PADA prinsipnya, Hosni Mubarak sudah tewas, apabila rakyatnya bangkit memberontak menentangnya sejak 25 Januari lalu, setelah mendapat inspirasi daripada Revolusi Jasmine di Tunisia. Secara prinsipnya juga Perlembagaan Mesir tidak lagi berfungsi apabila rakyatnya menolak kuasa Presiden dan kerajaannya.
Namun, Mubarak masih tegak berkuasa.
Secara moralnya pula, Mubarak 'menang' apabila tarikh akhir yang diberikan oleh penunjuk perasaan antikerajaan pada Jumaat lalu (4 Februari) yang dipanggil 'Hari Pengunduran' bagi mendesaknya berundur, tidak menjadi kenyataan. Mubarak masih terus 'berkuasa'.
Mubarak merupakan seorang pemimpin yang degil dan ego, tetapi bijak dan licik.
Walaupun, pemimpin-pemimpin dunia, termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama terus meningkatkan tekanan mendesaknya berundur secara terhormat, namun, Mubarak masih berdegil, sebaliknya terus menyusun strategi bagi terus berkuasa.
Nampaknya, strategi-strategi yang disusunnya membuahkan hasil, sekurang-kurangnya sehingga setakat ini, apabila jumlah penunjuk perasaan semakin berkurangan terutama di Dataran Tahrir, Kaherah yang menjadi pusat tumpuan tunjuk perasaan.
Mubarak turut menggunakan 'orang- orang setianya' termasuk Komander Tertinggi Tentera Mesir, Hassan al-Roweny yang 'turun ke padang' menggesa penunjuk perasaan di Dataran Tahrir supaya bersurai dan pulang ke rumah.
Malahan pelantikan Naib Presiden Omar Suleiman dan Perdana Menteri Ahmad Shafiq adalah sebahagian strateginya bagi mengendurkan kemarahan rakyat.
Ia sesuatu yang aneh, apabila jawatan Naib Presiden yang tidak pernah diisi sejak Mubarak melepaskannya 30 tahun lalu untuk menjadi Presiden menggantikan Anawar Sadat yang mati dibunuh, diisi - jika Mubarak tidak ada tujuan strategik.
Mubarak berharap kesetiaan Omar yang merupakan sekutu kuatnya akan menyusun strategi bagi membantunya mengekalkan kuasa.
Sehingga saat ini, tiada tanda-tanda pemimpin berusia 82 tahun itu akan melepaskan jawatan. Penunjuk perasaan juga terus bertahan tidak berganjak dari Dataran Tahrir, walaupun jumlahnya sudah mula berkurangan.
Mubarak memang seorang yang degil.
Mubarak mengikuti gelombang kemarahan rakyatnya itu dengan penuh teliti dan berhati-hati dari hari pertama tunjuk perasaan itu tercetus.
Pada satu ketika (2 Februari lalu) Mubarak berjaya menukar haluan protes kepada situasi huru-hara apabila penyokong-penyokongnya yang muncul tiba-tiba pada Rabu lalu bertindak menyerang dan memukul kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan untuk menimbulkan ketakutan di kalangan penunjuk perasaan antikerajaan.
Mubarak juga tidak peduli jumlah korban tunjuk perasaan di Mesir yang kini mencecah angka 300 orang dan hampir 4,000 lagi cedera.
Apa yang diinginkan oleh Mubarak ialah 'mahu pengundurannya' dilakukan mengikut caranya, kerana menurut Mubarak, beliau bertanggungjawab terhadap keselamatan Mesir.
Beliau mahu dilihat sebagai wira - 'berundur dalam kemenangan' bukan 'berundur dalam kekalahan'.
Maka tidak hairanlah mengapa semasa pengumuman pada malam Rabu lalu melalui televisyen, Mubarak masih mampu berucap dalam keadaan tenang menyatakan pendiriannya tidak akan berundur segera seperti yang didesak oleh beribu-ribu penunjuk perasaan
Mubarak juga seorang yang bijak dan tabah, walaupun dalam situasi tertekan dan genting ketika dia kini berseorangan, setelah disisihkan termasuk oleh sekutu kuatnya AS serta menerima tekanan berterusan daripada Presiden AS Barack Obama supaya beliau melaksanakan pembaharuan politik sekarang.
Beliau kini cuba meletakkan segala-gala masalah yang dihadapi Mesir sekarang ke atas rakyatnya yang bangkit memberontak.
Latar belakangnya sebagai seorang tentera dan pengalamannya merintah Mesir selama tiga dekad sejak menggantikan Anwar Sadat yang mati dibunuh di tangan tenteranya sendiri 30 tahun lalu telah mematangkannya untuk menghadapi situasi genting seperti ini.
Sejak hari pertama tunjuk perasaan, Mubarak telah mengatur strategi.
Langkah pertama yang diambilnya ialah menutup perkhidmatan Internet, bagi menyekat perhubungan antara penunjuk perasaan dan mengelakkan maklumat mengenai keadaan di Mesir tersebar di seluruh negara dan dunia.
Jika pada peringkat awal tunjuk perasaan, beliau menyerahkan kepada polis antirusuhan untuk mematahkan tunjuk perasaan. Namun setelah melihat tunjuk perasaan melarat selepas sembahyang Jumaat pada 28 Januari lalu, menyaksikan ramai yang cedera dan terbunuh akibat tindakan ganas polis antirusuhan, Mubarak mengubah strategi.
Selepas melihat suasana sudah mula tidak terkawal dan tindakan ganas polis antirushan, tiba-tiba jalan-jalan raya menuju Dataran Tahrir yang sebelum ini dipenuhi polis antirusuhan menjadi lengang dan tunjuk perasaan berjalan secara aman dengan terus membina momentum bagi meningkatkan tekanan mendesak Mubarak meletak jawatan.
Maka bermulalah babak baru menyaksikan kemunculan kumpulan penyokong Mubarak secara tiba-tiba menyerang kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan dengan senjata api, kayu, batu besi dan bom api dari atas bangunan, sebahagiannya menaiki unta dan kuda menyerang kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan, dengan pihak tentera hanya menyaksikan insiden itu tanpa berbuat apa-apa.
Kelmarin, parti pemerintah, Parti Demokratik Kebangsaan mengumumkan peletakan jawatan beramai-ramai pemimpin tertinggi parti itu, termasuk anak Mubarak - Gamal Mubarak bagi mengendurkan kemarahan rakyat.
Mubarak akan melakukan apa sahaja bagi memastikan dirinya terselamat.
Setelah menerima kecaman hebat, Mubarak mengubah pula strategi menghantar Omar dan Shafiq supaya mengadakan rundingan dengan ketua-ketua pembangkang, termasuk dengan pembangkang kuat Ikhwan Muslimin, walaupun pemimpin pembangkang Mohamed ElBaradei sebelum itu bertegas tidak mahu mengadakan sebarang rundingan selagi Mubarak tidak meletak jawatan bagi membincangkan syarat-syarat pembentukan kerajaan peralihan.
Ini dilihat sebagai langkah terakhir Mubarak bagi berundur mengikut caranya.
Oleh MUSTAFA KAMAL BASRI
pengarang@utusan.com.my
Kembali Menulis
4 years ago
No comments:
Post a Comment