Pejam celik tidur bangun kita dah
pun berada di penghujung bulan Rejab .Di penghujung bulan ini telah
berlaku suatu peristiwa yang besar dan penuh bermakna bagi seluruh umat
Islam khususnya.
Peristiwa yang dimaksudkan ini ialah peristiwa Israk Mikraj yang berlaku
pada malam 27 Rejab tahun ke-11 daripada kerasulan Nabi Muhammad S.A.W
menurut jumhur ulama.
Terdapatnya sedikit khilaf dalam menentukan tarikh dan waktu sebenar
berlakunya peristiwa Israk Mikraj ini sebenarnya. Namun itu bukanlah
suatu perkara yang perlu dipanjangkan pedebatannya. Apa yang terlebih
penting adalah peristiwa ini benar-benar berlaku kepada Rasulullah
S.A.W. kerana ia ada dinyatakan oleh al-Quran al-Karim dan diceritakan
sendiri oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadisnya yang telah diriwayatkan
oleh para ulama secara sahih lagi mutawatir sehingga tidak boleh
dipertikaikan lagi.
Matlamat penting daripada peristiwa Israk Mikraj ini adalah pengajaran
yang besar apabila Rasulullah S.A.W. dijemput oleh Allah SWT menjadi
tetamuNya pada malam yang sangat bersejarah itu. Para ulama telah
mencapai kata sepakat bahawa sesiapa yang meragui atau langsung tidak
mempercayai peristiwa Israk Mikraj ini maka hukumnya adalah kafir.
Sungguhpun peristiwa luar biasa Israk Mikraj yang terjadi itu nampak
mustahil dapat dijangkau oleh alam pemikiran manusia namun selaku umat
Islam maka wajib percaya dan yakin bahawa Israk Mikraj yang ditempuhi
serta dialami oleh Nabi Muhammad S.A.W. adalah benar dan berlaku dengan
roh dan jasadnya sekali. Imam Nawawi menyatakan bahawa perkara sebenar
yang telah disepakati para ulama dan begitu juga para sahabat bahawa
Nabi Muhammad S.A.W telah diIsrak dan diMikrajkan oleh Allah Taala
dengan roh dan jasadnya sekali.
Israk dan Mikraj adalah dua peristiwa yang amat besar dan luar biasa
yang dialami oleh Nabi Muhammad S.A.W. dan dianggap sebagai satu
penganugerahan yang tinggi nilainya dari segi kerohanian. Kedua-dua
peristiwa itu adalah kurnia Allah Taala kepada baginda untuk
memperlihatkan tanda-tanda keagungan dan kekuasaanNya. Segala-galanya
boleh berlaku dengan kehendak dan kekuasaan Allah Taala selaku Pencipta
dan Pentadbir alam semesta.
PENGERTIAN ISRAK DAN MIKRAJ
Israk bererti perjalanan Nabi Muhammad S.A.W. dari Masjid al-Haram di
Mekah ke Masjid al-Aqsa di Bait al-Maqdis Palestin. Peristiwa ini ada
terakam di dalam Al-Quran.
Firman Allah Taala bermaksud:
Maha Suci Allah yang telah menperjalankan hambaNya (Muhammad) pada suatu
malam dari Masjid al-Haram (di Mekah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin)
yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya
sebahagian dari tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami.
Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.
(Surah al-Israa: ayat 1).
Sementara itu Mikraj pula merujuk kepada perjalanan Nabi Muhammad S.A.W.
dari Masjid al-Aqsa ke Sidrat al-Muntaha di langit ketujuh dekat
singgahsana Allah Taala sepertimana yang digambarkan oleh Al-Quran.
Firman Allah Taala bermaksud:
Dan sesungguhnya (Muhammad) telah melihat (Jibril dalam bentuk rupanya
yang asal) pada waktu yang lain. (iaitu) Sidrat al-Muntaha. Di dekatnya
terletak syurga tempat tinggal (Jannat al-Makwa). (Muhammad melihat
Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) ketika Sidrat al-Muntaha itu
diliputi oleh sesuatu yang meliputinya. Penglihatannya (Muhammad) tidak
berpaling daripada yang disaksikannya itu dan tidak (pula) melampauinya.
Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian tanda-tanda (kekuasaan)
TuhanNya yang paling besar.
(Surah an-Najm: ayat 13-18).
Dapatlah disimpulkan di sini bahawa peristiwa Israk Mikraj adalah
sebagai satu perjalanan kilat Nabi Muhammad S.A.W. pada malam hari di
atas kehendak dan keizinan Allah Taala dari Masjid al-Haram ke Masjid
al-Aqsa dan kemudian naik ke langit sampai ke Sidrat al-Muntaha bahkan
menembusi tujuh lapis langit lalu kembali semula ke Makkah pada malam
yang sama.
SEBAB KEPADA ISRAK MIKRAJ
Bulan Rejab iaitu tahun ke-11 dari kerasulan Nabi Muhammad S.A.W.
disifatkan oleh ahli sejarah sebagai tahun dukacita bagi baginda
berikutan dengan dua musibah yang menimpa baginda secara berturut-turut.
Iaitu kehilangan dua insan yang baginda sayangi berikutan kewafatan
Khadijah (isteri baginda) dan kemudian disusuli pula dengan pemergian
Abu Talib (bapa saudara baginda).
Musibah yang menimpa itu mempunyai pengaruh besar terhadap diri Nabi
Muhammad S.A.W. Baginda merasakan ruang untuk pergerakan dakwah di
Makkah semakin sempit dan keselamatan diri turut terancam. Keadaan ini
mendorong baginda untuk berpindah ke Thaif dengan harapan agar
penduduknya menerima seruan dan bersedia membantu perjuangannya. Namun
segala harapan baginda hancur kerana penduduk Thaif bukan saja tidak
mahu memberi perlindungan kepada baginda malah baginda dicaci dan dihina
dan pelbagai lagi.
Nabi Muhammad S.A.W. kembali semula ke Makkah dengan perasaan hampa dan
dukacita. Lalu Allah Taala menganugerahkan Israk Mikraj yang antara lain
bertujuan untuk menghibur dan memantapkan iman Nabi Muhammad S.A.W.
Sebab kepada Israk Mikraj ini adalah antara sebab musabab berlakunya
peristiwa ini namun semuanya di atas kehendak dan ketetapan dari Allah
Taala.
PERJALANAN ISRAK DAN MIKRAJ
Telah disebut pada suatu ketika Nabi Muhammad S.A.W. sedang duduk di
tepi Kaabah lalu datanglah malaikat Jibril A.S. dengan seekor Buraq
untuk membawa Nabi Muhammad S.A.W. dalam peristiwa Israk Mikraj ini.
Dari segi bahasa Buraq bererti kilat cahaya. Ia sejenis makhluk
menyerupai haiwan. Saiznya besar sedikit dari khimar dan kecil sedikit
dari baghal. Buraq dijadikan oleh Allah Taala dari cahaya. Ia boleh
melangkah sejauh mata memandang.
Setelah itu berangkatlah Nabi Muhammad S.A.W. dengan ditemani oleh
malaikat Jibril A.S. menuju ke Bait al-Maqdis dan baginda solat dua
rakaat di situ dan menjadi imam kepada para nabi lain. Setelah selesai
solat maka Nabi Muhammad S.A.W. telah dihidangkan dua bejana yang
mengandungi dua jenis minuman iaitu satu bejana mengandungi susu dan
satu bejana lagi mengandungi arak.
Setelah itu Nabi Muhammad S.A.W. mengambil bejana yang mengandungi susu
dan tindakan baginda memilih bejana mengandungi susu mendapat sanjungan
dari Jibril A.S. kerana menepati fitrah manusia. Kemudian baginda dan
Jibril A.S. meneruskan Mikraj ke langit pertama hingga ke tujuh.
KEJADIAN SEPANJANG ISRAK MIKRAJ
Di sini Allah Taala memperlihatkan pelbagai gambaran kejadian aneh dan
pelik sebagai balasan dari Allah Taala kepada hamba-hambaNya mengikut
apa sahaja perbuatan yang telah dilakukan. Di antara yang kejadian yang
diperlihatkan kepada baginda sepanjang Israk dan Mikraj adalah:
Baginda melihat orang yang bercucuktanam mengeluarkan hasil yang banyak
dan cepat. Inilah gambaran orang yang membelanjakan harta di jalan Allah
Taala.
Baginda mencium bau yang amat wangi dari kubur Masyitah. Ceritanya:
Sedang Masyitah menyikat rambut anak Firaun maka sikat yang digunakan
itu terjatuh lalu Masyitah menyebut: Dengan nama Allah. Bertanyalah anak
Firaun kepada Masitah tentang tuhan selain bapanya. Masyitah menjawab:
Tuhanku dan tuhan bapa kamu adalah Allah. Anak Firaun memberitahu
bapanya akan hal ini lalu Masyitah diugut oleh Firaun supaya kembali ke
agama asalnya.
Masyitah enggan dan tetap dengan pendiriannya. Lalu Firaun mencampakkan
seorang demi seorang anaknya ke dalam air yang mendidih sehingga tiba
giliran anak terakhirnya yang sedang disusui olehnya. Masyitah merasa
sangat bimbang dan kesian akan anak kecilnya itu lalu Masyitah cuba
melengah-lengahkan masa. Dengan kuasa Allah Taala maka bayi tersebut
dapat berkata-kata lalu menyebut: Wahai ibuku! Sesungguhnya azab akhirat
itu jauh lebih pedih dari azab dunia maka usahlah ibu menjauh-jauhkan
diri kerana ibu di pihak yang benar.
Lalu Masyitah melepaskan bayinya dan Firaun dengan segera mencampakkan
bayi itu ke dalam didihan air. Masyitah berkata: Aku mempunyai
permintaan iaitu supaya engkau (Firaun) mengumpulkan semua tulang dan
menanamnya. Firaun berkata: Aku akan melakukannya. Lantas Firaun pun
mencampakkan Masyitah ke dalam air didihan itu.
Baginda melihat sekumpulan manusia berpakaian compang-camping sambil
memakan sampah-sarap serta rumput. Itulah gambaran golongan manusia yang
enggan mengeluarkan zakat dan tidak bersedekah kerana sayangkan harta
yang dimiliki.
Baginda melihat sekumpulan manusia yang mempunyai perut yang besar
sehingga tidak terdaya lagi untuk bangun dan berdiri. Inilah gambaran
manusia yang memakan hasil daripada perbuatan riba.
Baginda melihat sekumpulan manusia yang asyik memakan daging mentah dan
busuk sedangkan di sisi mereka juga terdapat daging yang telah dimasak
dan berkeadaan baik. Inilah gambaran manusia yang telah melakukan zina
dalam hidup mereka sedangkan mereka sudah pun mempunyai isteri yang
telah dikahwini secara sah.
Baginda turut melihat sekumpulan manusia yang sedang memecahkan
kepalanya sendiri. Inilah gambaran manusia yang terlalu sibuk dengan
hal-hal keduniaan sehingga lalai menunaikan kewajipan bersolat.
Baginda melihat sekumpulan manusia yang memotong lidahnya sendiri secara
berterusan. Inilah gambaran manusia yang dalam hidup mereka suka
menabur fitnah dan berbohong apabila berkata-kata.
Baginda melihat wanita menangis sambil meminta pertolongan tetapi tiada
yang sanggup membantu. Inilah gambaran balasan wanita yang berhias bukan
kerana suaminya.
Baginda melihat wanita tergantung pada rambutnya serta otaknya
menggelegak dalam periuk. Inilah gambaran balasan wanita yang tidak
menutup auratnya.
Baginda melihat wanita berkepala seperti babi dan badannya seperti
kaldai dan menerima berbagai-bagai balasan. Inilah gambaran wanita yang
suka membuat fitnah dan bermusuh dengan jiran dan membuat dusta.
DIFARDHUKAN SOLAT LIMA WAKTU
Daripada pelbagai kejadian yang disaksikan sendiri oleh Rasulullah
S.A.W. ini ada suatu hal yang amat besar dan penting yang melibatkan
proses peribadatan umatnya iaitu perintah Allah Taala agar melakukan
ibadat solat fardu.
Sewaktu tiba di Sidrat al-Muntaha maka Rasulullah S.A.W. telah menerima
perintah Allah Taala iaitu perintah melakukan ibadat solat untuk seluruh
umatnya sebanyak 50 waktu sehari semalam. Sebaik sahaja menerima
perintah tersebut tanpa banyak bicara baginda dan Jibril A.S. bersiap
sedia untuk turun ke bumi.
Pada masa inilah baginda bertemu dengan Nabi Musa A.S. yang bertanyakan
hal itu kepada baginda. Setelah mendengar penjelasan Nabi Muhammad
S.A.W. maka Nabi Musa A.S. berkata: Kembalilah kepada Tuhanmu dan
mintalah sedikit keringanan kerana bilangan tersebut tidak akan terdaya
dilakukan oleh umatmu.
Nabi Muhammad S.A.W. dan Jibril kembali mengadap Allah Taala. Jumlah
bilangan waktu solat telah dikurangkan kepada 40 waktu. Apabila berjumpa
Nabi Musa A.S. kemudiannya maka Nabi Musa A.S. meminta baginda kembali
menemui Tuhan untuk meminta dikurangkan lagi jumlah tersebut. Setelah
beberapa kali Nabi Muhammad S.A.W. berulang alik menemui Allah Taala dan
pada akhirnya Allah Taala telah mengurangkan bilangan solat fardu
tersebut menjadi 5 waktu sahaja.
Apabila kembali semula maka Nabi Musa A.S. masih merasakan umat Nabi
Muhammad S.A.W. masih tidak terdaya untuk melakukannya dengan bilangan 5
itu.
Nabi Muhammad S.A.W. menyatakan bahawa beliau tidak akan mengadap Allah
Taala lagi untuk memintaNya mengurangkan bilangan solat itu kerana
baginda merasa malu untuk berdepan dengan Allah Taala.
PERTIKAIAN KAFIR QURAISY
Tiada alasan untuk menolak hakikat peristiwa Israk Mikraj yang dilalui
oleh Nabi Muhammad S.A.W. dengan roh dan jasadnya sekali kerana baginda
telah diIsrak dan diMikrajkan oleh Allah Taala.
Sekalipun peristiwa Israk Mikraj itu adalah perkara luar biasa di sisi
akal manusia tetapi bagi Allah Taala Yang Maha Berkuasa maka Dia boleh
melakukan apa jua perkara yang dianggap pelik menjadi perkara biasa dan
tiada yang mustahil bagiNya.
Kalaulah peristiwa Israk Mikraj itu sekadar mimpi Nabi Muhammad S.A.W
pergi ke Bait al-Maqdis dan juga mimpi naik ke langit tujuh maka kaum
musyrikin Makkah tidak akan marah dan mempersenda baginda kerana mimpi
adalah perkara biasa bagi semua orang. Bilamana kafir Quraisy menentang
habis-habisan dan berusaha mati-matian menyangkal peristiwa Israk Mikraj
yang berlaku dengan roh dan juga jasad Nabi Muhammad S.A.W. ini bererti
dengan sendirinya mereka mengakui bahawa baginda telah diIsrak dan
diMikrajkan dengan roh dan jasadnya sekali. Ini kerana mimpi bukanlah
suatu yang luar biasa dan tidak menyebabkan orang bersengketa
mempertikaikan jika ada orang yang mendakwa sedemikian rupa.
Sekiranya Nabi Muhammad S.A.W itu sekadar mimpi naik ke langit sahaja
maka tidak ada mustahaknya orang-orang kafir Quraisy mencabar baginda
untuk membuktikan kebenaran ceritanya dengan menanyakan baginda
berkenaan rupabentuk Masjid al-Aqsa serta jumlah pintu dan tiangnya dan
juga perkara-perkara yang berkaitan dengan masjid tersebut.
Pertanyaan kafir Quraisy mengenai keadaan rupabentuk Masjid al-Aqsa
dengan tujuan untuk memerangkap Nabi Muhammad S.A.W. kerana mereka yakin
seratus peratus bahawa baginda tidak pernah menjejakkan kaki ke Bait
al-Maqdis.
Sebaliknya apabila semua pertanyaan telah dijawab dengan betul maka
mereka menjadi panik dan bingung. Mereka tahu bahawa Nabi Muhammad
S.A.W. sebelum peristiwa ini sememangnya tidak pernah pergi ke Bait
al-Maqdis tetapi mereka hairan bagaimana baginda boleh menjawab semua
pertanyaan berhubung Masjid al-Aqsa itu dengan tepat. Mereka telah
hilang punca dan mereka terpaksa membuat tuduhan bahawa Nabi Muhammad
S.A.W. adalah seorang ahli sihir.
Sememangnya tiada dalam ingatan Nabi Muhamamd S.A.W. tentang rupabentuk
Masjid al-Aqsa kerana baginda sekadar dibawa singgah sebentar oleh
Jibril A.S. untuk menunaikan solat dua rakaat.
Bagaimanapun Allah Taala tidak akan membiarkan RasulNya terperangkap
dalam percaturan jahat puak musyrikin Makkah yang cuba hendak memalukan
baginda. Allah Taala datangkan Masjid al-Aqsa ke hadapan Nabi Muhammad
S.A.W. Justeru itu Nabi Muhammad S.A.W. dapat melihat Masjid al-Aqsa
dengan jelas sehingga mudah untuk baginda menjawab semua pertanyaan puak
musyrikin.
Orang yang beriman akan terus beriman dan makin bertambah kukuhlah iman
mereka. Manakala orang yang tidak beriman akan terus kufur bersama
kekufuran mereka. Semuanya telah dibentangkan di depan mata.
PENUTUP
Dari segala apa yang telah saya nyatakan ini maka sudah tentulah
pelbagai pengajaran dapat diambil dari peristiwa Israk Mikraj ini. Ia
bukanlah hanya sekadar cerita untuk didengar dan dibaca semata-mata
namun jauh dari itu ia dapat dijadikan pedoman hidup selama kita di
dunia ini. Semoga kita semua mendapat manfaat dari tulisan ringkas ini.
InsyaAllah.