Sunday, May 1, 2011

Dirotan kerana disleksia


Selepas menjalani latihan intensif di Persatuan Pembelajaran kanak-kanak disleksia, Imran dapat membaca dengan lancar.


ALBERT Einstein tidak pernah belajar membaca sehinggalah umur beliau sembilan tahun. Seorang guru sekolah yang mengajar Thomas Edison melabelkannya sebagai murid yang lembap. Biar pun kedua-dua tokoh ternama itu mengalami disleksia, namun kekurangan itu tidak pernah menjadi batu penghalang untuk mereka mencapai kejayaan.


Pengalaman sama turut dialami Baki Zainal yang menyedari dia sebenarnya menghidap disleksia.
Pada awalnya, pengacara dan pelakon itu tidak tahu pengalaman semasa sekolahnya dulu merupakan simptom-simptom disleksia.

"Saya pun tidak tahu yang saya ada disleksia sehinggalah saya membawa anak saudara saya yang mempunyai masalah pembelajaran ke pusat disleksia di Ampang, Selangor. Kakak ipar saya banyak membuat kajian di Internet dan mendapati simptom anaknya ada hubung kait dengan disleksia. Anak saudara saya tidak mempunyai masalah dalam Matematik dan Sains tetapi dia lemah dalam mata pelajaran bahasa Melayu. Bayangkan untuk mengeja nama sendiri pun, dia tidak dapat. Melalui ujian yang dia lalui, saya dapati masalah yang dihadapinya sama dengan saya," ujarnya.

Ketika bersekolah, Baki turut berhadapan dengan masalah membaca.Sehinggalah ke hari ini, dia mempunyai masalah membaca skrip penuh.Sebagai pengacara, dia hanya memerlukan ayat atau fakta ringkas, kemudian dia akan menyambung sendiri ayat-ayat tersebut.

"Mereka yang mempunyai disleksia biasanya melihat huruf bertindih-tindih atau timbul. Saya pula yang ketika itu bersekolah Cina terpaksa berhadapan dengan masalah pembelajaran kerana terlalu memikirkan logik sesuatu subjek itu. Kadang-kadang saya tidak mahu membuat kerja sekolah dan keesokan harinya saya dirotan. Saya tidak ada masalah untuk mendapat A dalam mata pelajaran Sains, Sejarah dan Geografi tetapi gagal dalam Matematik kerana saya tidak dapat mencari jawapan yang logik," jelasnya sambil tersenyum.
Namun, dia bersyukur kerana keluarganya banyak memberi sokongan dan tidak pernah menggunakan perkataan 'bodoh' atau 'lembap'. Bersimpati dengan nasib pelajar-pelajar yang mungkin berhadapan dengan disleksia dan orang sekeliling mengkategorikan mereka pelajar lembap.

Justeru itu, dia mahu lebih ramai yang menyedari tentang wujudnya disleksia.

"Ramai ibu bapa yang tidak tahu wujudnya pusat penjagaan disleksia yang berperanan besar untuk mengembalikan keyakinan mereka berhadapan saingan sengit dalam pembelajaran. Berbeza dengan keadaan saya dulu, saya berpendapat ibu bapa sekarang lebih bertuah kerana mereka didedahkan tentang disleksia. ''Cuba bayangkan kalau saya mendapat jolokan pelajar 'lembap' daripada keluarga sendiri, saya mungkin gagal mencapai kejayaan seperti hari ini," katanya yang yang turut berkongsi pengalaman sebagai seorang penghidap disleksia menerusi kempen The Gift of Learning" oleh Procter & Gamble Malaysia (P&G).

Kempen

Kempen ini membolehkan pengguna yang prihatin menyumbang keperluan pembelajaran kanak-kanak disleksia dengan membeli produk jenama P&G di Giant atau kedai Guardian.
Kempen tersebut berlangsung sehingga 19 Mei 2011, dan berharap untuk meraih RM100, 000 bagi menyediakan pembelajaran pemulihan secara percuma kepada kanak-kanak disleksia di pusat-pusat Pertubuhan Disleksia Malaysia (DAM) di seluruh negara.

Sementara itu, menurut seorang bapa, Dr. Aziz Abu Hassan, yang menghantar anaknya, Imran Aziz ke Persatuan Pembelajaran Kanak-Kanak Disleksia Kuala Lumpur, selepas diberikan perhatian dan tunjuk ajar serta pembelajaran secara one to one, sudah ada perkembangan positif ke atas anaknya.

"Dahulu anak saya tidak mampu memberikan tumpuan dan sukar belajar. Selepas menghantar ke pusat ini, anak saya sudah boleh mengira, membaca dan melakukan penyelesaian kepada latihan yang diberikan.
''Jangan tunggu terlalu lama untuk membuat keputusan kerana ia penting untuk masa hadapan anak-anak kita," ujarnya yang juga Naib Presiden Disleksia Malaysia.

Dr. Aziz menasihatkan ibu bapa yang telah mengenal pasti masalah anak-anak seperti ini membuat pemeriksaan segera di hospital untuk di diagnos sama ada menghidap sindrom disleksia atau tidak.

"Disleksia, yang mempengaruhi kebolehan seseorang itu membaca, merupakan satu fenomena biasa di negara ini dan melibatkan 314,000 kanak-kanak sekolah. Pengesanan awal penting supaya bantuan dapat diberikan secepat mungkin dan memberi peluang yang lebih cerah untuk dirawati.

'' Saya berharap kesedaran yang diwujudkan oleh kempen 'The Gift of Learning' dapat membantu meraih sokongan orang ramai dan juga badan korporat," jelas Presiden Persatuan Disleksia Malaysia, Puan Sariah Amirin.

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH

No comments:

Post a Comment