"Jika hari ini, seorang Perdana Menteri, seorang Presiden, seorang Raja yang berjiwa rakyat, Jika hari ini, seorang peguam petah berbicara, seorang jurutera binaannya tegar, seorang arkitek lakarannya diterima, Jika hari ini, seorang saintis menemui formula, seorang doktor pembedahannya berjaya, seorang pengurus dikasihi pekerjanya, Jika hari ini, seorang penulis karyanya terkemuka, seorang hartawan mendermakan harta, seorang pensyarah menjana cendekia, seorang graduan visinya ketara, Jika hari ini, seorang ulama' telus tarbiyahnya, seorang ahli sukan bergelar juara dunia, seorang menjadi dewasa, semua orang sejahtera dan bahagia."
Selamat Hari Guru buat semua insan yang bergelar guru,cikgu,ustaz dan ustazah serta muallim yang dihormati.Tahun ini merupakan tahun yang cukup bermakna bagi saya sebagai seorang guru.Indah dan Nikmatnya menjadi seorang guru tidak terluah oleh kata-kata.Ianya menusuk jauh ke dalam hati dan menyerapi saraf-sarafku dan merangsang mindaku untuk berbangga menjadi seorang guru.
Keikhlasan seorang guru bukan terletak hanya pada kebaikannya dalam melayani anak-anak muridnya tetapi kemampuannya membimbing dan mentarbiyyah anak didiknya sehingga menjadi insan yang berguna dan bertaqwa kepada bangsa,agama dan negara.
Sesungguhnya dikesempatan ini ingin saya lontarkan rasa ta'azim dan bangga saya kerana mempunyai guru-guru yang berjaya mendidik saya menjadi orang yang berjaya dan mengulanginya pula dalam kehidupan seharian saya.Saya cukup berbangga mempunyai para pensyarah yang mengajar kami erti ketabahan dan kesabaran dalam mendidik serta kami juga berbangga mempunyai keluarga yang cemerlang dalam mendorong ke arah kejayaan.Mereka ini semua guru-guru yang cemerlang.Terima Kasih Cikgu.
Sebelum terlupa...Saya juga mempunyai 2 orang guru yang paling saya hormati.Sayangnya salah seorang dari guru saya ini telah pergi meninggalkan saya.Dialah yang mengajar saya Alif,Ba,Ta.Mengenalkan saya dengan cabaran dunia realiti.Al-Fatihah buat Allahyarhamah Wan Hasnah Bt Wan Abdullah bondaku.Semoga Allah mencucuri rohnya dialam sana.Amin Ya Rabbal A'lamin.Manakala Othman bin Saleh merupakan insan yang kedua mengajarku perit jerih kehidupan dan mengajarku tentang kepentingan berilmu.Terima Kasih Abah.Curahan ilmu ajaran kalian berdua akan daku curahkan kepada anak bangsa kita yang dahagakan ilmu.
Anak ini rindukan ilmu
Dimanakah dapat ku cari
Menyelusuri denai kelam
Menerokai cyber gemilang
Namun...Tiada dapat kucarinya
Alpakah aku...
Lalaikah aku...
Entahlah..Sukar ku mengertikan
Ilmu itu sulit kutemui
Kini..aku mempunyai permata
ilmu itu ada untuk kucurahkan kepadanya
ilmu itu ada darinya
ilmu itu tidak sulit lagi
Anak itulah guruku
Tangisnya,Tawanya,
ilmu yang berguna.
Selamat Hari Guru Untuk semua warga pendidik.Semoga usaha murnimu mendidik menjadi jambatan ke syurga.
Terima Kasih Guruku.
No comments:
Post a Comment