Friday, November 6, 2009

Kelantan di ambang bah besar

KOTA BHARU: Hujan lebat berterusan sejak empat hari lalu menyebabkan hampir semua jajahan di negeri ini termasuk Tumpat, Pasir Mas, Jeli, Tanah Merah dan Kuala Krai, ditenggelami air sedalam kira-kira tiga meter.

Keadaan itu menyebabkan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diletakkan dalam keadaan bersiap sedia.

Tindakan itu diambil bagi membantu memindahkan mangsa banjir yang terperangkap untuk dibawa menaiki bot ke penempatan sementara selepas kediaman mereka ditenggelami banjir akibat limpahan air sungai.

Dianggarkan kira-kira 1,000 penduduk di dua perkampungan di Kampung Bunut Saih dan Kampung Pahi di Kuala Krai terputus hubungan selepas dua jambatan utama di tenggelami air sedalam tiga meter.

Tidak kurang pula ribuan kenderaan terkandas apabila air memenuhi jalan terutama di kawasan rendah sehingga memaksa mereka meredah banjir yang dalam untuk pulang ke rumah.

Jabatan Parit dan Saliran (JPS) negeri pula sudah membuka bilik gerakan banjir di ibu pejabatnya berikutan paras air di beberapa sungai utama di negeri ini melebihi paras amaran.

Peningkatan paras air itu membabitkan Sungai Galas di Dabong; Sungai Lebir di Tualang, Sungai Kelantan di Kuala Krai dan Kusial serta Sungai Golok menyaksikan peningkatan di Jenob dan Rantau Panjang.

Tinjauan Harian Metro terutama di Kampung Banggol Pantai Cahaya Bulan (PCB), semalam, mendapati kebanyakan kanak-kanak menghabiskan masa seharian bermain air banjir tanpa menghiraukan keselamatan.

Pemangku Pengarah JPS negeri, Wan Sulaiman Wan Ismail, berkata banjir gelombang pertama yang mula melanda Kelantan dikhuatiri mampu menjadi banjir besar sekiranya hujan lebat berterusan dengan kadar 30 hingga 100 milimeter (mm) selama tiga hari.

“Kelantan masih memiliki baki hujan kira-kira 300 mm dan jika hujan berterusan dengan kadar melebihi 30 mm hingga 100 mm dalam tempoh tiga hari tanpa henti, kita bimbang banjir besar akan berlaku.

“Peningkatan mendadak paras semua sungai di negeri ini disebabkan hujan berterusan sejak empat hari lalu di seluruh kawasan Hulu Kelantan, selain pesisir pantai memberi petunjuk musim tengkujuh mula melanda pantai timur,” katanya.

Katanya, JPS membuka bilik gerakan banjir yang beroperasi 24 jam bermula semalam dan akan menyalurkan maklumat paras sungai kepada Bilik Gerakan Banjir Negeri di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Kota Darulnaim.

“Kami menasihatkan penduduk di kawasan rendah supaya sentiasa berwaspada kerana selain hujan lebat, angin kencang turut melanda negeri ini yang menyumbang kepada peningkatan paras sungai utama,” katanya.



>1,738 mangsa dipindah

No comments:

Post a Comment