KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) kini sedang sibuk dengan transformasi pendidikan dengan berusaha untuk mengurangkan mata pelajaran di sekolah rendah. Usaha KPM itu adalah tindakan yang amat baik yang selama ini ditunggu-tunggu oleh ibu bapa.
Tidak timbul lagi masalah anak-anak kecil berada di Tahun Satu merengek mengheret beg pergi dan balik dari sekolah.Transformasi pendidikan ini melibatkan juga anak-anak yang berada di sekolah-sekolah dan program percantuman pendidikan khas. Apa yang berlaku sekarang, transformasi pendidikan tidak berlaku dalam sistem pendidikan khas, khususnya di kalangan anak-anak bermasalah pembelajaran.
Cuba bayangkan anak-anak istimewa kita terpaksa mengharungi lebih daripada 15 mata pelajaran dalam seminggu berbanding dengan mata pelajaran yang diajar kepada anak-anak di aliran perdana.
Anak-anak di sekolah kebangsaan hanya belajar 11 mata pelajaran, sebaliknya anak-anak berkeperluan khas belajar sebanyak 15 mata pelajaran. Mata pelajaran yang diikuti oleh anak-anak berkeperluan khas meliputi Pengurusan Diri, Pengurusan Tingkah Laku, Kemahiran Manipulatif, Bahasa Malaysia, Matematik, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Pendidikan Seni Visual, Pendidikan Muzik, Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan, Kemahiran Hidup Pertanian, Mencuci Kereta, Masakan, Mendobi dan Pertukangan.
Berdasarkan sukatan yang telah digubal, semua murid berkeperluan khas perlu mengikuti semua mata pelajaran. Bila masa anak-anak khas dapat menguasai kemahiran sekiranya terlalu banyak mata pelajaran yang hendak disampaikan. Sebab itulah kita dapati anak-anak bermasalah pembelajaran tiada peningkatan daripada aspek proses pengajaran dan pembelajaran.
Kita harus ingat bahawa anak-anak bermasalah pembelajaran adalah anak-anak yang terdiri daripada pelbagai kategori kecacatan yang dilonggokkan dalam satu kelas. Setiap individu anak-anak bermasalah pembelajaran memerlukan didikan yang selaras dengan kecacatan yang dihadapi.
Keperluan anak-anak ‘sindrom down’ adalah berbeza dengan keperluan anak-anak hiperaktif dan anak-anak lembam.
Sejauh manakah kurikulum untuk anak-anak bermasalah pembelajaran yang ada mampu memberi pendidikan kepada anak-anak bermasalah pembelajaran di sekolah-sekolah masih diragui.
Selaras dengan transformasi pendidikan, semua pihak yang terlibat dengan pendidikan untuk golongan bermasalah pembelajaran harus peka terhadap keperluan individu mereka.
Sistem melonggokkan pelbagai kategori kecacatan dalam satu kelas seharusnya dikaji semula. Begitu juga dengan kurikulum yang hendak disampaikan kepada mereka agar matlamat pendidikan khas itu tercapai, bukan sekadar membina kurikulum yang berlambak tapi tidak mendatangkan menafaat kepada anak-anak kita yang berkeperluan khas.
Utusan Malaysia Online: 24 Disember 2009
Perasaan macam menang Piala Dunia – Hannah Yeoh
9 months ago
No comments:
Post a Comment