SENTUHAN ajaib K Rajagobal terus berbisa tatkala membawa pasukan negara merangkul gelaran Piala Suzuki AFF 2010 buat pertama kali sejak penyertaan sulung di Singapura pada 1996, walaupun tewas 1-2 pada perlawanan akhir timbal balik di Senayan, Jakarta, semalam.
Malaysia juara baru edisi kelapan hasil agregat 4-2 di hadapan penyokong setia Indonesia yang segan-silu melihat pasukan kesayangan mereka sekadar naib juara di gelanggang keramat, Gelora Bung Karno.
Sebelum perlawanan bermula, skuad Harimau Malaya berdepan ranjau kerana menghadapi pelbagai gangguan penyokong lawan, diejek termasuk diancam ugutan yang menjejaskan keselamatan.
Indonesia bermula garang apabila mengasak ke kubu pasukan Malaysia sejak wisel pertama.
Serangan menggila skuad Merah Putih yang ditunjangi Cristian Gonzales dan Irfan Bachdim akhirnya berhasil apabila berjaya mendapat tendangan penalti setelah bola terkena tangan Sabree Abu pada minit ke-17.
Namun, mungkin kerana kegugupan dan terlalu yakin ingin menjaringkan gol, sepakan penalti diamanahkan kepada Firman Utina sekadar singgah tepat ke dalam dakapan penjaga gol terbaik negara, Khairul Fahmi Che Mat.
Ternyata, kegagalan Firman untuk menyudahkan tendangan penalti terus membakar semangat pemain negara melancarkan serangan bertali arus ke pertahanan Indonesia.
Penyerang Terengganu, Ashari Samsudin hampir meledakkan gol pertama negara pada minit ke-20, namun tendangan cantiknya berjaya di tangkap kemas Markus Rihihina.
Separuh masa pertama ditamatkan tanpa jaringan.
Memasuki separuh kedua, pasukan negara mula menyusun strategi dan tidak banyak bertahan seperti dalam separuh masa pertama.
Tuan rumah dikejutkan dengan gol menarik menerusi Safee Sali yang berjaya memperdayakan dua pertahanan Indonesia sebelum merembat kencang untuk menjadikan kedudukan agregat 4-0.
Namun begitu, asakan bertubi ke kubu negara menyebabkan gawang yang dikawal Khairul Fahmi bocor juga apabila Mohammad Nasuha berjaya meletakkan gol penyamaan pada minit ke-71.
Gol semangat itu terus menyalakan api kebangkitan skuad Garuda apabila Muhammad Ridwan meledak gol pendahuluan pada minit ke-88.
Harapan Indonesia untuk memburu gol tambahan tidak terlaksana kerana setiap serangan ke kubu Malaysia berjaya dipatahkan.
Pengadil perlawanan dari Australia, Peter Green yang mengadili permainan sepanjang 90 minit akhirnya meniup wisel panjang sekaligus mengesahkan skuad negara sebagai kuasa baru arena bola sepak di rantau Asia Tenggara.
Serentak dengan itu, seluruh pemain dan pegawai negara bingkas berlari ke padang, ada yang menangis kegembiraan serta tunduk sujud sebagai tanda bersyukur kepada Ilahi. Malaysia Boleh!
Sumber : http://www.sinarharian.com.my/SH/com/content/story8566113.asp
Perasaan macam menang Piala Dunia – Hannah Yeoh
9 months ago