Sunday, August 24, 2014

Puasa Ramadhan



Puasa Ramadhan
Puasa Ramadhan ertinya menahan diri daripada makan dan minum serta segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai dari terbit fajar sehinggalah terbenam matahari pada bulan Ramadhan. Hukum puasa Ramadhan adalah wajib bagi umat Islam. Umat Islam juga dikehendaki menahan diri daripada menipu, mengeluarkan kata-kata buruk atau sia-sia, serta bertengkar atau bergaduh. Ini kerana puasa merupakan medan latihan memupuk kesabaran, kejujuran serta bertolak ansur dalam diri. Secara tidak langsung amalan puasa akan menyuburkan sikap murni di dalam diri pelakunya. Adalah menjadi harapan kita agar kesemua nilai yang baik ini akan terus dipraktikkan ke bulan-bulan berikutnya.

Dalil Wajib Puasa Ramadhan
Firman Allah S.W.T: “ Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa. “ - (Surah Al-Baqarah: 183)

Hadis Rasulullah s.a.w: Ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w melalui sabdanya yang diriwayatkan oleh Ahmad, An- Nasa'i dan Al Baihaqi dari Abu Hurairah, yang bermaksud:
|" Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadhan bulan yang penuh berkat. Allah telah fardhukan ke atas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadhan itu dibuka segala pintu Syurga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan......."

Niat Puasa Ramadhan
Tidak wajib dan tidak juga sunat berniat dalam bahasa Arab, memadai dalam bahasa Melayu atau apa-apa bahasa yang kita fahami. Tetapi baik dan berpahala jika diamalkan dalam bahasa Arab dengan niat kita cinta kepada bahasa Arab sebagai bahasa Nabi Muhammad s.a.w. dan bahasa Al-Quran.

Lafaz niat

Lafaz setiap malam. Niat ringkas:

 نَوَيْتُ صَوْمَ رَمَضَانَ لِلَّهِ تَعَالَى

Niatnya: Sahaja aku puasa Ramadhan kerana Allah Taala.

atau

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ لِلَّهِ تَعَالَى 
Niatnya: Sahaja aku puasa esok kerana Allah Taala.

Lafaz Niat Yang Lengkap:

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ أَدَاءِ فَرْضِ رَمَضَانَ هَذِهِ السَّنَةِ لِلَّهِ تَعَالَى
Niatnya: Sahaja aku puasa esok hari bagi menunaikan puasa Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala.
  • Sebenarnya bangun untuk bersahur itu sudah dikira berniat untuk berpuasa, malah ada niat atau cita-cita di dalam hati untuk bangun sahur itu juga dikira sudah berniat untuk berpuasa kerana seseorang itu tidak bangun sahur atau bercita-cita bangun sahur melainkan bertujuan untuk berpuasa esok harinya, melainkan jika dia memang berniat tidak mahu berpuasa jika tidak terjaga semasa waktu sahur.
Menurut mazhab Syafie, Hanafi dan Hambali bagi puasa Ramadhan itu wajib diniatkan pada setiap malam sepanjang bulan tersebut, waktunya mulai terbenam mata hari hinggalah sebelum terbir fajar pada malam-malam tersebut. Manakala mazhab Maliki pula menyatakan bagi puasa Ramadhan itu memadai diniatkan sekala sahaja iaitu pada malam pertama dengan meniatkan sebulan penuh.[1]
Lafaz niat puasa Ramadhan sepenuhnya untuk sebulan:

Lafaznya:
 
نَوَيْتُ صَوْمَ شَهْرِ رَمَضَانَ كِلِّهِ لِلَّهِ تَعَالَى
Niatnya: Sahaja aku berpuasa sebulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala.
  • Digalakkan berniat puasa untuk sebulan dengan sekali niat pada malam pertama Ramadhan bagi mengelakkan daripada tidak sah puasa kerana terlupa berniat pada malamnya, kita mengikut Imam Malik yang membolehkan berniat untuk sebulan sekali gus.
  • Namun begitu, jika puasa Ramadhan kita terputus oleh sesuatu sebab, seperti haidh, sakit atau lain-lain, maka niat puasa sebulan itu tidak lagi memadai untuk hari-hari puasa yang seterusnya, tetapi, hendaklah diperbaharui niat apabila tidak ada lagi perkara yang menghalang daripada puasa berturut-turut tersebut. Maksudnya, dengan memperbaharui niat sekali lagi bagi semua hari-hari puasa Ramadhan yang berbaki, iaitu lafaz niatnya:
نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ وَ إِلَى ءَاخِرِ رَمَضَانَ لِلَّهِ تَعَالَى
Niatnya: Sahaja aku berpuasa esok dan sehingga akhir Ramadhan ini kerana Allah Ta’ala.

Waktu berniat
Waktu berniat bermula daripada terbenam matahari, yakni masuk waktu sembahyang fardhu Maghrib hinggalah sebelum terbit fajar shadiq (waktu Subuh). Oleh itu, bolehlah dilakukan niat puasa pada mana-mana bahagian daripada waktu tersebut, walaupun semasa berbuka.

Kelebihan Bulan Ramadan
Bulan Ramadan adalah bulan yang penuh dengan keberkatan. Di dalam bulan Ramadhan ada satu malam yang lebih baik dariapada seribu bulan iaitu Lailatul Qadar atau Malam al-Qadar. Lailatul Qadar atau Malam Qadar ialah satu malam dalam bulan Ramadhan yang lebih baik daripada 1,000 bulan. Sesiapa yang beramal pada malam tersebut sama seperti beramal selama 1,000 bulan, iaitu bersamaan 83 tahun 4 bulan, jika mendapatnya selama 10 tahun bersamaan beribadat lebih 833 tahun, jika mendapatnya selama 20 tahun bersamaan lebih 1,666 tahun, jika mendapatnya selama 30 tahun mendapatnya bersamaan 2,500 tahun. Maka berbahagialah orang yang tidak pernah meninggalkan Solat Isyak berjamaah dan Solat Sunat Tarawih kerana orang yang solat Isyak berjamaah dan solat Tarawih termasuk dari kalangan orang mendapat Lailatul Qadar.

Rasullah mengatakan sesiapa yang tidak mendapatnya dia adalah tergolong daripada orang yang amat rugi. Lailatul Qadar satu malam dalam bulan Ramadan yang tidak diketahui dengan tepat tarikhnya. Ia lebih diharapkan untuk mendapatkannya pada 10 malam yang terakhir Ramadan, terutama malam-malam yang ganjil daripada 10 hari terakhir Ramadan tersebut. Waktunya dikira apabila masuk waktu Maghrib sehingga terbit fajar. Pada malam itu al-Quran diturunkan, malam Qadar berlaku pada 17 Ramadan, sementara menurut al-Mubarakfury al-Quran turun pada malam 21 Ramadan.

Orang yang pasti mendapat sebahagian Lailatul Qadar ialah orang yang solat Fardhu Maghrib dan Isyak secara berjamaah sepanjang bulan Ramadan, dan dia tidur dengan azam yang kuat untuk solat Subuh berjemaah. Sabda Rasulullah “Sesiapa yang solat Isyak berjemaah, maka seolah-olah dia telah berqiyamulail separuh malam; Dan sesiapa yang solat Subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah bersolat sepanjang malam.” (Hadis Sahih Riwayat Imam Tarmizi, Ibnu Majah dan Nasai)
Sabda Rasulullah : "Allah berfirman; "Sesungguhnya dia (hamba) meninggalkan makan dan minum serta syahwatnya kerana-Ku. Puasa (yang dikerjakan) kerana-Ku. Puasa adalah untuk-Ku. Sedangkan, Aku memberi balasan setiap kebaikan itu dengan sepuluh kali ganda sehingga 700 kali ganda kecuali ibadah puasa. Ini kerana, ia (puasa) adalah untuk-Ku, dan (sudah tentu) Aku sendiri yang akan memberi balasannya."
(Hadis diriwayatkan oleh Imam Malik dalam Al-Muwattha, Kitab al-Syiyam. No:603)

Kerugian meninggalkan puasa Ramadan
Pahala puasa Ramadhan amat besar. Orang yang meninggalkan puasa dengan sengaja, bukan sahaja telah melakukan satu dosa besar, bahkan dia mengalami satu kerugian yang amat besar, satu hari puasa yang ditinggalkan tersebut tidak boleh ditebus dengan apa jua cara, tidak boleh ditukar ganti, sekalipun orang yang meninggalkannya berpuasa seumur hidupnya. Ini jelas sebagaimana sabda Nabi Muhammad bermaksud:
“Sesiapa berbuka satu hari pada bulan Ramadan tanpa ada rukhshah (uzur syarak) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat menggantikan puasa yang ditinggalkannya itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup.” (Hadis riwayat Tirmidzi, Abu Daud, Nasa’i, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah).
Abu Umamah ra berkata; "Aku bertanya kepada Rasulullah : "Ya Rasulullah, tunjukkan daku suatu amalan yang membolehkan daku memasuki syurga dengan cara itu. Lalu Rasulullah bersabda: "Kamu hendaklah berpuasa kerana sesungguhnya tiada satu cara pun yang mampu menandinginya."
(Hadis diriwayatkan oleh Ibn Hibban. No:3494)

Hukum puasa

Puasa Wajib
  1. Puasa di bulan Ramadhan merupakan salah satu daripada Rukun Islam. Syariat puasa Ramadhan difardhukan kepada umat Muhammad s.a.w. pada tahun ke-2 Hijrah. Makanya, wajiblah ia dilakukan oleh semua orang Islam.
  2. Puasa Kifarah.
  3. Puasa qadha
  4. Puasa Nazar.
Puasa Sunat
Hari-hari berikut disunatkan berpuasa bagi umat Islam:
  1. Puasa enam hari pada bulan Syawal
  2. Puasa pada Hari Arafah pada 9 Zulhijjah, namun menurut Ahli Sunah Waljamaah (Sunni), berpuasa pada 9 Zulhijjah adalah haram bagi orang yang menunaikan ibadah Haji. Berpuasa pada 9 Zulhijjah juga adalah dilarang dalam Mazhab Syiah.
  3. Puasa pada hari tasu'a 9 muharam danHari Asyura pada 10 Muharam
  4. Puasa pada Hari Isnin dan Khamis
  5. Puasa pada 13, 14, 15 haribulan pada setiap bulan Islam Hijrah. Pada tarikh-tarikh tersebut bulan akan berada dalam keadaan amat jelas kelihatan serta purnama penuh. Juga dikenali sebagai Puasa Hari Putih.
Puasa Haram
  1. Puasa pada Hari Syak pada hari 30 Syaaban
  2. Puasa pada Hari Raya Aidil Fitri pada 1 Syawal
  3. Puasa pada Hari Raya Aidil Adha pada 10 Zulhijjah
  4. Puasa pada Hari Tashriq pada 11, 12, 13 Zulhijjah
  5. Puasa perempuan haid & Nifas
  6. Puasa pada Hari Arafah yakni pada 9 Zulhijjah, larangan berpuasa menurut Mazhab Syiah, tetapi berpuasa pada hari tersebut adalah sunat bagi Muslim yang mengikuti Mazhab Ahli Sunah Waljamaah, namun menurut pandangan Ahli Sunah Waljamaah juga, haram berpuasa pada hari tersebut bagi orang yang menunaikan Haji di Arafah.
  7. Puasa sunat seorang perempuan tanpa izin suaminya sedangkan suaminya berada di rumah
  8. Puasa bagi orang yang bimbang berlakunya mudharat ke atas dirinya kerana berpuasa
Syarat wajib puasa
Orang-orang Islam yang memenuhi syarat-syarat di bawah ini diwajibkan berpuasa pada bulan Ramadhan:
  • Berakal/waras
  • Baligh (cukup umur)
  • Mampu/tidak uzur.
Syarat sah puasa
Manakala syarat puasa itu diterima di dalam Islam (sah) ialah:
  • Orang Islam
  • Berakal - tidak sah jika gila atau kanak-kanak belum mumayyiz
  • Suci daripada haid dan nifas
  • Dalam waktu yang dibolehkan berpuasa, iaitu bukan dalam tempoh haram puasa.
Rukun puasa
Rukun puasa ada dua, iaitu:
  • Berniat pada malam harinya
  • Menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa mulai terbit fajar hingga terbenam matahari.
Sunat puasa
Perkara-perkara berikut disunatkan ketika berpuasa:
  • Makan sahur serta melambatkannya
  • Menyegerakan berbuka dan sunat berbuka dengan buah kurma atau benda-benda yang manis atau air
  • Menjamu orang-orang berbuka puasa
  • Solat Tarawih pada malam harinya
  • Memperbanyakkan ibadah dan berbuat kebaikan
  • Berungguh-sungguh dan tekun berjaga malam pada 10 malam terakhir Ramadhan untuk mendapatkan malam al-Qadar atau Lailatul Qadar.
Perkara yang membatalkan puasa
Manakala perkara-perkara berikut akan membatalkan puasa jika terjadi:
  • Makan dan minum dengan sengaja walaupun pada nilaian dan kadaran yang sedikit pun,seperti memakan saki baki makanan kecil yang terlekat pada celah gigi dan lain-lain lagi.
  • Muntah dengan sengaja
  • Bersetubuh
  • Mengeluarkan air mani dengan sengaja
  • Keluar darah haid atau nifas
  • Hilang akal (seperti gila)
  • Pitam(termasuk pengsan) atau mabuk sepanjang hari.
  • Merokok disiang hari.(Termasuk menghisap ganja atau dadah)
  • Murtad (keluar dari Islam)
  • Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka seperti menyembur pewangi atau menyegar mulut dan sebagainya.Larangan ini tidak termasuk memasukkan air atau udara kedalam rongga terbuka kerana ingin berwuduk atau melegakan kesakitan dan ketidakselesaan pada rongga(dengan syarat air tersebut tidak diminum atau ditelan dengan sengaja).
Mereka yang diizinkan berbuka puasa sebelum waktunya
Terdapat kelonggaran (harus) kepada golongan yang berikut untuk berbuka:
  • Orang yang sakit .
  • Orang yang berkerja buruh.
  • Orang yang dalam perjalanan lebih dari 2 marhalah (musafir).
  • Orang tua yang sudah lemah.
  • Orang yang hamil dan ibu yang menyusukan anak.
Doa buka puasa

اللهم لك صمت وبك امنت وعلى رزقك أفطرت
 
Ya Allah, Aku telah berpuasa untuk Kau dan pada Kaulah aku mempercayai dan aku membuka puasa dengan apa yang Kau berikan

Tingkatan Puasa
Imam Abu Hamid al-Ghazali dalam bukunya Ihya al-'Ulumuddin telah membahagikan puasa itu kepada 3 tingkatan:
  1. Puasanya orang awam (shaum al-'umum): menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti makan dan minum.
  2. Puasanya orang khusus (shaum al-khusus): turut berpuasa dari panca indera dan seluruh badan dari segala bentuk dosa.
  3. Puasanya orang istimewa, super khusus (shaum al-khawasi al-khawas): turut berpuasa 'hati nurani', iaitu tidak memikirkan sangat soal keduniaan
Pembahagian di atas memberikan umat Islam ruang untuk berfikir dan menelaah tingkat manakah mereka berada.