Thursday, May 27, 2010

Makluman buat adik-adikku.....

Temu Duga Semasa Dalam Latihan

Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) akan mengadakan temu duga semasa dalam latihan kepada pelajar KPLI j-QAF Januari 2009 seperti ketetapan berikut:

KPLI j-QAF Ambilan Januari 2009

Tarikh : 29 Jun - 9 Julai 2010
Masa : 8.00 pagi - 2.00 petang
Tempat : Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran
Aras 3, Blok B3,
Kompleks Jabatan Perdana Menteri,
62526 Putrajaya.
Pelajar diingatkan untuk membawa dokumen asal seperti berikut semasa menghadiri temu duga:
  • Kad Pengenalan
  • Sijil Lahir
  • Sijil Kepujian Bahasa Melayu SPM/STPM/Kertas Julai
  • Surat Tawaran Kursus Perguruan
  • Sekeping Gambar Terkini
  • Sijil-sijil akademik (SPM, Diploma, Ijazah, dan lain-lain)
  • Jika sijil luar negara selain Bahasa Inggeris mesti diterjemah oleh pihak yang berkuasa.
  • Lain-lain dokumen yang berkaitan
sumber : http://www.ipik.edu.my/portal2/

Pemimpin anti-Islam guna 30 bas New York papar iklan sasar Muslim



NEW YORK: Seorang aktivis Amerika Syarikat yang mengetuai pertubuhan 'Stop Islamization of America' (Henti Islamkan Amerika) melancarkan kempen menggalakkan orang Islam supaya murtad dengan meletakkan iklan di 30 buah bas setiap bulan di Kota New York, menyuruh sesiapa yang berminat menghubungi sebuah laman web tajaannya.

Pamela Geller mendakwa, laman web itu, RefugefromIslam.com memberi penerangan kepada mereka yang mahu keluar dari agama Islam serta menyifatkan langkahnya sejajar dengan kebebasan beragama meskipun beliau dituduh sebenarnya menyembunyikan agenda anti-Muslim.

Iklan itu mula dilihat pada bas pada 14 Mei lalu, menggunakan soalan berbunyi ‘Leaving Islam’ (Mahu keluar daripada Islam?), ‘Fatwa on your head?’ (Anda diancam fatwa?) dan ‘Is your family threatening you?’ (Adakah keluarga mengancam anda?).

Geller berkata, iklan pada bas itu berharga AS$8,000 (RM26,400) dan turut disumbangkan pembaca blognya selain laman web lain termasuk Atlas Shrugs.
Ada juga iklan berkenaan dilihat pada bas di Miami. Geller juga mengakui, beliau merancang meletakkan iklan sama di bandar lain.

“Iklan itu tidak mencetuskan kemarahan orang Islam, ia sejajar dengan kebebasan beragama. Iklan itu tidak menyasarkan orang Islam yang mengikut ajaran agama mereka. Iklan itu tidak berkata ‘keluar’ tetapi ‘mahu keluar’ dengan simbol tanda tanya,” katanya.
Pegawai Pihak Berkuasa Pengangkutan Metropolitan (MTA) berkata, iklan Geller itu sudah dikaji dan tidak melanggar garis panduan MTA dan belum ada aduan diterima mengenai iklan pada bas berkenaan.

Semua iklan diperiksa terlebih dulu, kebanyakannya oleh syarikat yang mengendalikan permohonan iklan MTA tetapi ada yang dihantar kepada MTA untuk kelulusan muktamad, kata jurucakap agensi itu, Aaron Donovan.

Bulan lalu, syarikat pengangkutan Miami-Dade Transit menarik iklan itu daripada 10 bas kerana memutuskan ia mungkin mencetuskan kemarahan orang Islam, lapor akhbar The Miami Herald.

Tetapi, agensi berkenaan membuat keputusan membenarkannya diguna semula selepas mengkaji iklan itu bersama pejabat Peguam Negeri.

Anggota Majlis Perbandaran beragama Islam, Robert Jackson, mempertikai kriteria MTA membenarkan iklan itu serta tidak bersetuju dengan isi kandungannya khususnya Amerika adalah negara yang menyokong kebebasan beragama.

“Ini adalah kempen pelampau berhaluan kanan yang menentang agama Islam. Warga New York memahami perkara ini,” katanya.

Wakil Majlis Hubungan Amerika-Islam di sini, Faiza Ali, berkata iklan itu menggunakan alasan palsu bahawa seseorang itu dipaksa kekal dalam Islam sedangkan orang Islam percaya pihak yang dipaksa memeluk kepercayaan tertentu bukan penganut sebenar.

“Geller bebas berkata apa yang dia suka tetapi anggota masyarakat lain juga bebas mengkritik motif beliau. Geller sudah lama bersikap anti-Muslim dan iklan itu menyembunyikan latar belakang berkenaan,” katanya lagi. – AP

Saturday, May 15, 2010

Selamat Hari Guru 2010


"Jika hari ini, seorang Perdana Menteri, seorang Presiden, seorang Raja yang berjiwa rakyat, Jika hari ini, seorang peguam petah berbicara, seorang jurutera binaannya tegar, seorang arkitek lakarannya diterima, Jika hari ini, seorang saintis menemui formula, seorang doktor pembedahannya berjaya, seorang pengurus dikasihi pekerjanya, Jika hari ini, seorang penulis karyanya terkemuka, seorang hartawan mendermakan harta, seorang pensyarah menjana cendekia, seorang graduan visinya ketara, Jika hari ini, seorang ulama' telus tarbiyahnya, seorang ahli sukan bergelar juara dunia, seorang menjadi dewasa, semua orang sejahtera dan bahagia." 

Selamat Hari Guru buat semua insan yang bergelar guru,cikgu,ustaz dan ustazah serta muallim yang dihormati.Tahun ini merupakan  tahun yang cukup bermakna bagi saya sebagai seorang guru.Indah dan Nikmatnya menjadi seorang guru tidak terluah oleh kata-kata.Ianya menusuk jauh ke dalam hati dan menyerapi saraf-sarafku dan merangsang mindaku untuk berbangga menjadi seorang guru.

Keikhlasan seorang guru bukan terletak hanya pada kebaikannya dalam melayani anak-anak muridnya tetapi  kemampuannya membimbing dan mentarbiyyah anak didiknya sehingga menjadi insan yang berguna dan bertaqwa kepada bangsa,agama dan negara.

Sesungguhnya dikesempatan ini ingin saya lontarkan rasa ta'azim dan bangga saya kerana mempunyai guru-guru yang berjaya mendidik saya menjadi orang yang berjaya dan mengulanginya pula dalam kehidupan seharian saya.Saya cukup berbangga mempunyai para pensyarah yang mengajar kami erti ketabahan dan kesabaran dalam mendidik serta kami juga berbangga mempunyai keluarga yang cemerlang dalam mendorong ke arah kejayaan.Mereka ini semua guru-guru yang cemerlang.Terima Kasih Cikgu.

Sebelum terlupa...Saya juga mempunyai 2 orang guru yang paling saya hormati.Sayangnya salah seorang dari guru saya ini telah pergi meninggalkan saya.Dialah yang mengajar saya Alif,Ba,Ta.Mengenalkan saya dengan cabaran dunia realiti.Al-Fatihah buat Allahyarhamah Wan Hasnah Bt Wan Abdullah bondaku.Semoga Allah mencucuri rohnya dialam sana.Amin Ya Rabbal A'lamin.Manakala Othman bin Saleh merupakan insan yang kedua mengajarku perit jerih kehidupan dan mengajarku tentang kepentingan berilmu.Terima Kasih Abah.Curahan ilmu ajaran kalian berdua akan daku curahkan kepada anak bangsa kita yang dahagakan ilmu.

Anak ini rindukan ilmu
Dimanakah dapat ku cari
Menyelusuri denai kelam
Menerokai cyber gemilang
Namun...Tiada dapat kucarinya

Alpakah aku...
Lalaikah aku...
Entahlah..Sukar ku mengertikan
Ilmu itu sulit kutemui

Kini..aku mempunyai permata
ilmu itu ada untuk kucurahkan kepadanya
ilmu itu ada darinya
ilmu itu tidak sulit lagi
Anak itulah guruku
Tangisnya,Tawanya,
ilmu yang berguna.

Selamat Hari Guru Untuk semua warga pendidik.Semoga usaha murnimu mendidik menjadi jambatan ke syurga.

Terima Kasih Guruku.

Tuesday, May 11, 2010

Ilmu untuk dikongsi bersama


Ustaz Zawawi bercerita tentang sunnah Rasulullah s.a.w. Antaranya tentang bab memberi salam. Baginda memberi salam dengan lafaz "assalamualaikum" dan menjawab salam dari para sahabat dengan salam yang penuh "waalaikumussalam warahmatulallahhi wabarakatuh"

Beri salam - assalamualaikum...
Jawab salam - "waalaikumussalam warahmatulallah hi wabarakatuh"

Apabila kira berkirim salam pada org lain, hendaklah kita berkata "Kirim salam assalamualaikum pada ZIZAH ye" contoh lerr... Bukannya : "Kirim salam kat ZIZAH ye"

Dan bukannya " Kirim salam maut" statement ini adalah berdosa, walaupun sekadar gurauan!

Semoga ada manfaat.

"Akum = Avde Kokhavim U Mazzalot"
Maksud singkatan " A'kum"

Untuk renungan bersama :

Janganlah kita menggantikan perkataan "Assalamualaikum" dengan "A'kum" dalam sms atau apa sekalipu melalui tulisan. Jika perkataan Assalamualaikum itu panjang, maka hendaklah kita ganti dengan perkataan
"As Salam" iaitu sama makna dengan Assalamualaikum.

Sesama lah kita memberitahu member-member yang selalu sangat guna shortform A'kum dalam sms ataupun email. Perkataan 'AKUM' adalah gelaran untuk orang-orang Yahudi untuk orang-orang bukan yahudi yang bermaksud 'BINATANG' dalam Bahasa Ibrani.

Ia singkatan daripada perkataan 'Avde Kokhavim U Mazzalot' yang bermaksud 'HAMBA-HAMBA BINATANG DAN ORANG-ORANG SESAT'.

Mulai sekarang jika ada orang hantar shortform "A'kum", kita ingatkan dia guna "As Salam" kerana salam ialah dari perkataan Assalamualaikum.

Semoga ada manfaatnya.

sumber : http://j-qafsksr.blogspot.com/ 

Kerajaan sedia timbang kenaikan gaji guru

SIBU 10 Mei - Isu kenaikan gaji dan elaun guru yang menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan kakitangan profesion itu akan diperhalusi sebelum ia dilanjutkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau mengakui skim kakitangan guru sedia ada perlu mengalami penambahbaikan tetapi perkara itu perlu penelitian terperinci sebelum dimuktamadkan untuk kebaikan 380,000 orang guru di seluruh negara.

Selain itu, beliau yang juga Menteri Pelajaran turut berkata, beberapa skim baru membabitkan elaun guru dan kenaikan pangkat yang lebih komprehensif akan diumumkan pada Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ahad ini.
"Pada sambutan Hari Guru, saya akan menyampaikan beberapa perkara penting untuk hala tuju pendidikan dan profesion perguruan masa depan," katanya pada sesi dialog di Majlis Perjumpaan Guru-Guru Bersama Timbalan Perdana Menteri di Dewan Centenary Sekolah Menengah Sacred Heart di sini hari ini.

Skim itu dijangka memberi manfaat kepada pengetua dan guru besar serta guru daripada segi kenaikan pangkat, elaun dan manfaat lain, jelas beliau.Turut disentuh ialah menambah baik skim bagi guru yang mengajar di pedalaman yang kini menerima elaun kesusahan RM1,500 sebulan disebabkan kos pengangkutan yang tinggi, katanya.

Muhyiddin berkata, satu kajian perlu dilakukan berhubung keperluan guru di pinggir bandar kerana ia juga harus mengambil kira pembangunan infrastruktur 10,000 sekolah di seluruh negara termasuk 1,500 buah di Sarawak.

Mengenai pengambilan ke maktab perguruan, beliau berkata, kerajaan mungkin menimbang untuk mengambil penduduk tempatan di kawasan-kawasan yang amat memerlukan tenaga guru di Sarawak dan Sabah bagi mengurangkan masalah penempatan guru dan kos pengangkutan.

Sambil mengingatkan semua guru supaya berkhidmat dengan penuh dedikasi, Muhyiddin berkata, kementerian tidak mengamalkan diskriminasi dalam penempatan guru berkelayakan dan berkemahiran di Sarawak, Sabah atau di Semenanjung Malaysia.

Beliau berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) amat mementingkan pendidikan dan meletakkan ia perkara paling atas dalam pembangunan negara.Malah katanya, lebih 25 peratus belanjawan negara diperuntukkan untuk pembangunan pendidikan supaya dapat melahirkan modal insan yang berkeupayaan dan berkemahiran tinggi.


Utusan Malaysia Online: 11 Mei 2010

Monday, May 10, 2010

Logo Hari Guru


Warna-warna yang terdapat pada logo Hari Guru:

PUTIH
Melambangkan kesucian, kesabaran, kesempurnaan dan keamanan.

PERAK
Melambangkan rakyat berbilang bangsa yang bersatu padu dan teguh.

KUNING
Sinaran cahaya yang cemerlang pada masa hadapan. Bulan dan bintang membawa erti terkandung dalam bendera Malaysia.

MERAH
Melambangkan keteguhan semangat.

BIRU
Melambangkan perpaduan dan muhibah.

Biarlah kehadiran anda dirasai!


Oleh WAHID HASHIM
HARI guru pada tahun ini disambut dalam suasana yang cukup berhemah. Sambutan besar-besaran di peringkat sekolah mungkin tidak perlu - tetapi ia tetap perlu diadakan juga. Masih ada murid yang mahu meraikan dan menghargai jasa anda. Sekurang-kurangnya anda perlu membuat sesuatu supaya kewujudan dan kerja anda dirasai.

Al-Mukadimah, banyak cabaran yang menanti guru bagi yang mengikuti perkembangan pendidikan semasa. Harapan yang diletakkan di bahu guru bukan sahaja daripada kelompok pelanggan iaitu ibu bapa, tetapi juga pembuat dasar, iaitu kerajaan.

Bagi yang telah memenuhi tuntutan Bai'ah, anda bolehlah tersenyum pada Hari Guru ini.Maka, pada Hari Guru tahun ini, apa sahaja pengumuman - sama ada ia tokok tambah kepada gaji atau imbuhan lain - maka ia perlu disusuli dengan rasa insaf bahawa tanggungjawab mendatang bukan kepalang beratnya. Guru di bandar, pedalaman, di kampung atau di sektor-sektor khas lain perlulah dapat merasai bahawa Hari Guru 2010 ialah titik tolak kepada perubahan yang bakal mereka galas.

Perlu juga dibangkitkan di sini, kepada lebih 100 guru pedalaman yang telah diberi tunjuk sebab kerana ponteng dan pelbagai masalah lain, anda fikirlah sendiri. Jawablah surat tersebut kalau masih berstamina menjadi guru.

Yang mereka perlu sedar juga ialah tindak tanduk dan output kerja mereka kini diperhatikan secara kuantitatif dan kualitatif. Hal ini senang sahaja dilaksanakan kerana di bawah Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) pendidikan yang menjadi dasar Program Transformasi Kerajaan (GTP), maka KPI keberhasilan dan KPI tindakan akan menjadi petunjuk kepada pencapaian kuantitatif dan kualitatif masing-masing.

Rakyatlah yang memerhatikan KPI kita kelak. Sedarlah wahai guru, bahawa ibu bapa pada hari ini sudah pintar dan malah ada yang cukup arif tentang makna dan rubrik penilaian KPI. Mungkin selepas ini laporan kertas kerja berkajang-kajang kepada ketua jabatan terhadap apa yang kita buat tidak penting lagi, tetapi produk yang akan menentukan cara dan hala tuju kita.

Jadi, berhenti daripada terus cuba bermain dengan sentimen simpati terhadap diri sendiri, sebaliknya bekerja keraslah di bawah bidang tugasan di mana kita diletakkan. Kalau kita benar-benar mengakui apa yang kita lakukan demi the national duty, maka nawaitu kita selepas ini akan dipamerkan melalui keputusan atau output kerja masing-masing.

Kita bukanlah hebat sangat sehingga boleh diletakkan sebagai yang terbaik di dunia. Malah di peringkat Asia pun bukan. Indeks pencapaian pendidikan kita secara umumnya pun makin merosot (lihat laporan TIMMS dua tiga tahun kebelakangan ini) berbanding negara kecil Singapura dan Hong Kong. Nampaknya, semakin banyak dasar baru yang diperkenalkan, kesannya ialah antagonis. Apa sudah berlaku dan di mana ketirisan berlaku? Tepuk dada, tanyalah selera.


Dunia mungkin telah berubah, dan kita juga sebenarnya mesti berubah.Pelbagai mekanisme dan enjin diperkenalkan dalam sistem kita. Kita ialah pengamal carrot and stick yang handal. Terlalu banyak carrot menyebabkan kita karat.Pelbagai usaha dilakukan. Paling terbaru, Kementerian Pelajaran Malaysia mahu membantu sekolah dengan memperkenalkan apa yang disifatkan sebagai Program Peningkatan Prestasi Sekolah (PPPS). Program ini begitu cantik tetapi sejauh mana ia akan tercapai terletak di tangan guru. Satu hal lagi ialah sejauh mana guru mahu membuka pintu dan pemikirannya terhadap perubahan yang hendak dibawa oleh PPPS.

Sekolah akan menerima lagi pelbagai bentuk sokongan dan bantuan di bawah PPPS. Program berbentuk bottom-up ini akan berfokus terus ke sekolah, dengan menolak terus konsep one size fits all.Begitu juga terdapat cadangan supaya guru diberikan sijil profesional. Lesen ini perlu diperbaharui melalui pemantauan dan program tertentu yang mereka perlu ikuti dari semasa ke semasa.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 usaha besar-besaran akan dilakukan untuk mensiswazahkan hampir 100,000 guru yang masih belum memegang ijazah. Jumlah itu besar berbanding jumlah guru pada hari ini yang berjumlah 4000,000 orang.

Bagi pihak Utusan Malaysia, kami mengucapkan selamat Hari Guru 2010, semoga kita semua berada dalam sihat sejahtera dan mendapat keberkatan Allah dalam setiap tindak tanduk kita. Sebagai penganjur bersama festival Hari Guru, Utusan Malaysia menjemput semua guru dari seluruh negara ke Festival Hari Guru di East Coast Mall Kuantan bermula 13 hingga 16 Mei. Banyak ilmu menanti anda.

Kira raikan Hari Guru 2010

Utusan Malaysia Online: 10 Mei 2010

Tuesday, May 4, 2010

Kementerian Tapis Ketat Calon KPLI

Bagi permohonan Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI), syarat dan kelayakan asas serta syarat tambahan untuk menduduki Ujian Calon Guru Malaysia (MTest) dan temu duga adalah berpandukan kepada dasar serta keperluan Kementerian Pelajaran yang berbeza pada setiap tahun.

Untuk Ambilan Jun 2010, antara syarat dan kelayakan asas diperlukan ialah umur tidak melebihi 35 tahun pada 28 Jun 2010; memiliki ijazah sarjana muda yang diiktiraf kerajaan; memiliki kepujian Bahasa Melayu pada peringkat SPM/SPMV atau prinsipal Bahasa Melayu pada peringkat STPM dan lulus Bahasa Inggeris pada peringkat SPM/SPMV.

Selain itu, Bahagian Pendidikan Guru (BPG) juga menetapkan syarat tambahan seperti sihat fizikal dan mental; memiliki ijazah sarjana muda dengan PNGK 2.75 ke atas; memiliki ijazah yang bertepatan dengan bidang pengkhususan dipohon; memiliki pengalaman mengajar dan bersedia ditempatkan di mana-mana sekolah termasuk di kawasan pedalaman.

Sekiranya seseorang calon itu memenuhi syarat dan kelayakan asas serta syarat tambahan ditetapkan, peluang untuk seseorang calon dipanggil menduduki MTeST dan temu duga adalah lebih besar berbanding calon lain yang tidak menepati syarat dan kelayakan berkenaan.

Ujian MTeST yang diduduki bertujuan untuk melihat kesesuaian calon daripada aspek sahsiah keguruan mereka. Seseorang calon yang berpengalaman mengajar sepatutnya mampu untuk menjawab dan memperoleh tahap yang baik dalam ujian itu.

Pemilihan yang ketat adalah selaras dengan Teras Ke-5 Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) iaitu untuk memartabatkan profesion perguruan agar terus dihormati dan melahirkan guru berkualiti.

Dengan jumlah permohonan yang tinggi iaitu hampir 70,000 orang bagi program KPLI, kementerian tidak berkompromi dalam soal pemilihan seseorang calon guru. Pelbagai aspek diambil kira dengan matlamat untuk melahirkan guru berkualiti dan berwibawa pada masa depan.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran Malaysia
Berita Harian Online: 3 Mei 2010