia." 

Selamat Hari Guru buat semua insan yang bergelar guru,cikgu,ustaz dan ustazah serta muallim yang dihormati.Tahun ini merupakan  tahun yang cukup bermakna bagi saya sebagai seorang guru.Indah dan Nikmatnya menjadi seorang guru tidak terluah oleh kata-kata.Ianya menusuk jauh ke dalam hati dan menyerapi saraf-sarafku dan merangsang mindaku untuk berbangga menjadi seorang guru.

Keikhlasan seorang guru bukan terletak hanya pada kebaikannya dalam melayani anak-anak muridnya tetapi  kemampuannya membimbing dan mentarbiyyah anak didiknya sehingga menjadi insan yang berguna dan bertaqwa kepada bangsa,agama dan negara.

Sesungguhnya dikesempatan ini ingin saya lontarkan rasa ta'azim dan bangga saya kerana mempunyai guru-guru yang berjaya mendidik saya menjadi orang yang berjaya dan mengulanginya pula dalam kehidupan seharian saya.Saya cukup berbangga mempunyai para pensyarah yang mengajar kami erti ketabahan dan kesabaran dalam mendidik serta kami juga berbangga mempunyai keluarga yang cemerlang dalam mendorong ke arah kejayaan.Mereka ini semua guru-guru yang cemerlang.Terima Kasih Cikgu.

Sebelum terlupa...Saya juga mempunyai 2 orang guru yang paling saya hormati.Sayangnya salah seorang dari guru saya ini telah pergi meninggalkan saya.Dialah yang mengajar saya Alif,Ba,Ta.Mengenalkan saya dengan cabaran dunia realiti.Al-Fatihah buat Allahyarhamah Wan Hasnah Bt Wan Abdullah bondaku.Semoga Allah mencucuri rohnya dialam sana.Amin Ya Rabbal A'lamin.Manakala Othman bin Saleh merupakan insan yang kedua mengajarku perit jerih kehidupan dan mengajarku tentang kepentingan berilmu.Terima Kasih Abah.Curahan ilmu ajaran kalian berdua akan daku curahkan kepada anak bangsa kita yang dahagakan ilmu.

Anak ini rindukan ilmu
Dimanakah dapat ku cari
Menyelusuri denai kelam
Menerokai cyber gemilang
Namun...Tiada dapat kucarinya

Alpakah aku...
Lalaikah aku...
Entahlah..Sukar ku mengertikan
Ilmu itu sulit kutemui

Kini..aku mempunyai permata
ilmu itu ada untuk kucurahkan kepadanya
ilmu itu ada darinya
ilmu itu tidak sulit lagi
Anak itulah guruku
Tangisnya,Tawanya,
ilmu yang berguna.

Selamat Hari Guru Untuk semua warga pendidik.Semoga usaha murnimu mendidik menjadi jambatan ke syurga.

Terima Kasih Guruku.

Monday, May 10, 2010

Biarlah kehadiran anda dirasai!


Oleh WAHID HASHIM
HARI guru pada tahun ini disambut dalam suasana yang cukup berhemah. Sambutan besar-besaran di peringkat sekolah mungkin tidak perlu - tetapi ia tetap perlu diadakan juga. Masih ada murid yang mahu meraikan dan menghargai jasa anda. Sekurang-kurangnya anda perlu membuat sesuatu supaya kewujudan dan kerja anda dirasai.

Al-Mukadimah, banyak cabaran yang menanti guru bagi yang mengikuti perkembangan pendidikan semasa. Harapan yang diletakkan di bahu guru bukan sahaja daripada kelompok pelanggan iaitu ibu bapa, tetapi juga pembuat dasar, iaitu kerajaan.

Bagi yang telah memenuhi tuntutan Bai'ah, anda bolehlah tersenyum pada Hari Guru ini.Maka, pada Hari Guru tahun ini, apa sahaja pengumuman - sama ada ia tokok tambah kepada gaji atau imbuhan lain - maka ia perlu disusuli dengan rasa insaf bahawa tanggungjawab mendatang bukan kepalang beratnya. Guru di bandar, pedalaman, di kampung atau di sektor-sektor khas lain perlulah dapat merasai bahawa Hari Guru 2010 ialah titik tolak kepada perubahan yang bakal mereka galas.

Perlu juga dibangkitkan di sini, kepada lebih 100 guru pedalaman yang telah diberi tunjuk sebab kerana ponteng dan pelbagai masalah lain, anda fikirlah sendiri. Jawablah surat tersebut kalau masih berstamina menjadi guru.

Yang mereka perlu sedar juga ialah tindak tanduk dan output kerja mereka kini diperhatikan secara kuantitatif dan kualitatif. Hal ini senang sahaja dilaksanakan kerana di bawah Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) pendidikan yang menjadi dasar Program Transformasi Kerajaan (GTP), maka KPI keberhasilan dan KPI tindakan akan menjadi petunjuk kepada pencapaian kuantitatif dan kualitatif masing-masing.

Rakyatlah yang memerhatikan KPI kita kelak. Sedarlah wahai guru, bahawa ibu bapa pada hari ini sudah pintar dan malah ada yang cukup arif tentang makna dan rubrik penilaian KPI. Mungkin selepas ini laporan kertas kerja berkajang-kajang kepada ketua jabatan terhadap apa yang kita buat tidak penting lagi, tetapi produk yang akan menentukan cara dan hala tuju kita.

Jadi, berhenti daripada terus cuba bermain dengan sentimen simpati terhadap diri sendiri, sebaliknya bekerja keraslah di bawah bidang tugasan di mana kita diletakkan. Kalau kita benar-benar mengakui apa yang kita lakukan demi the national duty, maka nawaitu kita selepas ini akan dipamerkan melalui keputusan atau output kerja masing-masing.

Kita bukanlah hebat sangat sehingga boleh diletakkan sebagai yang terbaik di dunia. Malah di peringkat Asia pun bukan. Indeks pencapaian pendidikan kita secara umumnya pun makin merosot (lihat laporan TIMMS dua tiga tahun kebelakangan ini) berbanding negara kecil Singapura dan Hong Kong. Nampaknya, semakin banyak dasar baru yang diperkenalkan, kesannya ialah antagonis. Apa sudah berlaku dan di mana ketirisan berlaku? Tepuk dada, tanyalah selera.


Dunia mungkin telah berubah, dan kita juga sebenarnya mesti berubah.Pelbagai mekanisme dan enjin diperkenalkan dalam sistem kita. Kita ialah pengamal carrot and stick yang handal. Terlalu banyak carrot menyebabkan kita karat.Pelbagai usaha dilakukan. Paling terbaru, Kementerian Pelajaran Malaysia mahu membantu sekolah dengan memperkenalkan apa yang disifatkan sebagai Program Peningkatan Prestasi Sekolah (PPPS). Program ini begitu cantik tetapi sejauh mana ia akan tercapai terletak di tangan guru. Satu hal lagi ialah sejauh mana guru mahu membuka pintu dan pemikirannya terhadap perubahan yang hendak dibawa oleh PPPS.

Sekolah akan menerima lagi pelbagai bentuk sokongan dan bantuan di bawah PPPS. Program berbentuk bottom-up ini akan berfokus terus ke sekolah, dengan menolak terus konsep one size fits all.Begitu juga terdapat cadangan supaya guru diberikan sijil profesional. Lesen ini perlu diperbaharui melalui pemantauan dan program tertentu yang mereka perlu ikuti dari semasa ke semasa.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 usaha besar-besaran akan dilakukan untuk mensiswazahkan hampir 100,000 guru yang masih belum memegang ijazah. Jumlah itu besar berbanding jumlah guru pada hari ini yang berjumlah 4000,000 orang.

Bagi pihak Utusan Malaysia, kami mengucapkan selamat Hari Guru 2010, semoga kita semua berada dalam sihat sejahtera dan mendapat keberkatan Allah dalam setiap tindak tanduk kita. Sebagai penganjur bersama festival Hari Guru, Utusan Malaysia menjemput semua guru dari seluruh negara ke Festival Hari Guru di East Coast Mall Kuantan bermula 13 hingga 16 Mei. Banyak ilmu menanti anda.

Kira raikan Hari Guru 2010

Utusan Malaysia Online: 10 Mei 2010