Friday, October 29, 2010

Kalau Allah Itu Maha Baik, Kenapa Buat Neraka?

Ini kisah benar.. Kisah seorang gadis Meayu, beragama Islam, tapi cetek pengetahuan tentang agama.
Ceritanya begini, di sebuah negeri yang melaksanakan dasar 'Membangun Bersama Islam', kerap kali pihak berkuasa tempatan menjalankan pemeriksaan mengejut di premis-premis perniagaan dan kompleks beli-belah, untuk memastikan para pekerja di premis berkenaan menutup aurat.

Saya tidak pasti berapa jumlah denda yang dikenakan sekiranya didapati melakukan kesalahan, tapi selalunya mereka akan diberi amaran bagi kesalahan pertama, dan didenda jika didapati masih enggan mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

Lazimnya dalam setiap operasi sebegini, seorang ustaz ditugaskan bersama dengan para pegawai pihak berkuasa tempatan.Tugasnya adalah untuk menyampaikan nasihat secara berhemah, kerana hukuman dan denda semata-mata tidak mampu memberi kesan yang mendalam.

Dalam satu insiden, ketika operasi yang dijalankan sekitar 2005, seorang gadis yang bekerja di salah satu lot premis perniagaan di  sebuah pasaraya  telah didapati melakukan kesalahan tidak menutup aurat.
Maka dia pun kena denda.

Setelah surat saman dihulurkan oleh pegawai PBT, ustaz ni pun bagi la nasihat, "lepas ini diharap saudari insaf dan dapat mematuhi peraturan.

Peraturan ni bukan semata-mata peraturan Majlis perbandaran, tapi menutup aurat ni termasuk perintah Allah. Ringkasnya, kalau taat segala perintahNya, pasti Dia akan membalas dengan nikmat di syurga.
Kalau derhaka tidak mematuhi perintahNya, takut nanti tidak sempat bertaubat, bakal mendapat azab di neraka Allah.

Tuhan Maha Penyayang, Dia sendiri tidak mahu kita campakkan diri ke dalam neraka."
Gadis tersebut yang dari awal mendiamkan diri, tiba-tiba membentak "Kalau Tuhan tu betul-betul baik, kenapa buat neraka?

Kenapa tidak sediakan syurga sahaja? Macam itu ke Tuhan Maha Penyayang?" Mungkin dari tadi dia sudah panas telinga, tak tahan dengar nasihat ustaz. Sudah  la hati panas kena denda sebab dia tak pakai tudung.

Ustaz tu terkedu sekejap. Bahaya budak ni. Kalau dibiarkan boleh rosak akidah dia.Setelah habis gadis tu membebel, ustaz tu pun jawab: "Dik, kalau Tuhan tak buat neraka, saya tak jadi ustaz.

Berapa sen sangat gaji saya sekarang. Baik saya jadi tokey judi, atau bapa ayam.Hidup senang, lepas mati pun tak risau sebab gerenti masuk syurga.Mungkin awak ni pun saya boleh culik dan jual jadi pelacur.
Kalau awak nak lari, saya bunuh je. Takpe, sebab neraka tak ada. Nanti kita berdua jumpa lagi kat syurga. Kan Tuhan tu baik?"

Gadis tu terkejut. Tergamak seorang ustaz cakap macam tu? Sedang dia terpinga-pinga dengan muka confused, ustaz tu pun jelaskan:

"Perkara macam tadi akan berlaku kalau Tuhan hanya sediakan syurga. Orang baik, orang jahat, semua masuk syurga.

Maka apa guna jadi orang baik? Jadi orang jahat lebih seronok. Manusia tak perlu lagi diuji sebab semua orang akan 'lulus' percuma.

Pembunuh akan jumpa orang yang dibunuh dalam syurga. Perogol akan bertemu lagi dengan mangsa rogol di syurga.

Selepas tu boleh rogol lagi kalau dia nak. Tak ada siapa yang terima hukuman. Sebab Tuhan itu 'baik'.

Adakah Tuhan macam ni yang kita nak? Awak rasa, adil ke?" Tanya ustaz.

"Mana adil macam tu. Orang jahat takkan la terlepas macam tu je." Rungut si gadis.

Ustaz tersenyum dan menyoal lagi: "Bila tuhan tak adil, boleh ke dianggap baik?"
Gadis tu terdiam.

Ustaz mengakhiri kata-katanya:
"Adik, saya bagi nasihat ni kerana kasih sesama umat Islam. Allah itu Maha Penyayang, tapi Dia juga Maha Adil.Sebab tu neraka perlu wujud. Untuk menghukum hamba-hambaNya yang derhaka, yang menzalimi diri sendiri dan juga orang lain.

Saya rasa awak dah faham sekarang. Kita sedang diuji di atas dunia ni.Jasad kita bahkan segala-galanya milik Allah, maka bukan hak kita untuk berpakaian sesuka hati kita.

Ingatlah, semuanya dipinjamkan olehNya, sebagai amanah dan ujian.

Semoga kita dapat bersabar dalam mentaati segala perintahNya, untuk kebaikan diri kita juga."

Thursday, October 14, 2010

Serap GSTT ke jawatan tetap

 Oleh MOHD. RAFIE AZIMI
rafie.azimi@utusan.com.my 

KUALA LUMPUR 12 Okt. - Kementerian Pelajaran bakal memperkenalkan mekanisme bagi membolehkan lebih ramai guru sandaran tidak terlatih (GSTT) diserap ke jawatan tetap pada masa hadapan.  Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kajian khusus mengenainya sedang dijalankan dan ia dijangka dapat disiapkan dalam masa terdekat.  Beliau berkata, kementerian sedar ketika ini terdapat ramai GSTT yang berkebolehan serta berkemampuan namun gagal menempatkan diri ke jawatan tetap kerana tempat yang disediakan adalah terhad.  "Bagi membolehkan mereka diserap ke jawatan tetap, kementerian menggalakkan GSTT memohon mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI). Namun kami sedar, bukan semua 12,546 GSTT akan diterima kerana tempat yang terhad.  "Justeru, satu kajian khusus sedang dijalankan dan kita akan mengetahui hasilnya dalam masa terdekat. Kementerian prihatin dengan nasib guru berkenaan kerana ada antara mereka yang telah berkhidmat lebih daripada lima tahun," katanya.  Beliau menjawab soalan Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) yang meminta kementerian menyatakan sama ada wujud dasar menyerap semua GSTT ke jawatan tetap setelah mengikuti Kursus Dalam Cuti (KDC).  Sementara itu, Mohd. Puad menjelaskan, kementeriannya masih meneruskan program KDC dan Kursus Diploma Perguruan Malaysia (KDPM) bagi menyerap GSTT ke jawatan tetap.  "Seramai 1,400 guru GSTT akan menyertai kedua-dua program tersebut 22 November depan bagi melayakkan mereka diserap ke jawatan tetap. "Bagi yang tidak terpilih KPLI, KDC dan KDPM, Kementerian Pelajaran prihatin dengan nasib mereka. Menyedari minat serta kelayakan yang ada pada GSTT, sebab itulah kementerian menjalankan kajian tersebut," ujarnya.  Utusan Malaysia Online: 13 Oktober 2010

Friday, October 8, 2010

Hingga Akhir Hayat

pix_gal0

Yayasan CUEPACS beri kemudahan seperti PERKESO

KUALA LUMPUR: Kira-kira 1.7 juta penjawat awam termasuk 590,000 pesara kerajaan akan menikmati pelbagai kemudahan kesihatan seperti alat sokongan perubatan percuma sama seperti dinikmati kakitangan swasta yang mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) apabila Yayasan CUEPACS ditubuhkan hujung tahun ini.

Di bawah yayasan itu, sebuah Konsortium Kesihatan akan ditubuhkan untuk mengawal selia aspek kesihatan dan perlindungan insurans. Kini, CUEPACS sudah mencapai persetujuan awal dengan Syarikat Insurans Takaful Ikhlas dan akan mempertimbangkan beberapa syarikat insurans lain.

Presiden CUEPACS, Omar Osman, berkata melalui yayasan itu, nasib dan kebajikan penjawat awam akan lebih terbela kerana mereka yang berdaftar dengan yayasan itu akan diberi perlindungan mengikut skim insurans masing-masing.

“Setiap orang akan dilindungi termasuk pesara sehingga ke akhir hayat. Contohnya, kes anggota JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) disimbah asid di Pulau Pinang, apa yang dia dapat... tak ada apa-apa. Kalau meninggal pun, mereka cuma dapat RM1,000.

“Melalui yayasan, kita akan daftarkan mereka dengan insurans. Kita akan tetapkan jumlah insurans mengikut kemampuan mereka,” katanya pada sidang media semalam.

Ketika ini, sesetengah penjawat awam membeli insurans individu tetapi melalui cadangan baru ini, mereka boleh memilih skim insurans di bawah konsortium berkenaan mengikut kemampuan dengan jumlah caruman minimum RM12 sebulan secara potongan gaji.

Melaluinya, mereka tidak perlu lagi membayar kos tambahan untuk mendapatkan peralatan perubatan yang tidak disediakan seperti kerusi roda, tongkat, alat bantu dengar dan anggota palsu. Ketika ini, mereka hanya menerima rawatan perubatan.

Ditanya ada sesetengah penjawat awam yang diluluskan tuntutan bagi kos tambahan itu, Omar menjelaskan, ia tidak termasuk dalam pekeliling, tetapi dibenarkan atas budi bicara ketua jabatan menggunakan peruntukan subsidi.

“Melalui skim baru ini, mereka sebenarnya mencarum dan menyimpan kerana sebahagian nilai caruman itu boleh dikeluarkan selepas bersara,” katanya.

Keputusan menubuhkan yayasan yang akan bertanggungjawab mencari dana serta menjaga kebajikan ahli dicapai sebulat suara pada mesyuarat khas CUEPACS yang bermesyuarat selama tiga jam, semalam.

Pembentangan usul penuh penubuhan itu termasuk majlis menandatangani perjanjian persefahaman dengan beberapa pihak terbabit akan dilaksanakan ketika mesyuarat tahunan di Pahang, Disember ini.

Selain itu, mesyuarat hari ini juga memutuskan untuk membuat tuntutan bonus dua bulan, Imbuhan Tetap Perumahan dan kajian semula sistem Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) serta memberikan kemudahan pinjaman pendidikan menerusi Yayasan itu.

Sementara itu, katanya, CUEPACS juga akan meminta kerajaan membela nasib 50,000 penjawat awam kontrak yang bakal kehilangan pekerjaan berikutan kebanyakan ketua jabatan tidak menyambung kontrak mereka dengan alasan kurang peruntukan.

Omar berkata, ketika ini semua jabatan sudah mengemukakan cadangan perbelanjaan tahun depan dan kebanyakannya mengambil tindakan drastik dengan menamatkan pekerja berstatus kontrak.

“Ada penjawat awam yang sudah terima surat tamat kontrak. Sesetengah mereka sudah berkhidmat antara 15 hingga 23 tahun manakala sebahagian lagi berusia antara 24 hingga 37 tahun.

“Kalau tak dapat diserap sebagai kakitangan tetap, kekalkan saja mereka secara kontrak sehingga usia 58 tahun, asalkan ada caruman KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja),” katanya

Sumber : beritaharianonline091010