Saturday, July 30, 2011

Ramadhan Bulan segala kebaikan dan keistimewaan

Dia Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang telah menganugerahkan makhluk-Nya satu bulan yang dilimpahi segala kebaikan dan keistimmewaan yang tak terperikan. Seluruh makhluk di langit dan di bumi teruja ternanti-nanti tibanya bulan mulia penuh barakah itu. Bulan yang satu-satunya disebut namanya di dalam kitab suci al-Quran dan dikaitkan pula dengan perisitiwa turunnya kitab itu sendiri!

شَہۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدً۬ى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍ۬ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِ‌ۚ

“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah….” Al-Baqarah 2:185.

Mereka yang mengetahui dan menghargai anugerah yang agung ini pastinya ternanti-nanti penuh rindu dan mengharap agar dipertemukan dengan Ramadhan dan berazam untuk meraih sebanyak-banyaknya kebaikan dan kelebihan yang dijanjikan.

Renungkan betapa alam buana ini dipersiapkan untuk menanti ketibaan Ramadhan!
1. Pintu-pintu langit dibuka sepanjang bulan Ramadhan sebagaimana dinyatakan di dalam sepotong Hadis yang bermaksud: “Apabila tiba malam pertama Ramadhan, dibuka semua pintu langit, tidak akan ditutup satupun daripadanya sehinggalah ke malam terakhir Ramadhan” Riwayat al-Munziri daripada Abi Sa’eid al-Khudri di dalam ‘at-Targhib wa at-Tarhib’.
2. Dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka, dipasung syaitan-syaitan. (Maksud Hadis riwayat Muslim daripada Abu Hurairah r.a.)
3. Setiap malam penghuni langit menyeru penghuni bumi sehingga tersembul fajar: “Wahai pencari kebaikan, mara dan bergembiralah! Wahai pencari kejahatan, undur dan berhentilah! Siapakah yang ingin memohon ampun, lalu dia diampun? Siapakah yang ingin bertaubat, lalu dosanya dihapuskan? Siapakah yang ingin meminta, lalu permintaannya ditunaikan?” (Maksud Hadis riwayat al-Munziri daripada Abdullah bin Mas’ud r.a.

Itu merupakan sebahagian persediaan ahli langit untuk menyambut ketibaan Ramadhan. Maka apakah persediaan ahli bumi?

1. Perlu memahami dan meyakini peluang yang sangat besar serta tawaran yang cukup hebat ini. Rasai dan syukuri betapa bertuahnya diberi peluang menyambut Ramadhan sekali lagi, peluang yang mungkin terakhir. Maka tanamkan azam seutuhnya di dalam diri untuk mengisi Ramadhan dengan segala kebaikan yang termampu.

2. Ingat selalu sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dalam keadaan dia mengetahui batasan-batasannya dan memelihara diri daripada melakukan perkara yang tidak sepatutnya dilakukan, akan dihapuskan daripadanya dosanya yang lalu” Riwayat Ibn Hibban dan al-Baihaqiy daripada Abi Sa’eid al-Khudriy r.a. Dosa terhapus bermakna selamat dari siksa api neraka!

3. Siapkan senarai amalan yang hendak dibuat dengan kefahaman setiap kebaikan diberi pahala berlipat kali ganda. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesiapa yang mendekatkan diri kepada Allah dengan satu kebaikan (yang sunat), baginya pahala seperti melakukan yang wajib pada bulan selainnya. Sesiapa yang menunaikan satu amalan yang wajib, baginya pahala seperti menunaikan 70 amalan yang wajib pada bulan selainnya. Ramadhan adalah bulan ditambahkan rezeki orang yang beriman”. Riwayat al-Munziri

4. Ingat memperingati dan berlumba-lumba mengejar kebaikan selari dengan gesaan Rasulullah s.a.w. di dalam Hadis yang bermaksud: “Telah datang kepada kamu Ramadhan, bulan barakah yang dicurahkan Allah ke atas kamu. Dia menurunkan rahmah, menghapuskan dosa dan memaqbulkan doa. Allah melihat kepada kamu yang berlumba-lumba (melakukan kebaikan) di bulan Ramadhan dan Dia berbangga di hapadan malaikat-Nya. Maka perlihatkanlah kepada Allah dirimu yang baik. Sesungguhnya orang yang celaka itu ialah orang yang dihalang daripada mendapat rahmah-Nya di bulan Ramadhan”. Riwayat al-Munziri daripada Ubadah bin as-Samit.

5. Mohon doa sebanyak-banyak di waktu yang dijanjikan mustajab pada setiap hari bulan Ramadhan, iaitu ketika berbuka. “Tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka, orang yang berpuasa ketika ia berbuka, imam (pemimpin) yang adil dan orang yang dizalimi” Maksud Hadis riwayat Ahmad daripada Abu Hurairah r.a.

6. Jagalah anggota, khususnya mata, telinga dan lidah dari melakukan perkara yang haram. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Puasa itu perisai. Maka janganlah kamu mencarut dan jangan berkelakuan bodoh. Jika seseorang memerangimu atau mencacimu, maka katakanlah kepadanya ‘sesungguhnya aku berpuasa’ sebanyak dua kali. Demi Tuhan yang jiwaku di dalam tangan-Nya, bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah Ta’ala daripada wanginya kasturi. Allah berfirman: dia telah meninggalkan makanan, minuman dan nafsu syahwahnya kerana-Ku. Puasa adalah untuk-Ku dan Akulah yang akan member ganjarannya. Dan setiap satu kebaikan itu sepuluh kali ganda seumpama dengannya” (Maksud Hadis riwayat al-Bukhari daripada Abu Hurairah r.a.)

Marilah sama-sama kita berdoa agar diri kita termasuk dalam golongan mereka yang menghargai anugerah yang hebat ini serta berjaya memperoleh syurga yang dijanjikan untuk hamba-Nya yang berpuasa. Amen!