Saturday, July 22, 2017

MENGUSIR SYAITAN




Al-Quran telah banyak mengingatkan kita agar berwaspada terhadap musuh nombor satu iaitu syaitan. Jika kesempurnaan mengimani setiap cabang iman dan Islam dengan mempelajari hukum-hukum yang dikandungnya seperti halal haramnya, sunah-sunah dan adabnya, maka kesempurnaan mewaspadai syaitan pun harus demikian. Faktor-faktor penyebab kelemahan dan pertentangan sajalah yang mengambil berat dan sedar bahawa kedua-dua musuh ini merupakan dalang setiap fitnah, bencana dan kerosakan. Antara cara-cara mengusir syaitan ialah:

1. Isti'azah (Berlindung kepada Allah)
Beristiazah merupakan ubat yang paling mujarab untuk setiap gangguan syaitan. Allah berfirman: "Dan jika syaitan mengganggumu dengan suatu gangguan maka mohon perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (Fushilat 36).

2. Membaca surat:Al-Falaq dan surah Annas
Rasulullah S.A.W. bersabda: "Tidakkah engkau tahu bahawa malam hari ini turun sejumlah ayat yang belum pernah ada seumpamanya iaitu :Qul A'uzu birabbil-falaq dan Qul A'uzu birabbin Naas." (Muslim). Aisyah r.a, Bukhari telah meriwayatkan bahawa Nabi S.A.W. manakala naik ketempat tidur setiap malam, baginda menghimpunkan dua tapak tangannya lalu meniupkan seraya membaca: Qulhuwallahu Ahad, Qul A'uzu birabbil falaq dan Qul'A uzu birabbinnaas kemudian mengusapkan keseluruh badannya mulai dari kepalanya lalu muka dan seluruh bahagian badan depan sebanyak tiga kali."

3. Membaca ayat Kursi
Ayat Kursi disamping ia sebagai ayat yang paling agong kerana mengandungi dasar-dasar tauhid, juga ia laksana petir yang menyambar setiap syaitan yang mencuba mendekati seorang muslim saat ia membacanya menjelang tidur.

4. Menundukkan pandangan
Memandang yang diharamkan oleh Allah merupakan satu pintu syaitan yang paling berbahaya. Dengannya tidak sedikit orang masuk ke Jahannam. Dengannya iman menjadi lemah dan kelazatannya hilang. Dengannya fikiran pula menjadi keruh akal pun tumpul. Pandangan adalah pangkal dari kebanyakan bencana dan kejadian yang menimpa umat manusia. Pandangan menumbuhkan getaran perasaan, sedang getaran perasaan mendatangkan fikiran yang aneh-aneh yang melahirkan syahwat dan keinginan buruk. Sabar menahan pandangan mata jauh lebih mudah dan lebih ringan daripada menahan sabar derita dan bencana yang di akibatkannya.

5. Menjauhkan pendengaran dari hal-hal yang batil
Dalam hal menutup telinga ini kerap para pengikut kebatilan lebih ketat dari pengikut haq. Para pengikut kebatilan ini betul-betul menutup telinganya dari haq rapat-rapat sebagaimana firman Allah S.W.T.: "Dan sesungguhnya setiap kali aku menyeru mereka (kepada iman) agar Engkau mengampuni mereka. Mereka memasukkan anak jari mereka ke dalam telinganya dan menutupkan bajunya (kemukanya) dan mereka tetap (mengingkari) dan menyombongkan diri dengan amat sangat." (Nuh 7).

6. Syaum (Puasa)
Puasa merupakan ubat pengganti pernikahan bagi yang belum mampu melakukannya. Rasulullah S.A.W. bersabda: Dengan puasa dapat melemahkan atau menahan hawa nafsu yang selalu mengganggunya. Dengan demikian, puasa atau syaum menjadi penghalang atau penyumbat pintu syaitan.

7. Nikah
Nikah merupakan satu cara untuk menutup pintu syaitan, kerana dengan bernikah lebih terpelihara pandangan dan kemaluan dan dengan menikah gejolak nafsu syahwat yang ditimbulkan oleh sang musuh dapat dikendalikan. Rasulullah S.A.W. bersabda: "Wahai segenap pemuda, barangsiapa diantara kalian yang mampu untuk bernikah, maka menikahlah. Dan barangsiapa yang tidak mampu hendaklah ia berpuasa, kerana puasa akan menjadi perisai baginya." (Hadis Riwayat Bukhari).

8. Memperkukuhkan ikatan kekeluargaan (Ikatan Rumahtangga)
Salah satu pintu syaitan ialah bercerai berai. Antara faktor yang dapat menjamin jalinan kekeluargaan dalam Islam ialah memilih isteri yang solehah, menjauhkan kemampuan dari masyarakat jahiliah, hidup ditengah masyarakat yang Islamik, mendidik putera-puteri dengan pendidikan Islam dan sebagainya. Rasulullah S.A.W. bersabda: "Orang yang paling baik di antara kalian ialah yang paling baik akhlaknya terhadap keluarganya dan aku adalah orang yang paling baik terhadap keluargaku."

9. Muhasabah (Memeriksa diri)
Cara ini digunakan untuk mengubati penyakit yang timbul saat mempraktikkan amal jama'I (kerja bersama), riyak, suka populariti dan sebagainya. Semua penyakit ini ditabur oleh iblis ditengah-tengah jalan sang penyeru kebenaran agar menyimpang dan gagal. Allah berfirman: "Hai orang-orang yang beriman bertaqwalah kepada Allah, hendaklah setiap diri memerhatikan apa yang telah diperbuatkan untuk hari esok." (Al-Hasyr18).

10. Mengenali hakikat dunia
Al-Quran telah memberikan gambaran begitu indah tentang dunia melalui ayat: "Dan berilah perumpamaan kepada mereka (manusia) kehidupan dunia adalah sebagai air hujan yang Kami turunkan dari langit,maka menjadi subur kerananya tumbuh-tumbuhan dimuka bumi,lalu tumbuh-tumbuhan itu menjadi kering yang diterbangkan angin." (Al-Kahfi 45) Rasulullah S.A.W. bersabda: "Dunia dibanding akhirat tak lain bagaikan seseorang memasukkan sebuah jari tangannya kelautan,lalu ia angkat kembali jari tersebut dengan air yang dibawahnya (yang melekat padanya." (Muslim).

11. Komitmen terhadap jemaah
Komitmen terhadap jemaah muslim yang baik merupakan suatu hal yang tidak diingini oleh musuh Allah, kerana jemaah yang baik salah satu penyelamat dari neraka ketika sang musuh mengajak para pendukungnya ke neraka. Manusia itu terpengaruh oleh lingkungan yang mengelilinginya dan kebanyakkannya ia diwarnai oleh sifat-sifat masyarakat dimana ia hidup dan berkembang. Rasulullah S.A.W. bersabda: "Setiap bayi dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci). Ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi." (Bukhari).

12. Kata-kata lembut dan ucapan yang baik.
Kata-kata yang baik merupakan ubat untuk mengusir bisikan syaitan dari sebarang kejahatan firman Allah: "Dan katakanlah kepada hamba-hambaKu, Hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik. Sesungguhnya syaitan itu menimbulkan perselisihan di antara mereka." (Al-Isra 53). Kata-kata yang baik itu sedekah dan juga dapat menghindarkan diri dari api neraka. Rasulullah S.A.W. bersabda: "Takutlah kamu dari neraka sekalipun dengan (sedekah) sebiji kurma. Jika tidak mendapatkannya, maka hendaklah dengan kata-kata yang baik." (Bukhari).

No comments:

Post a Comment