Thursday, February 17, 2011

Wajah-wajah bilionair Malaysia





KUALA LUMPUR - Raja Gula, Tan Sri Robert Kuok Hock Nien yang telah kembali ke perniagaan gula tahun lalu mendahului senarai orang terkaya di Malaysia dengan memiliki kekayaan bernilai RM50.04 bilion, demikian menurut kaji selidik majalah Malaysian Business keluaran semalam.

Tempat kedua pula diduduki oleh taikun telekomunikasi, T. Ananda Krishnan (RM45.78 bilion) dan diikuti oleh Pengerusi Kumpulan Public Bank, Tan Sri Dr. Teh Hong Piow yang naik satu kedudukan kepada tempat ketiga dengan jumlah kekayaan dianggarkan RM12.77 bilion.

"Usahawan bumiputera dan pengasas Yayasan Al-Bukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary pula menduduki tempat ketujuh dengan nilai kekayaan sebanyak RM8.84 bilion," jelas kenyataan tersebut.

Tempat kelapan senarai berkenaan diduduki oleh isteri mendiang Tan Sri Lim Goh Tong, pengasas Kumpulan Genting, Puan Sri Lee Kim Hua dengan kekayaan yang dianggarkan bernilai RM7.43 bilion.

"Terdapat tiga pendatang baru dalam senarai itu dengan dua daripadanya merupakan kemasukan kali pertama.


Mereka ialah Pengarah Urusan Mah Sing Group Bhd., Tan Sri Leong Hoy Kum; Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Supermax Corporation Bhd., Datuk Seri Stanley Thai dan Timbalan Pengerusi Eksekutif Tan Chong Motors Holdings Bhd., Datuk Tan Heng Chew," ujarnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo

Monday, February 14, 2011

Salam Maulidur Rasul 1432H

Maulidur Rasul (dalam bahasa Arab bermaksud kelahiran Rasul) adalah hari bersejarah keputeraan Nabi Muhammad. Hari ini jatuh pada hari ke-12 bulan Rabiul Awal sempena kelahiran Nabi yang jatuh pada pada Isnin ( Dari hadith riwayat Muslim, 8/25 ) 12 Rabiul Awal Tahun Gajah bersamaan dengan 23 April 571.

Baginda adalah nabi terakhir yang diutus oleh Allah Subhanahu Wataala. Tapak kelahiran baginda pula kini mempunyai satu bangunan kecil yang dikenali sebagai Maulid Nabi.

Setiap tahun pada hari itu, umat Islam di seluruh dunia akan mengadakan majlis memperingati keputeraan Nabi Muhammad s.a.w dengan mengadakan beberapa acara seperti perarakan, ceramah dan sebagainya. Banyak kelebihan dan keistimewaan yang akan dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wataala kepada mereka yang dapat mengadakan atau menghadiri majlis Maulidur Rasul.

Kita dapat lihat betapa besarnya kelebihan orang yang memuliakan majlis keputeraan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, kerana bila berniat sahaja hendak mengadakan Maulud Nabi, sudah pun dikira mendapat pahala dan dimuliakan. Sememangnya bernazar untuk melakukan sesuatu yang baik merupakan doa dan dikira amal salih.

Jelas kepada kita bahawa pembalasan Allah Subhanahu Wataala terhadap kebaikan begitu cepat sehinggakan terdetik sahaja di hati hendak berbuat kebaikan, sudah Allah Subhanahu Wataala akan memberi pembalasan yang tiada ternilai. Seseorang yang beriman, kuat bersandar kepada Allah, ketika di dalam kesusahan dia tetap tenang dan hatinya hanya mengadu kepada Allah dan mengharapkan pertolongan dan kasih sayang Allah Subhanahu Wataala.

Keberkatan mengadakan Majlis Maulud itu bukan sahaja didapati oleh orang yang mengadakan majlis itu, tetapi seluruh ahli rumah atau orang yang tinggal di tempat itu turut mendapat keberkatannya.

sumber :  Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Monday, February 7, 2011

Demi kuasa, Mubarak sedia lakukan apa sahaja

PADA prinsipnya, Hosni Mubarak sudah tewas, apabila rakyatnya bangkit memberontak menentangnya sejak 25 Januari lalu, setelah mendapat inspirasi daripada Revolusi Jasmine di Tunisia. Secara prinsipnya juga Perlembagaan Mesir tidak lagi berfungsi apabila rakyatnya menolak kuasa Presiden dan kerajaannya.
Namun, Mubarak masih tegak berkuasa.

Secara moralnya pula, Mubarak 'menang' apabila tarikh akhir yang diberikan oleh penunjuk perasaan antikerajaan pada Jumaat lalu (4 Februari) yang dipanggil 'Hari Pengunduran' bagi mendesaknya berundur, tidak menjadi kenyataan. Mubarak masih terus 'berkuasa'.

Mubarak merupakan seorang pemimpin yang degil dan ego, tetapi bijak dan licik.

Walaupun, pemimpin-pemimpin dunia, termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama terus meningkatkan tekanan mendesaknya berundur secara terhormat, namun, Mubarak masih berdegil, sebaliknya terus menyusun strategi bagi terus berkuasa.

Nampaknya, strategi-strategi yang disusunnya membuahkan hasil, sekurang-kurangnya sehingga setakat ini, apabila jumlah penunjuk perasaan semakin berkurangan terutama di Dataran Tahrir, Kaherah yang menjadi pusat tumpuan tunjuk perasaan.

Mubarak turut menggunakan 'orang- orang setianya' termasuk Komander Tertinggi Tentera Mesir, Hassan al-Roweny yang 'turun ke padang' menggesa penunjuk perasaan di Dataran Tahrir supaya bersurai dan pulang ke rumah.

Malahan pelantikan Naib Presiden Omar Suleiman dan Perdana Menteri Ahmad Shafiq adalah sebahagian strateginya bagi mengendurkan kemarahan rakyat.

Ia sesuatu yang aneh, apabila jawatan Naib Presiden yang tidak pernah diisi sejak Mubarak melepaskannya 30 tahun lalu untuk menjadi Presiden menggantikan Anawar Sadat yang mati dibunuh, diisi - jika Mubarak tidak ada tujuan strategik.

Mubarak berharap kesetiaan Omar yang merupakan sekutu kuatnya akan menyusun strategi bagi membantunya mengekalkan kuasa.

Sehingga saat ini, tiada tanda-tanda pemimpin berusia 82 tahun itu akan melepaskan jawatan. Penunjuk perasaan juga terus bertahan tidak berganjak dari Dataran Tahrir, walaupun jumlahnya sudah mula berkurangan.

Mubarak memang seorang yang degil.

Mubarak mengikuti gelombang kemarahan rakyatnya itu dengan penuh teliti dan berhati-hati dari hari pertama tunjuk perasaan itu tercetus.
 

Pada satu ketika (2 Februari lalu) Mubarak berjaya menukar haluan protes kepada situasi huru-hara apabila penyokong-penyokongnya yang muncul tiba-tiba pada Rabu lalu bertindak menyerang dan memukul kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan untuk menimbulkan ketakutan di kalangan penunjuk perasaan antikerajaan.

Mubarak juga tidak peduli jumlah korban tunjuk perasaan di Mesir yang kini mencecah angka 300 orang dan hampir 4,000 lagi cedera.

Apa yang diinginkan oleh Mubarak ialah 'mahu pengundurannya' dilakukan mengikut caranya, kerana menurut Mubarak, beliau bertanggungjawab terhadap keselamatan Mesir.

Beliau mahu dilihat sebagai wira - 'berundur dalam kemenangan' bukan 'berundur dalam kekalahan'.

Maka tidak hairanlah mengapa semasa pengumuman pada malam Rabu lalu melalui televisyen, Mubarak masih mampu berucap dalam keadaan tenang menyatakan pendiriannya tidak akan berundur segera seperti yang didesak oleh beribu-ribu penunjuk perasaan

Mubarak juga seorang yang bijak dan tabah, walaupun dalam situasi tertekan dan genting ketika dia kini berseorangan, setelah disisihkan termasuk oleh sekutu kuatnya AS serta menerima tekanan berterusan daripada Presiden AS Barack Obama supaya beliau melaksanakan pembaharuan politik sekarang.
Beliau kini cuba meletakkan segala-gala masalah yang dihadapi Mesir sekarang ke atas rakyatnya yang bangkit memberontak.

Latar belakangnya sebagai seorang tentera dan pengalamannya merintah Mesir selama tiga dekad sejak menggantikan Anwar Sadat yang mati dibunuh di tangan tenteranya sendiri 30 tahun lalu telah mematangkannya untuk menghadapi situasi genting seperti ini.

Sejak hari pertama tunjuk perasaan, Mubarak telah mengatur strategi.

Langkah pertama yang diambilnya ialah menutup perkhidmatan Internet, bagi menyekat perhubungan antara penunjuk perasaan dan mengelakkan maklumat mengenai keadaan di Mesir tersebar di seluruh negara dan dunia.

Jika pada peringkat awal tunjuk perasaan, beliau menyerahkan kepada polis antirusuhan untuk mematahkan tunjuk perasaan. Namun setelah melihat tunjuk perasaan melarat selepas sembahyang Jumaat pada 28 Januari lalu, menyaksikan ramai yang cedera dan terbunuh akibat tindakan ganas polis antirusuhan, Mubarak mengubah strategi.

Selepas melihat suasana sudah mula tidak terkawal dan tindakan ganas polis antirushan, tiba-tiba jalan-jalan raya menuju Dataran Tahrir yang sebelum ini dipenuhi polis antirusuhan menjadi lengang dan tunjuk perasaan berjalan secara aman dengan terus membina momentum bagi meningkatkan tekanan mendesak Mubarak meletak jawatan.

Maka bermulalah babak baru menyaksikan kemunculan kumpulan penyokong Mubarak secara tiba-tiba menyerang kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan dengan senjata api, kayu, batu besi dan bom api dari atas bangunan, sebahagiannya menaiki unta dan kuda menyerang kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan, dengan pihak tentera hanya menyaksikan insiden itu tanpa berbuat apa-apa.

Kelmarin, parti pemerintah, Parti Demokratik Kebangsaan mengumumkan peletakan jawatan beramai-ramai pemimpin tertinggi parti itu, termasuk anak Mubarak - Gamal Mubarak bagi mengendurkan kemarahan rakyat.
Mubarak akan melakukan apa sahaja bagi memastikan dirinya terselamat.

Setelah menerima kecaman hebat, Mubarak mengubah pula strategi menghantar Omar dan Shafiq supaya mengadakan rundingan dengan ketua-ketua pembangkang, termasuk dengan pembangkang kuat Ikhwan Muslimin, walaupun pemimpin pembangkang Mohamed ElBaradei sebelum itu bertegas tidak mahu mengadakan sebarang rundingan selagi Mubarak tidak meletak jawatan bagi membincangkan syarat-syarat pembentukan kerajaan peralihan.

Ini dilihat sebagai langkah terakhir Mubarak bagi berundur mengikut caranya.

Oleh MUSTAFA KAMAL BASRI
pengarang@utusan.com.my

Sunday, January 30, 2011

GOMO KELATE GOMO




PEMAIN dan pegawai pasukan Kelantan meraikan ke jayaan mereka muncul juara Piala Sultan Ahmad Shah selepas menewaskan Selangor 2-0 di Stadium Shah Alam, malam tadi.


KELANTAN terus mencipta sejarah, kali ini berjaya menjuarai Piala Sultan Ahmad Shah buat kali pertama setelah menewaskan Selangor 2-0 di Stadium Shah Alam malam tadi.

Jaringan penalti Norshahrul Idlan Talaha dan sepakan percuma Badhri Radzi sudah cukup untuk menggagalkan hasrat Selangor meraih kejuaraan sumbangsih itu buat kali ketiga berturut-turut.

Tuah jurulatih baru, Datuk M. Karathu membawa kejayaan kepada Kelantan manakala aksi pemain Selangor kendalian K. Devan tampak lesu dan serba tidak menjadi.

Perlawanan yang dimeriahkan dengan kehadiran 35,000 penonton itu, menyaksikan Kelantan mendahului seawal minit kelapan menerusi sepakan penalti Norshahrul setelah bek kanan Selangor, Razman Roslan menjatuhkan Nurul Azwan Roya.

Tertekan dengan jaringan awal itu, Selangor cuba bangkit dan mendapat peluang terbaik pada minit ke-31 menerusi tandukan Safee Sali tetapi sekadar menggegar palang gol Kelantan.

Sebaik babak kedua bermula, Selangor memasukkan Fitri Shazwan Raduwan menggantikan Safiq Rahim manakala Kelantan pula memasukkan Khairul Izuan Rosli menggantikan Danial Fadzly Abdullah pada minit ke-58.

Permainan terhenti hampir 10 minit pada minit ke-62 setelah penyokong Kelantan bertindak membaling botol minuman dan mercun ke arah padang.

Begitupun ia tidak menghalang Kelantan untuk mendapatkan gol kedua pada minit ke-83 menerusi sepakan percuma Badhri dari sebelah kiri yang gagal diagak dengan baik penjaga gol Selangor, Iqbal Suhaimi.

Jaringan tersebut terus mematikan langkah Selangor meskipun terus menggandakan asakan untuk mencari gol.
Trofi kejuaraan disampaikan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah diiringi Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Tan Sri Khalid Ibrahim dan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa.

“Turun selaku juara Piala Malaysia, tekanan hebat terpaksa dipikul Kelantan. Tapi para pemain telah menunjukkan keyakinan diri yang tinggi.

“Ini merupakan kali pertama Kelantan muncul juara dan saya hadiahkan piala ini buat seluruh penyokong setia Kelantan," kata Karathu.

Devan pula berkata: “Gol awal Kelantan menerusi sepakan penalti telah mematikan rentak permainan kami. ”

Pada perlawanan tersebut, penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat yang beraksi cemerlang telah dipilih sebagai Pemain Terbaik Astro.

sumber : http://www.kosmo.com.my/kosmo/

Wednesday, January 19, 2011

Malaysia kekurangan guru j-Qaf


MASALAH kekurangan guru j-Qaf semakin membimbangkan dalam bidang pendidikan Islam di negara ini. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Guru-guru untuk program pembelajaran jawi al-Quran, bahasa Arab dan fardu ain (j-Qaf) semakin berkurangan di semua sekolah rendah di Malaysia.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat, Mohamed Sabri Mohd. Arsad berkata, pihaknya menerima banyak aduan mengenainya.

"Purata biasa untuk tiga kelas ialah seorang guru j-Qaf tetapi di Pahang, contohnya, seorang guru terpaksa mengajar enam kelas berseorangan," jelasnya kepada Kosmo! di sini semalam.

Menurut Mohamed Sabri, kekurangan guru-guru itu membimbangkan kerana matlamat untuk program itu tidak akan tercapai sekiranya jumlah guru yang dibekalkan semakin berkurangan.

"Bayangkan, pada tahun ini hanya 1,500 orang guru j-Qaf ada di seluruh negara sedangkan saya dapat maklumat di Perak sahaja 400 guru diperlukan. Mana cukup dengan jumlah 1,500 orang itu untuk tahun ini?"katanya.

Mohamed Sabri berkata, masalah itu mula berlaku sejak tahun 2009 dan ia semakin berlarutan sehingga kini.
Sejak tahun j-Qaf mula diperkenalkan pada 2004, ia telah diterima baik murid-murid di sekolah dan ia merupakan satu pembelajaran yang bermanfaat tetapi jika perkara ini terus berlarutan program itu akan jadi sia-sia.

Katanya lagi, pihak kesatuan berharap Kementerian Pelajaran mengambil berat soal kekurangan guru itu agar pembelajaran murid-murid tidak terjejas.

Kosmo Online: 17 Januari 2011

Friday, January 14, 2011

PENDIDIKAN INKLUSIF



Konsep Inklusif:
Peluang pendidikan yang disediakan bagi murid-murid yang mempunyai pelbagai jenis kecacatan( seperti kecacatan pendengaran atau penglihatan) yang belajar di dalam bilik darjah biasa bersama-sama dengan murid-murid yang sebaya dengan mereka.

Dengan perkataan lain, palajar khas diintegrasikan dalam pendidikan bersama pelajar normal.Di dalam kelas pendidikan inklusif, murid-murid mengikut kurikulum biasa yang telah diubahsuai oleh ahli-ahli pendidikan.

Pelajar menguasai kemahiran
Program Pengayaan
Pelajar lambat menguasai
kemahiran
Program Pemulihan
Penilaian semula
Menguasai kemahiran
Program Pengayaan

Murid-murid dalam kelas pendidikan inklusif dibimbing oleh guru resos yang bekerjasama dengan guru kelas agar mereka dapat memahami konsep yang disampaikan oleh guru kelas dengan lebih efektif.Murid-murid yang mengalami kecacatan dibantu oleh alat sokongan khas.Jika seseorang murid tidak dapat mengikut kurikulum biasa, murid-murid ini akan mengikuti kurikulum pendidikan khas.

Objektif Pendidikan Inklusif:
· Meningkatkan kesedaran kanak-kanak normal tentang kanak-kanak khas
bahawa mereka juga sebahagian daripada ahli masyarakat
· Memberi peluang kepada kanak-kanak khas untuk menyesuaikan diri dengan
rakan sebaya yang normal dan menyertai aktiviti yang disediakan untuk
mereka
· Memberi pengetahuan dan kemahiran kepada kanak-kanak khas yang
standing dengan kanak-kanak normal untuk meningkatkan konsep kendiri
mereka
· Untuk mengelakkan daripada berlakunya diskriminasi dalam pendidikan dan
kemudahan yang telah dibekalkan oleh pihak Kementerian Pendidikan

Ciri-ciri Dalam Pendididkan Inklusif:
· Penerapan nilai-nilai murni dalam semua mata pelajaran perlu dilaksanakan
oleh guru.
· Pemupukan budaya sains dan teknologi penting dalam pendidikan inklusif
· Peningkatkan dan pengukuhan Bahasa Melayu diutamakan dalam sebarang
program pendidikan inklusif
· Penekanan diberikan pendidikan berkonsepkan komputer

Pelaksanaan Pendidikan Inklusif:
· Guru mesti menggunakan prinsip pemeringkatan isi
· Strategi pengajaran dan pembelajaran mesti dapat meningkatkan penglibatan
murid melalui kaedah-kaedah dan teknik-teknik bercerita, main peranan,
lawatan dan projek
· Di sekolah rendah, Penilaian Kemajuan Berasaskan Sekolah Rendah(PKSR)
dijalankan, manakala di sekolah menengah Penilaian Kemajuan Berasaskan
Sekolah Menengah(PKSM) dijalankan. Kedua-dua penilaian berasaskan
kebolehan murid dan bukan terhad kepada satu kurikulum yang berstruktur.
Penilaian yang bersifat formatif boleh dijalankan pada bila-bila masa sahaja
dalam kedua-dua bentuk penilaian ini
· Sebarang penilaian yang dibuat dalam kelas pendidikan inklusif mesti
disediakan berdasarkan minat murid. Penilaian ini juga mesti mencabar
minda dan pada masa yang sama tidak menyekat kebolehan murid
· Penilaian digunakan dalam pendidikan inklusif boleh dibuat dalam bentuk
berikut:
(a) projek
(b) rekod anekdot
(c) perlakuan
(d) demonstrasi
· Murid-murid dalam kelas pendidikan inklusif terikat dengan peraturanperaturan
bilik darjah yang sama seperti murid-murid yang lain

Jenis-jenis Kanak-kanak Istimewa:
· Kanak-kanak yang ~ bermasalah kerencatan akal/mental
~ bermasalah pencapaian akademik
~ bermasalah tingkah laku
~ bermasalah kecacatan fizikal
~ bermasalah kecacatn penglihatan
~ bermasalah kecacatan pendengaran
~ pintar cerdas
· Kanak-kanak istimewa yang lain juga boleh dimasukkan dalam kelas
pendidikan inklusif jika masalah pembelajaran yang dihadapi oleh mereka
tidak begitu serius
· Jika kanak ini bermasalah pembelajaran/kecacatan/tingkah laku yang sangat
serius, perlu dimasukkan dalam sekolah berasingan untuk mendapatkan
pendidikan khas

Peranan Guru Reses dan Guru Biasa Dalam Pelaksanaan Pendidikan
Inklusif:
· Dalam sekolah yang tiada program pendidikan khas, guru mesti mengajar
kanak-kanak istimewa dangan kanak-kanak normal dalam satu bilik darjah
yang sama. Oleh itu, guru reses atau guru biasa perlu menggunakan kaedah
koperaktif dan kolaboratif dalam mengendalikan kelas inklusif
· Guru terpaksa mengelolakan aktiviti pemulihan untuk kanak-kanak istimewa
dan aktiviti pengayaan pula disediakan untuk murid-murid yang menunjukkan
pencapaian akademik yang baik
· Kebanyakan aktiviti dalam kelas pendidikan inklusif berlaku dalam aktiviti
kumpulan

Saturday, January 8, 2011

KONSEP PROGRAM j-QAF DI PENDIDIKAN KHAS

Program j-QAF di Pendidikan Khas adalah satu usaha memperkasakan Pendidikan Islam ( PI ) di Pendidikan Khas untuk murid-murid berkeperluan khas Bermasalah Pembelajaran.Melalui program ini,penekanan khusus dalam pengajaran dan pembelajaran Al-Quran menggunakan Modul Kaedah Iqra’ dan pengajaran dan pembelajaran Fardhu Ain menggunakan Modul Amali Solat yang dilaksanakan disekolah rendah.

Modul-modul ini telah diubahsuai mengikut tahap penguasaan dan keupayaan murid berkeperluan khas.Tenaga guru yang khusus digunakan untuk pemulihan,bimbingan,kemahiran,pengukuhan,                pengayaan dan penghayatan murid.Perlaksanaannya menggunakan peruntukan jadual waktu sedia ada dan penambahan waktu dikelas Pendidikan Islam di Pendidikan Khas.

PERLAKSANAAN PROGRAM j-QAF DI PENDIDIKAN KHAS

Program Pendidikan Khas Integrasi telah dilaksanakan secara berperingkat mulai 2008 sehingga 2014 dengan unjuran perlaksanaannya seperti dinyatakan dalam jadual 1. 

Tahun
2008
2009
2010
2011
2012
2013
2014
Bil. Guru j-QAF di Pend. Khas
30
41
230
369
501
613
700

PERLAKSANAAN PROGRAM j-QAF DI PENDIDIKAN KHAS
          
Sasaran bagi program ini ialah murid-murid boleh menguasai bacaan dan perlakuan di Program  Pendidikan Khas Integrasi.Mulai tahun 2008,murid yang dipilih sedang mengikuti program tersebut di 30 buah sekolah( 90 buah kelas dengan bilangan murid seramai 540 orang ) diseluruh semenanjung Malaysia.

Bagi murid yang tidak terpilih akan meneruskan pembelajaran Pendidikan Islam yang sedia ada di Pendidikan Khas.Pada tahun 2009 pula, jumlah ini bertambah kepada 41 buah sekolah ( dianggarkan 800 orang murid ) berkeperluan Khas Bermasalah Pembelajaran diseluruh semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Monday, January 3, 2011

Pendidikan Khas

 

Pengenalan

Perkhidmatan kepada kanak-kanak kurang upaya adalah tanggungjawab tiga Kementerian, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pembangunan Wan ita, Keluarga dan Masyarakat dan Kementerian Pelajaran Malaysia.

Pendidikan bagi kanak-kanak tersebut dikendalikan oleh dua Kementerian iaitu Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyediakan perkhidmatan pendidikan kepada kanak-kanak yang menghadapi masalah:

  • cacat fizikal teruk,
  • rencatan akal sederhana dan teruk,
  • pelbagai kecacatan dan
  • kecacatan yang tidak membolehkan kanak-kanak tersebut belajar di sekolah-sekolah yang disediakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.
Kementerian Pelajaran Malaysia menyediakan perkhidmatan pendidikan untuk murid berkeperluan khas yang mempunyai masalah penglihatan, pendengaran dan pembelajaran, dan murid pemulihan khas.

KATEGORI :-

Kategori kanak-kanak bermasalah pembelajaran (BP) di bawah tanggungjawab Kementerian Pelajaran Malaysia adalah seperti berikut:
  • Sindrom Down
  • Autisme ringan
  • Attention Deficit Hyperactivity Disorder
  • Terencat akal minimum, dan
  • Bermasalah pembelajaran spesifik (contoh: Disleksia).
Pendidikan yang diberi menekankan kepada perkembangan jasmani, emosi, rohani dan intelek supaya murid-murid ini boleh mendapat pendidikan ke peringkat yang tertinggi bagi membolehkan mereka mendapatkan pekerjaan dan hidup berdikari.

PROGRAM :-

Program yang dijalankan berlandaskan kepada dasar-dasar berikut:
  • Akta Pendidikan 1996, Bab 8.
  • Akta Pendidikan (Pindaan) 2002.
  • Peraturan -Peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 1997.
  • Keputusan Jawatankuasa Dasar, Kementerian Pelajaran Malaysia [Jawatankuasa Perancang Pendidikan (JPP), Mesyuarat Pengurusan Kementerian Pelajaran Malaysia, Jawatankuasa Kurikulum Pusat (JKP) dan Mesyuarat Pengurusan Jabatan Pendidikan Khas].
  • Deklarasi Antarabangsa:
  • United Nations' World Programme of Action Concerning Disabled Persons (1983).
  • The World's Declaration on Education for All (1990).
  • The United Nations' Standard Rules on the Equalisation of Opportunities for Person With Disablilities (1993).
  • The Framework for Action on Special Needs Education (Salamanca Statement) 1994.
  • Biwako Millennium Framework for Action Towards an Inclusive Barrier-Free and Rights-Based Society for Persons with Disabilities in Asia and the Pacific (2002).

Thursday, December 30, 2010

Malaysia Juara Piala AFF Suzuki Edisi Ke-8

SENTUHAN ajaib K Rajagobal terus berbisa tatkala membawa pasukan negara merangkul gelaran Piala Suzuki AFF 2010 buat pertama kali sejak penyertaan sulung di Singapura pada 1996, walaupun tewas 1-2 pada perlawanan akhir timbal balik di Senayan, Jakarta, semalam.

Malaysia juara baru edisi kelapan hasil agregat 4-2 di hadapan penyokong setia Indonesia yang segan-silu melihat pasukan kesayangan mereka sekadar naib juara di gelanggang keramat, Gelora Bung Karno.

Sebelum perlawanan bermula, skuad Harimau Malaya berdepan ranjau kerana menghadapi pelbagai gangguan penyokong lawan, diejek termasuk diancam ugutan yang menjejaskan keselamatan.

Indonesia bermula garang apabila mengasak ke kubu pasukan Malaysia sejak wisel pertama.
Serangan menggila skuad Merah Putih yang ditunjangi Cristian Gonzales dan Irfan Bachdim akhirnya berhasil apabila berjaya mendapat tendangan penalti setelah bola terkena tangan Sabree Abu pada minit ke-17.

Namun, mungkin kerana kegugupan dan terlalu yakin ingin menjaringkan gol, sepakan penalti diamanahkan kepada Firman Utina sekadar singgah tepat ke dalam dakapan penjaga gol terbaik negara, Khairul Fahmi Che Mat.

Ternyata, kegagalan Firman untuk menyudahkan tendangan penalti terus membakar semangat pemain negara melancarkan serangan bertali arus ke pertahanan Indonesia.

Penyerang Terengganu, Ashari Samsudin hampir meledakkan gol pertama negara pada minit ke-20, namun tendangan cantiknya berjaya di tangkap kemas Markus Rihihina.

Separuh masa pertama ditamatkan tanpa jaringan.

Memasuki separuh kedua, pasukan negara mula menyusun strategi dan tidak banyak bertahan seperti dalam separuh masa pertama.

Tuan rumah dikejutkan dengan gol menarik menerusi Safee Sali yang berjaya memperdayakan dua pertahanan Indonesia sebelum merembat kencang untuk menjadikan kedudukan agregat 4-0.

Namun begitu, asakan bertubi ke kubu negara menyebabkan gawang yang dikawal Khairul Fahmi bocor juga apabila Mohammad Nasuha berjaya meletakkan gol penyamaan pada minit ke-71.

Gol semangat itu terus menyalakan api kebangkitan skuad Garuda apabila Muhammad Ridwan meledak gol pendahuluan pada minit ke-88.

Harapan Indonesia untuk memburu gol tambahan tidak terlaksana kerana setiap serangan ke kubu Malaysia berjaya dipatahkan.

Pengadil perlawanan dari Australia, Peter Green yang mengadili permainan sepanjang 90 minit akhirnya meniup wisel panjang sekaligus mengesahkan skuad negara sebagai kuasa baru arena bola sepak di rantau Asia Tenggara.

Serentak dengan itu, seluruh pemain dan pegawai negara bingkas berlari ke padang, ada yang menangis kegembiraan serta tunduk sujud sebagai tanda bersyukur kepada Ilahi. Malaysia Boleh!

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/SH/com/content/story8566113.asp

Thursday, December 23, 2010

Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengumumkan senarai 24 pemain

KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengumumkan senarai 24 pemain yang akan membawa cabaran skuad The Red Warriors bagi menghadapi Liga Malaysia musim depan.

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa pada sidang medianya berkata, pihak Kafa hanya mendaftar seramai 24 pemain daripada kuota 25 pemain, yang diperuntukkan bagi pendaftaran pemain untuk saingan Liga Malaysia musim depan.

“Tarikh pendaftaran pemain ditutup dua hari lalu. Kita tidak boleh mendaftarkan selengkapnya (25 pemain) kerana tiga pemain berhenti tanpa menghantar notis dan kita tidak dapat mencari pengganti yang sesuai kerana kesuntukan masa.
 

“Kita tidak mempunyai masa yang cukup, mencari pengganti ketiga-tiga pemain tersebut kerana semua pasukan sudah mendaftarkan pemain-pemain lain. Ini sedikit sebanyak, mencacatkan perancangan pasukan tetapi saya percaya ianya tidak mencacatkan kekuatan pasukan,” katanya di Kota Bharu, semalam.

Annuar berkata, pihak Kafa hanya mengekalkan seramai 20 pemain musim lalu dan hanya lima pemain sahaja yang dilepaskan dan digugurkan.

“Kita mendaftarkan tiga penjaga gol musim depan. Penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi (Che Mat) dan Mohd Shahrizan (Ismail) kekal sebagai penjaga gawang. Kita juga mendaftarkan penjaga gol muda, Norhadi Ubaidillah sebagai penjaga gol ketiga Kelantan.

“Syed Adney (Syed Hussien) dipinjamkan kepada pasukan Sabah untuk tempoh setahun.

“Saya memberi opsyen kepada beliau untuk kembali bersama Kelantan tahun berikutnya atau apa yang difikirkan sesuai nanti.

“Sementara itu, Hairuddin (Omar) dan Akmal Rizal (Ahmad Rakhli) memang dilepaskan oleh Kafa sebaik musim lalu berakhir.

“Untuk senarai pasukan Kelantan, kita mempunyai lapan pemain di posisi pertahanan, tujuh pemain serta lima pemain di bahagian serangan.

“Saya juga ingin memaklumkan bahawa kita akan mendapatkan khidmat pemain muda, Nicholas Chan yang berusia 19 tahun yang kini bersama kelab Cardiff City bagi memperkuatkan cabaran pasukan Kelantan musim depan.

“Saya berunding dengan bapa beliau bagi membolehkan beliau beraksi dengan Kelantan musim depan, dan sekiranya tidak ada apa-apa halangan kita akan menandatangani perjanjian dengan pemain tersebut untuk menguatkan pasukan Kelantan,” katanya.

Senarai Pemain Skuad Liga Super Kelantan musim 2011

Penjaga Gol : Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Shahrizan Ismail dan Norhadi Ubaidillah

Pertahanan : S Subramaniam, Mohd Farisham Ismail, Mohammad Ab Aziz Ismail, Mohd Daudsu Jamaludin, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, Zairul Fitree Ishak dan Wan Rohaimi Wan Ismail.

Tengah : Muhd Badhri Muhd Radzi (Ketua Pasukan), Khairan Eroza Razali, Mohd Shakir Saari, Wan Zaman Wan Mustapha, K Soley, Mohd Nurul Azwan Roya, Zul Yusri Che Harun dan Danial Fadzly Abdullah.

Penyerang : Norshahrul Idlan Talaha (Penolong Ketua Pasukan), Muhammad Khalid Jamlus, Muhammad Ramzul Zahini Adenan, Mohd Nizab Ayub dan S Chanturu.

Tuesday, November 30, 2010

Konvokesyen j-QAF KPM 2010






Akhirnya...Sesudah 18 bulan bersengkang mata,,,1 tahun setengah berusaha...kini tibalah masanya kami mendapat hasil daripada penat lelah tersebut.Konvokesyen berlangsung sebagaimana berikut :

Tempat : Dewan Sri Siantan,Presint 3 ,Putrajaya.
Tarikh : 22-23 November 2010

Wednesday, November 10, 2010

Profesion keguruan ke tahap lebih tinggi



PUTRAJAYA 9 Nov. - Ketua Pengarah Pelajaran yang baru, Datuk Abdul Ghafar Mahmud berazam menambah baik skim perkhidmatan pendidikan dan mengangkat profesion keguruan ke tahap lebih tinggi dalam perkhidmatan awam.

Beliau berkata, dengan memartabatkan profesion itu maka ia akan memperkemaskan lagi sistem penyampaian dan seterusnya meningkatkan kualiti pendidikan di negara ini secara menyeluruh.

''Saya menyeru semua warga guru di Malaysia supaya meneruskan usaha bakti mendidik anak bangsa dengan memastikan setiap murid dapat menerima pendidikan berkualiti dari peringkat prasekolah sehingga ke peringkat menengah atas.

''Guru mulai sekarang semestinya berusaha dengan gigih untuk meningkatkan pengetahuan dan kualiti pengajaran mereka. Diharapkan sumbangan mereka dapat melahirkan warganegara yang kreatif dan inovatif ke arah Wawasan 2020," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Abdul Ghafar, 56, yang sebelum ini bertugas sebagai Pengarah Institut Aminuddin Baki menggantikan Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom yang bersara wajib.

Sepanjang perkhidmatannya dalam bidang pendidikan, Abdul Ghafar telah memegang pelbagai jawatan penting termasuk Atase Pendidikan di Jabatan Penuntut Malaysia, Washington, Amerika Syarikat; Pengarah Bahagian Sukan Seni dan Kokurikulum serta Ketua Nazir Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti, Kementerian Pelajaran.

Abdul Ghafar berkata, Alimuddin dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang merupakan mentor untuk meneruskan agenda transformasi pendidikan.
''Saya akan memberi komitmen yang tinggi dalam meningkatkan imej pendidikan negara selaras dengan Model Baru Ekonomi," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Ghafar merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas kepercayaan yang diberikan
.
''Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana memberi kepercayaan untuk menjalankan tugas ini.

''Sesungguhnya pelantikan ini merupakan amanah yang besar dan saya sangat menghargainya," katanya.

Utusan Malaysia Online: 10 November 2010

Alimuddin tinggalkan legasi cemerlang

Abd. Ghafar KP Pelajaran baharu 

KUALA LUMPUR 7 Nov. - Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa Pengarah Institut Aminuddin Baki, Datuk Abd. Ghafar Mahmud (gambar), 54, dilantik menjadi Ketua Pengarah Pelajaran yang baharu berkuat kuasa esok.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran memberitahu, Abd. Ghafar akan menggantikan Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom yang bersara wajib hari ini.

''Selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan Perkara 144(3), Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri telah memperkenankan pelantikan Abd. Ghafar sebagai Ketua Pengarah Pelajaran yang baharu,'' katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Beliau memberitahu, pelantikan Abd. Ghafar dibuat berasaskan pengalaman luas dalam bidang pendidikan, pengetahuan serta kompetensi yang dimilikinya.

''Kerajaan percaya, pengalaman, pengetahuan serta komitmen Abd. Ghafar akan membolehkan beliau melaksanakan tugas seperti mana diperuntukan oleh Akta Pendidikan 1996,'' kata beliau.

Tambah Muhyiddin, kerajaan juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Alimuddin atas sumbangan kepada perkhidmatan awam serta negara selama 34 tahun.Alimuddin memegang jawatan Ketua Pengarah Pelajaran sejak 16 Julai 2007.

Abd. Ghafar berkelulusan Ijazah Sarjana dalam bidang pendidikan dari Universiti of East Aglia, Norwich, United Kingdom serta pemegang Ijazah Sarjana Muda Sastera dari Universiti Malaya.Beliau memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam sebagai pegawai perkhidmatan pelajaran pada 1 Mei 1977.

Sepanjang perkhidmatannya di Kementerian Pelajaran, Abd. Ghafar memegang pelbagai jawatan antaranya sebagai Pengarah Institut Aminuddin Baki sejak tahun lepas, Ketua Nazir, Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti pada 2008 dan Pengarah Bahagian Sukan, Seni dan Kokurikulum pada 2007.

Di samping itu, beliau juga pernah menjawat jawatan Ketua Penolong Pengarah, Unit Berasrama Penuh serta Ketua Penolong Pengarah, Unit Perancang dan Pembangunan, Bahagian Sekolah pada 2001.