Thursday, December 30, 2010

Malaysia Juara Piala AFF Suzuki Edisi Ke-8

SENTUHAN ajaib K Rajagobal terus berbisa tatkala membawa pasukan negara merangkul gelaran Piala Suzuki AFF 2010 buat pertama kali sejak penyertaan sulung di Singapura pada 1996, walaupun tewas 1-2 pada perlawanan akhir timbal balik di Senayan, Jakarta, semalam.

Malaysia juara baru edisi kelapan hasil agregat 4-2 di hadapan penyokong setia Indonesia yang segan-silu melihat pasukan kesayangan mereka sekadar naib juara di gelanggang keramat, Gelora Bung Karno.

Sebelum perlawanan bermula, skuad Harimau Malaya berdepan ranjau kerana menghadapi pelbagai gangguan penyokong lawan, diejek termasuk diancam ugutan yang menjejaskan keselamatan.

Indonesia bermula garang apabila mengasak ke kubu pasukan Malaysia sejak wisel pertama.
Serangan menggila skuad Merah Putih yang ditunjangi Cristian Gonzales dan Irfan Bachdim akhirnya berhasil apabila berjaya mendapat tendangan penalti setelah bola terkena tangan Sabree Abu pada minit ke-17.

Namun, mungkin kerana kegugupan dan terlalu yakin ingin menjaringkan gol, sepakan penalti diamanahkan kepada Firman Utina sekadar singgah tepat ke dalam dakapan penjaga gol terbaik negara, Khairul Fahmi Che Mat.

Ternyata, kegagalan Firman untuk menyudahkan tendangan penalti terus membakar semangat pemain negara melancarkan serangan bertali arus ke pertahanan Indonesia.

Penyerang Terengganu, Ashari Samsudin hampir meledakkan gol pertama negara pada minit ke-20, namun tendangan cantiknya berjaya di tangkap kemas Markus Rihihina.

Separuh masa pertama ditamatkan tanpa jaringan.

Memasuki separuh kedua, pasukan negara mula menyusun strategi dan tidak banyak bertahan seperti dalam separuh masa pertama.

Tuan rumah dikejutkan dengan gol menarik menerusi Safee Sali yang berjaya memperdayakan dua pertahanan Indonesia sebelum merembat kencang untuk menjadikan kedudukan agregat 4-0.

Namun begitu, asakan bertubi ke kubu negara menyebabkan gawang yang dikawal Khairul Fahmi bocor juga apabila Mohammad Nasuha berjaya meletakkan gol penyamaan pada minit ke-71.

Gol semangat itu terus menyalakan api kebangkitan skuad Garuda apabila Muhammad Ridwan meledak gol pendahuluan pada minit ke-88.

Harapan Indonesia untuk memburu gol tambahan tidak terlaksana kerana setiap serangan ke kubu Malaysia berjaya dipatahkan.

Pengadil perlawanan dari Australia, Peter Green yang mengadili permainan sepanjang 90 minit akhirnya meniup wisel panjang sekaligus mengesahkan skuad negara sebagai kuasa baru arena bola sepak di rantau Asia Tenggara.

Serentak dengan itu, seluruh pemain dan pegawai negara bingkas berlari ke padang, ada yang menangis kegembiraan serta tunduk sujud sebagai tanda bersyukur kepada Ilahi. Malaysia Boleh!

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/SH/com/content/story8566113.asp

Thursday, December 23, 2010

Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengumumkan senarai 24 pemain

KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengumumkan senarai 24 pemain yang akan membawa cabaran skuad The Red Warriors bagi menghadapi Liga Malaysia musim depan.

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa pada sidang medianya berkata, pihak Kafa hanya mendaftar seramai 24 pemain daripada kuota 25 pemain, yang diperuntukkan bagi pendaftaran pemain untuk saingan Liga Malaysia musim depan.

“Tarikh pendaftaran pemain ditutup dua hari lalu. Kita tidak boleh mendaftarkan selengkapnya (25 pemain) kerana tiga pemain berhenti tanpa menghantar notis dan kita tidak dapat mencari pengganti yang sesuai kerana kesuntukan masa.
 

“Kita tidak mempunyai masa yang cukup, mencari pengganti ketiga-tiga pemain tersebut kerana semua pasukan sudah mendaftarkan pemain-pemain lain. Ini sedikit sebanyak, mencacatkan perancangan pasukan tetapi saya percaya ianya tidak mencacatkan kekuatan pasukan,” katanya di Kota Bharu, semalam.

Annuar berkata, pihak Kafa hanya mengekalkan seramai 20 pemain musim lalu dan hanya lima pemain sahaja yang dilepaskan dan digugurkan.

“Kita mendaftarkan tiga penjaga gol musim depan. Penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi (Che Mat) dan Mohd Shahrizan (Ismail) kekal sebagai penjaga gawang. Kita juga mendaftarkan penjaga gol muda, Norhadi Ubaidillah sebagai penjaga gol ketiga Kelantan.

“Syed Adney (Syed Hussien) dipinjamkan kepada pasukan Sabah untuk tempoh setahun.

“Saya memberi opsyen kepada beliau untuk kembali bersama Kelantan tahun berikutnya atau apa yang difikirkan sesuai nanti.

“Sementara itu, Hairuddin (Omar) dan Akmal Rizal (Ahmad Rakhli) memang dilepaskan oleh Kafa sebaik musim lalu berakhir.

“Untuk senarai pasukan Kelantan, kita mempunyai lapan pemain di posisi pertahanan, tujuh pemain serta lima pemain di bahagian serangan.

“Saya juga ingin memaklumkan bahawa kita akan mendapatkan khidmat pemain muda, Nicholas Chan yang berusia 19 tahun yang kini bersama kelab Cardiff City bagi memperkuatkan cabaran pasukan Kelantan musim depan.

“Saya berunding dengan bapa beliau bagi membolehkan beliau beraksi dengan Kelantan musim depan, dan sekiranya tidak ada apa-apa halangan kita akan menandatangani perjanjian dengan pemain tersebut untuk menguatkan pasukan Kelantan,” katanya.

Senarai Pemain Skuad Liga Super Kelantan musim 2011

Penjaga Gol : Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Shahrizan Ismail dan Norhadi Ubaidillah

Pertahanan : S Subramaniam, Mohd Farisham Ismail, Mohammad Ab Aziz Ismail, Mohd Daudsu Jamaludin, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, Zairul Fitree Ishak dan Wan Rohaimi Wan Ismail.

Tengah : Muhd Badhri Muhd Radzi (Ketua Pasukan), Khairan Eroza Razali, Mohd Shakir Saari, Wan Zaman Wan Mustapha, K Soley, Mohd Nurul Azwan Roya, Zul Yusri Che Harun dan Danial Fadzly Abdullah.

Penyerang : Norshahrul Idlan Talaha (Penolong Ketua Pasukan), Muhammad Khalid Jamlus, Muhammad Ramzul Zahini Adenan, Mohd Nizab Ayub dan S Chanturu.