skip to main |
skip to sidebar
Kurang Tidur Mudaratkan Kesihatan
KUALA LUMPUR: Tidur yang lena pada sebelah malam membantu memperbaharui
proses fizikal dan mental tetapi ramai pula yang mengalami masalah
tidur.
Kekurangan tidur berpunca kerana pelbagai masalah termasuk insomnia,
'sleep apnea', 'narcolepsy' dan satu lagi masalah yang kurang diberi
perhatian, tetapi lebih lazim, Gangguan Ritma Sirkadian/Ritma Harian
(CR).
Bertindak sebagai jam biologi tubuh manusia CR mengawal pelbagai proses fisologi mengikut kitaran 24 jam.
CR dikawal oleh nukleus suprachiasmatic (SCN), satu sistem kawalan yang
terletak di bahagian hipothalamus otak dan menjana ritma 24-jam bagi
kesemua tisu tubuh berdasarkan kepada input persekitaran, khasnya
cahaya.
Sistem tubuh yang berjalan mengikut CR adalah kitaran tidur-bangun,
sistem kawalan suhu dan tekananan darah, serta sistem endokrin.
"Apabila jam biologi ini terganggu, ia menyebabkan Gangguan CR yang
mencetuskan kesan buruk kepada kesihatan," kata Profesor Dr Azhar Md
Zain semasa bercakap mengenai rawatan moden untuk menguruskan dengan
lebih baik Gangguan CR.
Jadi kekurangan tidur serta simptom lain yang mengiringinya seperti
kekurangan selera, suhu badan yang turun naik, lesu dan perubahan mood
dengan mendadak, mungkin berpunca kerana Gangguan CR.
Perunding Psikiatri di Jabatan Psikiatri, Fakulti Perubatan dan Sains
Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM) ini menjelaskan bahawa
kitaran tidur-bangun yang terjejas kerana Gangguan CR adalah antara
punca utama kemurungan.
"Oleh itu terdapat keperluan untuk meningkatkan kesedaran umum akan
potensi kesan buruk gangguan CR," katanya sambil menambah kata bahaya
yang disebabkan oleh Gangguan CR lazimnya di pandang ringan.
Terdapat pelbagai faktor yang menyumbangkan kepada Gangguan CR, termasuk makanan dan tabiat.
Contohnya, mereka yang selalu bersarapan pagi dengan nasi lemak tidak
dapat tidur selepas makan nasi lemak pada malam kerana jam biologi CR
melalui penyelarasan semula bagi menyesuaikan operasinya seperti pada
waktu pagi.
Tempoh tidur biasa bagi mereka yang sihat adalah dari lima hingga lapan jam bergantung pada usia.
Kekurangan tidur membawa kepada kelesuan fizikal dan mental, kurangnya
tumpuan, perubahan mendadak dalam mood dan dalam jangka panjang boleh
menyebabkan kemurungan.
Prof Dr Mohamad Hussain Habil, dari Jabatan Perubatan Psikologi
University Malaya menunjukkan CR seseorang boleh mengalami gangguan
apabila menjalani aktiviti tertentu pada waktu yang kurang sesuai.
"Golongan muda terutama mereka yang berusia antara 25 dan 35 tahun
lebih suka bersenam selepas 7 malam. Ini kerana waktu itu lebih sesuai
bagi mereka pergi ke gimnasium selepas kerja, tetapi ini tidak baik
bagi tubuh. Ia adalah faktor penyumbang kepada gangguan tidur,"
katanya.
Natijahnya, CR yang mengalami gangguan menyelaraskan semula sistem lazim.
Adakah terdapat rawatan bagi gangguan CR? Sebenarnya masalah ini masih
tidak diketahui ramai dan mereka yang mengetahuinya pun tidak mahu
menjalani rawatan.
"Lebih ramai golongan muda mengalami gangguan CR sekarang ini, mereka
dalam lingkungan usia 30-an boleh menerima ubat-ubatan dengan lebih
baik dan lebih mudah pulih," kata Dr Mohamad.
Memahami kesan daripada Gangguan CR adalah penting kerana ia akan
meningkatkan peluang untuk melanjutkan rawatan kepada bilangan pesakit
yang lebih ramai.
"Kesan sampingannya adalah rendah dan oleh itu para pesakit harus
mengambil ubat-ubatan antidepresan dengan penuh disiplin. Antidepresan
tidak menyebabkan ketagihan.
"Sebenarnya, ubat-ubatan yang lebih berkesan dan selamat sentiasa
diteroka untuk merawat dengan lebih baik mereka yang mengalami gangguan
ini," tambah Dr Azhar.
Kedua-dua pakar perubatan ini mengingatkan mereka yang mencari rawatan
alternatif bahawa perubatan herba atau tradisional juga tidak bebas
daripada kesan sampingan.
Satu anti-kemurungan baru, Agomelatine, yang diperkenalkan setahun lalu
lazimnya disyorkan memandangkan ia boleh diambil bersama ubat lain dan
mempunyai kesan kardio-toksik minimum.
Anti-kemurungan itu menala semula CR apabila diambil pada waktu malam
dan membolehkan tidur yang lena dan bangun lebih segar pada keesokannya
bagi produktiviti optimum.- BERNAMA "
sumber : http://www.bharian.com.my/
2011/11/08
No comments:
Post a Comment