Tuesday, December 1, 2015




Setiap manusia yang hidup di dunia ini tidak akan terlepas daripada menghidapi penyakit. Ada masanya penyakit datang sekali sekala seperti demam panas, pening kepala dan sakit gigi . Dan ada penyakit datang berterusan menyebabkan penghidapnya hidup menderita hingga membawa kepada kematian. Penyakit yang datang berpunca daripada kuman, virus atau bakteria yang menyerang organ manusia hingga menyebabkan kerosakkan organ-organ tersebut seperti buah pinggang, hati, jantung, paru-paru, usus dan lain-lain. Penyakit seperti kanser, sakit kencing manis, sakit jantung, paru-paru berair dan penyakit-penyakit lain adalah penyakit yang sering menyerang manusia samaada orang dewasa , remaja atau kanak-kanak.

Sebagai seorang Mukmin kita kena redha bahawa penyakit itu datangnya daripada Allah s.w.t. dan Dia juga yang akan memulihkannya. Setiap penyakit itu pasti ada ubatnya yang di sediakan oleh Allah s.w.t. Dia mendatangkan penyakit kepada hamba-Nya adalah semata-mata Dia ingin menguji kesabaran dan keimanan hamba-Nya adakah dengan penyakit itu seorang hamba akan rasa kecewa dan putus asa ? Atau dengan penyakit yang dihadapinya dia akan redha dengan Qadha' dan Qadar Allah s.w.t.?

Walau apa saja yang kita alami di dunia ini, ia adalah sunnatullah yang telah ditetapkan menurut hikmah-Nya sebagai cubaan dan ujian. Dalam al-Qur'an banyak disebut mengenai ujian Allah ini. Dengan kata lain, manusia sentiasa diuji oleh Allah dengan pelbagai bentuk sama ada manusia suka atau tidak Allah tetap mengujinya.

Al-Qur'an dalam surah Al-Anbiya ayat 35 Allah berfirman yang bermaksud: “Tiap-tiap diri akan merasai mati dan Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.”

Dalam surah Al-A’raf ayat 168 pula Allah berfirman yang bermaksud: “Dan, Kami cuba mereka dengan (nikmat) yang baik-baik dan (bencana) yang buruk, agar mereka kembali (kepada kebenaran).”

No comments:

Post a Comment